Saturday, April 12, 2014

'Wahai Pemuda Berkahwinlah'

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah ungkapan syukur tertinggi ku ucapkan pada Yang Esa untuk segala nikmat yang Dia kurniakan. Malam ini Dia hadirkan kesempatan untuk menulis lagi setelah sekian lama mendiamkan diri di alam blogger. Sebenarnya sejak semalam lagi rasa teruja ingin menulis, namun bila berada di hadapan laptop, tiba-tiba jadi kaku, terus hilang apa yang mau dikongsikan..

Perjalananku selama dua bulan mutakhir ini ku kira terlalu panjang, terlalu banyak yang telah dilalui. Tapi tidak mungkin aku menulis tentang kisah hidupku di sini, huhu tidaklah terlalu menarik dan yang lebih penting, siapalah yang akan membacanya.. ^^

Kini statusku telah berubah, daripada 'single' bertukar kepada 'married'. Alhamdulillah, dan inilah tulisan pertamaku setelah menjadi suami orang, menjadi ketua keluarga. Perjalanan sebelum sampai ke status married ini, terlalu banyak tawakal dan bantuan yang telah Dia kurniakan, yang aku harap aku tidak akan lupakan untuk selamanya. Biarlah itu, aku harap nantinya aku bisa menceritakan semua kisah itu pada anak, cucu dan generasi mendatang insyaAllah..


Semua yang telah berlaku mengajarkan diri ini satu perkara, bahawa dalam hidup ini sering kali perancangan Yang Esa mengatasi perancangan kita sendiri, yang kadang2 tak pernah terlintas di fikiran kita bagaimana ia berlaku. Pernikahan yang asalnya dirancang pada bulan Oktober 2014, diawalkan kepada bulan April 2014 kerana cuti musim panas yang dipendekkan menjadi 3 minggu sahaja.

Di saat semua persiapan kahwin hampir lengkap, tiba2 universiti mengumumkan cuti emegercy selama dua minggu disebabkan H1N1 yang sedang melanda di Mesir. Panik! Ya pelbagai kemungkinan bermain di fikiran kami ketika itu. Apatah lagi terdengar berita dari pengerusi PCI bahawa kemungkinan cuti bulan 4 akan dihazafkan (tiadakan)..

Namun itulah, di saat terasa sedikit down dengan situasi yang sedang berlaku, tiba2 Dia memudahkan jalan. Keputusan yang diambil dalam masa dua hari itu termasuklah membeli tiket ke Malaysia, benar2 mengajar diri untuk berserah sepenuhnya kepada Allah, benar2 memohon petunjuk agar itulah keputusan yang terbaik untuk kami dan semua orang.


Kini setelah menikah, bila bertemu sahabat2 di kelas, soalan yang paling kerap ditanya adalah ; 'Macam mana nikah, best?' huhu membuatkan aku tersenyum. Cukuplah aku katakan, setakat ini apa yang aku rasa, benar2 pernikahan itu membenarkan kalam Rasullullah iaitu 'Berkahwinlah, kerana ia lebih menjaga pandangan..'

Sekarang ini, apabila aku memegang amanah sebagai Pengarah JAKSI (Jabatan Keselamatan dan Sosial) di Iskandariah dan menerima kes berkaitan ikhtilat atau pergaulan lelaki perempuan, sering kali membuatkan aku termenung panjang. Sungguh, fitnah wanita itu benar2 merbahaya untuk seorang lelaki hatta laki2 soleh.

Mungkin pada pandangan seorang wanita yang bertudung labuh, dia tidak lagi menjadi punca fitnah kepada laki2 dan menganggap wanita berpakaian ketat itulah puncanya. Namun biarlah aku mengingatkan di sini bahawa pada pandangan laki2 yang beragama, laki2 yang menghafal Quran, yang hebat berjuang di sana sini, wanita yang sopan itulah yang lebih mengganggu fikiran. Ya, ini kenyataan..
Aku mempunyai sahabat yang dari pelbagai latar belakang kehidupan, dari yang menghafaz 30 juzuk Quran sehinggalah yang tidak ada langsung basic agama (tapi sahabat kedua ini bukan di Mesirlah). Sebab itulah kepada wanita2 di luar sana, kalian masih belum selamat jika dengan hanya berjubah dan bertudung litup, kerana kalian masih lagi boleh menjadi fitnah kepada lelaki.

Lengkapilah diri kalian dengan sifat malu yang Rasullullah pesan, insyaAllah saat itu kalian menjadi bidadari dunia. Bantulah lelaki untuk mereka menjaga iman mereka hanya kepada Allah, mudah-mudahan itu akan menjadikan mereka lebih bersedia untuk menjadi ketua keluarga yang berwibawa suatu hari nanti insyaAllah..

(Sebenarnya banyak lagi ingin ditulis, namun cukuplah untuk kali ini. Sekarang masa tidak lagi sama macam dulu. Kalau dulu hidup sorang boleh buat apa yg kita mau pada bila2 masa, tapi sekarang masa 24 jam harus dibahagi utk dua orang. Apa2 pun yg lbh penting ialah jangan lupa memohon pada Allah untuk membantu memudahkan semua urusan kita, kerana kita tidak akan mampu menguruskan hidup ini tanpa hidayahNya, mudah2an.. ^_^ Wallahua'lam)

Friday, February 7, 2014

'Mudah-mudahan Itu Dapat Menyelamatkan Akidah Mereka'

Bismillahirrahmanirrahim...

Lama berteleku di depan laptop sendiri, tidak mahu bagaimana untuk memulakan bicara. Sudah lebih sebulan blog ini bersawang tidak terupdate lantaran pelbagai faktor yang menimpa diri, huhu faktor malas juga terselit di antaranya. Sebulan lalu agak sibuk menguruskan Seminar Perubatan Iskandariah bersama-sama teman seperjuangan, mencapai puncak kepenatan setelah lebih kurang 10 bulan sejak memulakan meeting pertama pada tahun lalu.

Sebaik seminar berakhir pada 17 Januari 2014, dihambat pula oleh buku Cardiology yang menuntut usaha dan keringat disebabkan imtihan di hujung minggu itu. Jika ditanya tentang department Cardio kali ini, aku akan katakan mungkin ini adalah department yang paling aku tidak bersedia untuk mengambil peperiksaan setelah 5 tahun bergelar mahasiswa perubatan.

Apa2 pun aku serahkan diri kepada Allah, walau terpaksa bersengkang mata untuk mengkhatamkan buku itu, untuk menyerah tanpa berusaha bukanlah sifat seorang mukmin yang berjuang. 'Jangan menjadikan persatuan itu kambing hitam jika kamu gagal dalam pelajaran, jangan sekali2 menjadikan perjuangan Islam itu fitnah dan menerima kritikan sedangkan kamu yang gagal menguruskan masa sebaiknya..' - kalam taujihat seorang senior..


Alhamdulillah sangat bersyukur kepada tuhan yang mengaturkan, sehingga kini aku tidak pernah ketinggalan menyertai seminar ibadah yang diadakan setiap tahun di Iskandariah sejak dari tahun 1. Pada tahun ini doktor psikiatri dan ustaz darul syifa dijemput dari Malaysia untuk mengisi slot2 seminar, membincangkan tentang psikologi dan sihir dari dua profesion berbeza.

Masihku ingat ketika meeting dengan unit pengisian, banyak kali persoalan ini ditimbulkan ; 'Benarkah kita ingin memanggil dua2 profesion ini? Saya risau perkara sebaliknya yang berlaku. Kita ingin menerangkan kepada mahasiswa perubatan tentang synergistic yang patut berlaku antara doktor psikiatri dan ustaz darul syifa dalam membantu masyarakat, bagaimana jika sebenarnya di dunia realiti kedua2 profesion ini tidak pernah bersatu, atau tidak mungkin bersatu?' 

Huhu agak susah sebenarnya untuk membuat keputusan muktamad terutama dalam menentukan pengisian seminar, itulah yang menyebabkan mesyuarat seminar diadakan hampir setahun sebelum itu. Bahkan sehingga ke saat2 terakhir pun, menjelang dua hari sebelum seminar berlangsung, aku sendiri tidak lena tidur, tidak tenang dan befikir adakah seminar ini mampu memberikan manfaat kepada peserta..


Seminar kali ini, sebagai pengarah, aku banyak bersama Dr Rostam dan Ustaz Ghani sepanjang mereka berada di Mesir. Ketika membawa mereka bersiar-siar di makam2 auliya, bercerita tentang itu ini, membuatkan aku merasakan diri terlalu kerdil dalam bumi ciptaan Allah ini, seolah2 terlalu jahil lantaran tidak pernah menceburkan diri dalam bidang ilmu yang mereka terokai. 

Walau bagaimanapun satu perkara aku perasan yang terdapat kepada kedua2 insan hebat ini, iaitu semangat mereka untuk membantu masyarakat walau dalam satu-satu ketika diri sendiri terpaksa menelan pahitnya ujian. Ustazah Natrah, isteri kepada Ustaz Ghani menceritakan kepada kami keluarga mereka juga turut mendapat tempias disebabkan kerja suaminya yang membantu masyarakat dari gangguan sihir dan jin.

Ustazah Natrah pernah terdengar namanya dipanggil ketika jam 4 pagi ketika blackout, ketika semua orang sedang tidur. Anak2nya juga kadang2 terdengar bunyi pelik walau berada di rumah sendiri, namun semua itu tidak mematahkan semangat ustaz. Apabila saya bertanya tidak pernahkah terlintas di hati ustaz untuk berhenti sebagai pengerusi darul syifa Negeri Sembilan, kerana sememangnya Ustaz Ghani juga adalah seorang guru di sekolah menengah, penolong pengetua kalau saya tidak salah. 


Jawab ustaz, 'Bukan semua orang sanggup buat kerja ini, sangat berisiko sebenarnya. Tapi biarlah saya ambil bahagian di situ untuk membantu masyarakat kita, mudah2an dengan itu dapat menyelamatkan akidah mereka dari bertemu dengan bomoh dan dukun yang salah, yang akibatnya sangat buruk iaitu mereka mensyirikkan Allah Taala..'

Allah..perasaan kagum terus memekar di hati ini, terzahir sebuah keikhlasan yang terpancar dari hati yang bersih. Terima kasih ustaz, ustaz sudah mengajarkan saya satu ilmu hari ini yang saya tidak akan dapatinya di dewan kuliyah, satu semangat baru menguasai hati ini..insyaAllah

(Sebenarnya topik lain yang ingin ku nukilkan kali ini, huhu tapi biarlah, masa yang diperuntukkan utk blogging sudah habis. Esok sudah mula kelas, maka mental harus dipersiapkan sebaiknya. Tapi cuti masih berbaki setengah hari lagi kan, huhu ada sahabat mengajak utk bersiar2 di pantai, makan2 dan bersantai, ok babai.. Wallahua'lam)

Tuesday, December 24, 2013

'Kagum Pada Diri Sendiri, Astaghfirullah'

Bismillahirrahmanirrahim...

Keluar dari dewan peperiksaan perasaan berdebar masih belum hilang, exam kali ini bukan calang-calang. Salah diri sendiri juga tidak membaca arahan di page depan yang mengatakan masa exam hanya 70 minit, huhu padan muka hang. Rasanya inilah kali pertama terjadi seperti ini, pengumuman yang diberitahu oleh Student Representative beberapa hari sebelum itu iaitu masa exam adalah 90 minit, ternyata salah..

Mungkin ada missed communication antara SR dan coordinator. Biarlah, manusia adalah insan, dan tiada insan yang sempurna melainkan kekasih agung Rasullullah SAW. Aku sendiri masih terkejut sebenarnya, tiada apa2 petanda, tiada pemberitahuan, tiba2 masa sudah habis dan kertas mula dikutip. Selepas exam ada sahabat beritahu memang ada pengumuman dari pengawas kat depan 10 minit sebelum masa tamat, tapi kami yang berada di hujung row memang tidak dengar apa2.

Huhu mungkin itulah dugaan untuk kami. Alhamdulillah sempat juga menghabiskan semua soalan walaupun tidak sempat recheck kali kedua. Kerana ada seorang sahabat, dia menghantar kertas jawapan MCQ itu dalam keadaan lebih dari 10 soalan tidak berjawab, Allah..hati bersimpati padanya... 


Selepas exam, aku bersama seorang sahabat menuju ke Mansyiah untuk mencari beberapa barang untuk seminar. Sampai sahaja di sana, azan asar berkumandang. Di tengah2 kesesakan bandar mansyiah, agak susah mencari masjid. Usai solat, tiba2 berdiri seorang pemuda arab lalu membahagi2kan Quran kepada para jemaah. Oh rupa2nya imam memimpin membaca surah Yunus, membaca beramai2.

Sungguh, inilah kali pertama setelah lima tahun berada di Mesir aku melihat pemandangan seperti ini. Kalau di Kelantan perkara ini tidak pelik, biasalah kan.. Entah kenapa aku rasa tenang dan terus tersenyum.. Bukan apa, dekat sini amalan2 agama agak senang dikatakan bid'ah. 'Eh nabi mana buat ni, lepas asar baca quran ramai2..kenapa fix kan waktu asar, kenapa tak buat waktu lain?' Dan bermacam2 lagi lah persoalan yang ditimbulkan... Dan aku, lebih senang dengan tersenyum..

Lepas penat berjalan di Mansyiah, dalam perjalanan pulang terserempak dengan penjual ikan dan belut laut. Huhu tiba2 rasa teringin masak belut walhal kat Malaysia tak pernah makan pun. Terus membelinya untuk dimasak bersama dengan ahli usrah malam nanti.. Nak goreng ke nak buat sup belut, huhu macam2 jadi bila tension dengan exam.. :)


Malam itu dalam usrah, kami dibentangkan dengan sambungan 'Wabak Sepanjang Zaman' oleh sang naqib Faez Salleh, kali ini membicarakan tajuk 'Ujub dengan diri sendiri'. Sememangnya aku gemar mendengar pengisian sebegini kerana di akhirnya akan muhasabah diri betapa perlunya menundukkan hati terutama kepada semua pemuda yang sedang dalam perjalanan meruntuhkan jahiliyah moden.

'Antara tanda pemuda yang dihinggapi penyakit hati ini ialah sifatnya yang sentiasa ingin menonjolkan diri, berbangga dengan diri sendiri, serta hatinya senang tatkala mendengar perihal kelemahan orang lain..'

Allah..tanda2 yang sangat biasa bahkan mungkin dekat dengan kehidupan seharian kita. Itulah, kadang2 kita rasa terlalu susah untuk mendengar nasihat orang lain, mungkin sebabnya kerana merasakan diri kita sendiri sudah cukup hebat. Jika ada yang menegur, kita merasakan orang itu sengaja mencari salah kita, dia cemburu dengan kelebihan kita.. Astaghfirullah..akhi, hati sedemikian adalah hati yang berpenyakit..

poster lama, tapi sungguh..sangat benar kalam ini..

'Antara cara untuk menghilangkan penyakit hati ini ialah kita istiqamah menghadiri majlis ilmu, kerana majlis ilmu itu sering kali menyentuh hati kita untuk kembali kepada Allah seterusnya menghilangkan sifat ujub yang mula hendak membengkak. Yang kedua, rajin2kanlah diri menziarahi orang sakit, supaya menjadi peringatan kepada kita bahawa bila2 masa sahaja kita boleh berada di tempat orang yang sedang terlantar sakit itu..'

Yang ini susah sikit nak amalkan dan istiqamah. Tambah2 bila dekat exam, rasa berat sangat untuk menziarah ke rumah sahabat atau junior yang sakit. Selalu bagi excuse kepada diri, takpela lepas exam aku datang la ziarah.. Namun yang sering berlaku ialah selesai exam habis, sibuk dengan majlis makan2, movie dan game.. Aduhai hati itu sering berdusta...

(Kurang sebulan lagi seminar akan berlangsung, bermakna kerja juga bertambah berlipat ganda ketika ini. Alhamdulillah Allah memudahkan jalan diri ini dengan memberi dulu mengambil elective course, huhu bolehlah bertenang sikit.. Kala ini, ia menuntut komitmen pd dua perkara, persatuan dan urusan peribadi yg pastinya tdk blh ditinggalkan..Semoga mampu menguruskan keduanya dgn bantuan Allah.. Wallahua'lam)

Sunday, December 8, 2013

Apabila Si Miskin Bergaduh

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam kesejukan malam aku tersedar, tengok jam baru pukul tiga. 'Lambat lagi nak subuh ni..' Cuba melelapkan mata semula namun tidak berhasil, seolah2 ada tangan yang menahan. Tiba-tiba rasa berdebar, adakah ini malam terakhirku di dunia ini? Lalu cerita-cerita tentang orang yang meninggal dunia dalam tidur menerawang di fikiran, ya Allah takutnya betapa aku kotor dengan dosa2 semalam yang masih belum bertaubat...

'Ya Allah panjangkanlah umurku.. Seandainya Engkau takdirkan aku pergi malam ini, matikanlah aku dalam husnul khatimah..

Akhirnya tanpa sedar terlelap dalam kegelapan malam, bila sedar semula azan subuh sedang berkumandang. Ya Allah terlepas lagi, padahal tadi Allah dah kejut dah, astaghfirullah, petanda jiwa masih kotor... Malam sebelumnya, Allah hadirkan satu peristiwa yang berlaku, mungkin sebagai pengajaran untuk diri sendiri. Ketika keluar rumah untuk menunaikan solat isyak, aku terdengar riuh rendah suara arab bergaduh.


Betul2 berhadapan dengan masjid, ku lihat dua pemuda arab sedang bertumbuk. Yang peliknya, arab sekeliling membiarkan sahaja pergaduhan itu tanpa meleraikan. Tidak sanggup membiarkan, aku menghampiri lalu menarik tangan salah seorang dari mereka. 'Cukuplah, orang tengah solat dalam masjid tu!' 

Namun tenaga arab terlalu kuat untuk ku, dia menepis tanganku dan menumbuk muka si musuh. Isk degil betullah arab ni.. Kemudian ada dua arab masuk campur dan menarik keduanya pergi, itupun selepas seorang terkoyak baju dan hampir patah tulang belakang dilempar atas jalan. 

Setelah itu barulah aku tersedar kenapa orang2 sekeliling sekadar membiarkan mereka bergomol atas jalan tanpa menghalang, rupa2nya mereka adalah orang miskin yang sedang mengutip sisa2 kotak dan makanan dari tong sampah. Mereka bergaduh kerana merebut beberapa keping roti yang ada dalam tong sampah. Ya Allah hampir menitis air mataku menyaksikan peristiwa itu, begitu berhargakah kepingan roti itu bagi mereka?

Benar2 kemewahan dunia telah menipu kita semua, astaghfirullah...

gambar lama kira2 dua tahun lalu, diupload semula oleh adik usrah yg sudah berhijrah ke India.. :')

Perkara kedua yang membuatkan aku sebak adalah reaksi orang2 sekeliling tatkala menyaksikan pergaduhan itu, sekadar melihat tanpa membantu.. Aku sendiri tidak tahan menyaksikan lelaki itu mencekik 'musuhnya' sehingga terbeliak mata, dan itulah yang menghalang aku dari terus melangkah ke masjid (sebenarnya pergaduhan itu tidak adil, seorang bertubuh kecil sehingga teruk dibelasah oleh seorang lagi yang berbadan tegap)

Sahabat2 yang berada di Mesir tahulah bagaimana biasanya reaksi orang arab apabila melihat pergaduhan, mereka pasti akan meleraikan walau apa cara sekalipun, itu kebiasaan yg berlaku. Namun malam itu semua orang hanya membiarkan sahaja. Mentang2lah mereka orang susah dan kelihatannya tidak membawa manfaat kepada masyarakat, ia dibiarkan berlarutan. 

Boleh jadi kalau ada yang meninggal pun malam itu, tiada kesan apa2 bagi mereka yang melihat kerana orang miskin itu bukanlah siapa2 dalam masyarakat.. Mereka lupa, bahawa tiada satu pun ciptaan Allah di muka bumi ini yang sia2 melainkan ada sebab ia diciptakan... Apatah lagi manusia yang diciptakan Allah sebagai sebaik2 kejadian...


Minggu lepas juga, Allah hadirkan peristiwa yang terbalik dengan apa yang berlaku di atas, tentang seorang hamba Allah yang begitu menghargai makhlukNya. Ketika itu waktu sudah hampir maghrib, aku dan seorang teman dimaklumkan tentang seekor anak kucing yang tidak mampu berjalan dengan baik kerana kedua2 kakinya patah. Mungkin dilanggar kereta.

Sahabat ini, yang hatinya dipenuhi dengan rahmat Allah, mengajakku untuk membawa kucing liar itu ke veterinar. Katanya yang membuat hati ini tersentuh ; 'Biarlah mahal pun, kita buat kerana Allah kan.. Dalam hadis pun ada cerita, kisah seorang pelacur yang memberi minum kepada seekor anjing, akhirnya itu menjadi asbab Allah memberi hidayah kepadanya seterusnya memasukkan dia ke dalam syurga Allah..'

Alhamdulillah, masih wujud pemuda Islam seperti ini. Akhlaknya mampu membuatkan sesiapa pun akan menjadi rindu kepada kekasih agung Rasullullah. Kepada semua orang termasuk yang menulis ini, bersama2lah kita menjadi penyebar rahmat tuhan kepada seluruh alam termasuklah binatang dan tumbuhan. Kerana ada orang yang ditarik sementara nikmat itu. Contohnya bagi yang menghidap pneumonia atau asthma, perlu beringat dengan bulu kucing dan mungkin juga terpaksa menahan dirinya dari memegang kucing untuk satu tempoh yang panjang..

(Dalam kekalutan dengan seminar, Allah datangkan ayat memujuk. Dalam kesejukan hening subuh, tazkirah sang imam meruntun hati2 yang merindukan bantuan daripadaNya. 'Ihfazillah yahfazka..' Astaghfirullah seolah2 pertama kali dengar hadith ini, terima kasih tuhan, terima kasih imam.. Wallahua'lam)

Monday, December 2, 2013

Lambaian Kepada Kanak-kanak

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam tadi tidak seperti malam2 lain, susah sekali nak tidur. Dah lebih dua jam berbaring, bertukar macam2 posisi tapi mata masih belum mahu beradu. Padahal sebelum itu rasa penat sangat, petang itu dalam usrah bermati-matian menahan nafsu mengantuk. Tambahan pula usrah semalam agak lama, tiga jam tanpa henti kerana kata murabbi, nak qadha yang minggu lepas punya.

Walau bagaimanapun, usrah itu penting dan perlu diikut oleh semua orang. Aku menyedari kepentingan usrah ini agak lewat berbanding sahabat2 yg lain. Satu ketika dulu aku bukanlah orang yang rajin berusrah, mungkin kerana naqib2 ku yang tidak istiqamah sehingga sering kali aku menyalahkan usrah. Ketika di tahun 1, mungkin tidak lebih lima kali aku menghadiri usrah, walau bagaimanapun itu telah menyedarkan aku sesuatu bahawa tarbiyah bukan sekadar di usrah.

Tahun2 selepas itulah yang mula memanggil aku ke dalam usrah, sehingga saat ini aku mula dapat merasakan secebis dari kemanisan berusrah. Kebetulan usrahku terdiri dari pimpinan2 tertinggi persatuan, beberapa ajkt, pengerusi dan naib pengerusi, MTP pun ada, membuatkan aku lebih segan untuk ponteng usrah. Sesibuk mana pun mereka masih tetap berusaha mengosongkan masa dan menghadirkan diri, takkan la kita yang biasa2 ni ada alasan kecil nak memasak pun dah ponteng.


Cuma itulah, jika ditanya adakah usrah itu cukup untuk mengatakan kita adalah pemuda tarbiyah? Maka jawabnya belum tentu. Ramai orang yang menganggap bila sudah berada dalam sistem tarbiyah dan mempunyai halaqah, maka merasakan diri sudah terselamat dari segala anasir perosak jiwa. Awas, kerana sesungguhnya ramai yang pernah mengikuti jalan ini, namun akhirnya kecewa dan tercicir di tengah jalan.

Kerana mungkin kita lupa sesuatu, bahawa tarbiyah itu sendiri mempunyai banyak jenis seperti yang disebut oleh Ibnu Qayyim (kalau tak salah). Dalam usrah mungkin kita akan memperoleh tarbiyah ruhiyah dan fikriyah, tapi tarbiyah ijtimaiyah dan badaniyah/jasadiyah agak susah untuk diperoleh dalam usrah. (Ada lagi sebenarnya tapi aku tidak sempat tulis di Ijtimak Tarbawi tempoh hari, kesemuanya ada 9 atau 10..saje tulis pasal ni sebab muwasafat tarbiyah mungkin semua orang dah tau)

Aku pernah terbaca satu status yang membuatkan aku termalu sendiri. Kadang2, kita mengaku kita pemuda tarbiyah tapi program rohaniyah seperti qiamullail hati rasa terlalu berat untuk pergi. Program pula selalu datang lambat, tidur dalam majlis ilmu, dan dalam ceramah pun asyik berbual dengan orang sebelah. Tapi bila berada di luar ketrampilan sangat dijaga, huhu tsiqah la konon2nya kan..


Semoga kita tidak menjadi orang yang disebut dalam buku 'Wabak Sepanjang Jalan' iaitu orang yang tertipu dengan diri sendiri. Kita susah untuk mengaku tapi perbuatan kita secara tidak langsung mencerminkannya. Seperti contoh tadilah, kita rasa sungguh berat untuk ke qiamullail tapi bila ke ceramah2 laju sahaja kaki melangkah..sebab apa? Mungkin kerana di situ ada ramai orang... Astaghfirullah hati oh hati susahnya menjaga ikhlas..

***************

Kurang dua minggu lagi akan tamatlah department Pediatric (Kanak-kanak) setelah lebih kurang dua bulan mengharunginya. Berada dalam round ini banyak mengajarku erti keinsafan dan kekuasaan Yang Esa, mungkin lebih sedikit berbanding round2 sebelumnya. Setiap hari berhadapan dengan kanak2 arab, baby pun ada, agak menggamit kenangan masa kecil dulu.

Sebab itulah orang kata, sebab kenapa kita tidak mahu melupakan kenangan lalu adalah kerana kenangan adalah satu2nya entiti yang tidak akan pernah berubah, di saat manusia lain berubah. Semua orang pernah melalui zaman kanak2 mereka, bermain dan melompat tanpa mempedulikan perasaan orang lain, ya tidak pernah menghiraukan apa orang kata.


Dan itulah yang sering menambat perasaanku sekarang. Mungkin waktu kecilku lebih banyak ketawa berbanding menangis, lebih banyak riang berbanding susah, aku tidak begitu mengerti apa yang dikatakan 'menderita'. Sehinggalah sekarang, tatkala masuk ke wad kanak2, bertanya itu ini tentang penyakit yang acute mahupun chronic, kerap dada terasa sebak.

Kecil2 sudah menghidap penyakit jantung, paru2, hati dan cerebral palsy, ya Allah mengertikah mereka tentang apa yang dinamakan qadha & qadar Allah.. Setiap minggu datang ke hospital untuk menerima rawatan, bertemu dengan doctor2 yang suka mencucuk (inject), mak cik nurse yang kasar, untuk apa semua ini, tak bolehkah dia menjalani kehidupan normal seperti kanak2 lain di luar sana.

Allah..hati sesiapapun pasti merasa sayu tatkala memandang kanak2 yang kelihatannya sudah besar namun terpaksa didukung oleh ibunya lantaran tidak mampu berjalan, di seluruh badannya ada bintik2 merah.. Dia hanya tahu dia menghidap leukimia tapi apakah leukimia itu, sejenis binatangkah.. Tidak, dia langsung tidak mengerti..dia hanya menjalani kehidupan seadanya.. Namun andai dia bersabar syurga pasti miliknya, melebihi kita yang sedang bergelak ketawa ini..

(Sedari bahawa apa yg kita dapatkan hari ini adalah yang terbaik menurut Allah & jangan pernah ragu, kerana kesedaran itu akan menjadikan kita nikmat menjalani hidup ini.. Doakan yg terbaik utk semua orang, insyaAllah.. Wallahua'lam)

Monday, November 25, 2013

Saat Hati Merindukan Nabi

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah lama tidak menulis dalam keadaan bergelap, kalau beberapa bulan lalu mungkin tuduhan ini sudah dilemparkan kepada Dr Mursi yang tidak pandai mentadbir negara sehingga sering kali blackout, namun kini yang hairannya tidak pula rakyat Mesir menyalahkan As-Sisi. Huhu biarlah mereka, kerana aku yakin suatu hari nanti nama Dr Mursi akan diangkat oleh sejarah sebagai orang benar yang teraniaya.

Semalam dapat tahu yang exam final semester untuk pediatric akan ditunda ke bulan 3. Ku lihat komen2 di facebook, ramai juga yang tidak bersetuju kerana agak susah sebenarnya terutama bagi group yang sudah lama menghabiskan round pediatric lebih kurang 3 bulan sebelum itu, untuk mengulang kaji dan mengambil exam..dan aku termasuk dalam group itu.

Ketika mendengar berita itu di madrasah nabawiyah, aku terdiam seketika, sedikit terkesima memandangkan aku sudah meletakkan timeline2 study yang wajib ‘dipulun’ sebelum final exam pada awal bulan januari. Itu setelah mengambil kira program persatuan dan mesyuarat yang penting, tapi kini nampaknya timeline itu harus dirombak semula.


Kemudiannya beberapa minit selepas itu bila difikir semula, mungkin ketentuan tuhan yang baru ini lebih baik untuk kami. Buku setebal tiga ratus setengah itu memerlukan masa yang panjang terutama untuk menghadapi final exam yang mengandungi esei dan mcq (exam osce yang ada clinical case dan oral question dihabiskan di end of round)

Dan ini pastinya akan menguji setiap dari kami untuk berterusan mengulang kaji pediatric walaupun sedang berada di round lain seperti cardiac dan chest. Lagi pula sudah sejak dari tahun 1 lagi kami memang sudah terbiasa dengan sistem sebegini, terpisah dua tiga bulan kemudian barulah final exam. Huhu walaupun ini lebih kepada untuk memujuk hati sendiri, tapi aku benar2 yakin ketentuan Allah kali ini adalah yang terbaik untuk semua orang.

“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah lah yang menurunkan bala itu.. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.” - Ibnu Atoillah

Jika menerima bala pun kita tetap kena tenangkan hati dan sentiasa bersangka baik dengan Allah, apatah lagi situasi sekarang yang jauh dari apa yang dipanggil 'bala' kerana terdapat banyak kebaikan zahir di dalamnya, lagi2 lah kita harus redha dan bersyukur.. :)

**************


'Ada satu kisah yang diceritakan oleh Syeikh Muhammad dalam rancangan tv arab, kisah yang sangat meruntun hati bagi insan yang mengaku cintakan nabi. Ataghfirullah, rasa macam nak ketuk2 kepala bila mendengarkan kisah itu lantaran menyedari kepalsuan pengakuan yang sekadar dilafazkan di bibir..'

Suatu hari Syeikh Muhammad dipanggil oleh seorang pemuda untuk ke rumahnya di sebuah kampung kerana ibunya ingin bertemu dengan tuan syeikh. Bila sampai di rumah itu, dilihatnya sang ibu seorang tua yang sedang tenat. Dan dengarkanlah kata2 sang ibu kepada syeikh yang membuatkan tuan syeikh sendiri terkejut..

'Apakah dosa yang telah aku lakukan, kerana sehingga kini Rasulullah sudah tiga hari tidak menziarahiku..' 

'Sudah tiga hari tidak menziarahimu? Adakah bermakna sebelum ini setiap hari baginda datang bertemu dirimu??'

'Ya, setiap hari baginda akan menziarahiku dalam mimpi. Jika sehari baginda tidak datang bertemuku, aku akan jatuh sakit..'


Allah...seorang ibu tua yang ikhlas dalam cintanya telah mempamerkan manifestasi iman dan cinta yang luar biasa. Sahabat2 semua, dalam dunia ini tidak semua orang diberi keizinan untuk menziarahi baginda di Madinah al-Munawwarah, kerana tidak semua orang diberi kemampuan untuk menunaikan umrah/haji.

Namun yang lebih sedikit ialah orang yang didatangi sendiri oleh Rasullullah SAW ke rumahnya! Demi Allah, beruntung sekali orang2 itu, berbahagialah mereka yang pernah didatangi oleh susuk agung yang paling sempurna ciptaannya di muka bumi. Namun sahabat sekalian, tidak mudah untuk menerima anugerah itu...

Agak2 kan, Rasulullah nak datang tak ke rumah yang dipenuhi hiburan melalaikan serta penghuninya jauh dari ingat Allah? Baginda akan ziarah ke orang yang matanya melihat perkara yang haram, mulutnya makan makanan haram, bercakap pula hanya perkara sia2 dan tidak pernah mengingatkan orang yang mendengarnya kepada Allah..

Persoalan2 itu tidak memerlukan jawapan, sebaliknya ia lebih memerlukan muhasabah dari hati yang benar2 mengharapkan pertemuan dengan nabi. 

(Ya Allah tiba2 hati rasa teringin utk ke sana lagi, nak solat di Raudhah, biarlah penuh sesak pun tapi mungkin itulah solat yg paling khusyuk dlm hidup ni. Bak kata Syeikh Zainul Asri, memang Rasullullah cakap Raudhah itu taman syurga, bermakna kalau Allah buka hijab, pasti kita akan lihat dan hidup dlm syurga yg sebenar2nya.. InsyaAllah satu hari nanti, mudah-mudahan.. Wallahua'lam)

Monday, November 18, 2013

Kematian Yang Menginsafkan Aku

Bismillahirrahmanirrahim...

Subuh tadi, Allah izinkan telinga ini mendengar tazkirah dari sang imam. Hadis dan kalam yang digunakan adalah kalam yang biasa namun seolah-olah hati begitu dekat mendengar bicaranya. Mungkin waktu subuh yang sunyi dan sejuk menambahkan lagi aura kesayuan itu. 'Iman itu bertambah dengan ketaatan, dan berkurang dengan maksiat..'

Ya Allah, rupa2nya kita berhak untuk memilih tahap 'halawatul iman' di dalam dada masing2. Kita sering berkata 'Ah biasalah, iman tengah berkurang..' seolah2 untuk menghalalkan perbuatan lagha kita, untuk membenarkan kita berlama-lama dengan movie dan game sedangkan diri sendiri tidak pernah berusaha untuk menambah ketaatan.

Dua hari lepas, Allah menghadirkan satu peristiwa menginsafkan berlaku di hadapan mata. Aku melihat dengan mata kepalaku sendiri dua kematian berlaku serentak kerana lemas di pantai Iskandariah, Apa yang lebih membuatkan aku terdiam adalah cara kematian keduanya, iaitu mereka sendiri yang terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri selepas mencuri handphone dan satu perkara lagi (sy enggak faham apa arab tu cakap, asif)


Kita tidak tahu kan bagaimana pengakhiran hidup kita, dalam keadaan baikkah (husnul khatimah) atau su'ul khatimah. Aku jadi takut melihat froth yang keluar dari mulut si mati, air laut yang bercampur dengan lung surfactant menghasilkan buih2 putih dan kelabu. Ya Allah sungguh mati lemas itu adalah antara kematian yang sangat menyakitkan.

Dan satu lagi mayat pencuri tidak ditemui, mungkin tenggelam ke dasar lautan atau dibawa air ke tempat lain. Atau mungkin juga telah ditemui kerana sebaik azan maghrib berkumandang aku terus pulang ke rumah. Apa2 pun, kita mendoakan  dosa keduanya diampunkan tuhan. Seperti petang itu, orang ramai membacakan alfatihah selepas disahkan kematian walaupun keadaan kematiannya begitu.

Terasa seperti tuhan sedang berbicara denganku. Beberapa minit sebelum itu, aku masih melihat keduanya berenang2 mengapungkan diri di permukaan air. Dan dalam beberapa detik sahaja, Izrael datang menjalankan tugasnya. Ya Allah sekiranya imanku masih tidak bertambah selepas melihat peristiwa itu, sign apa lagi yang aku tunggu, astaghfirullah...

*****************


Kini sudah beberapa hari bumi Iskandariah dibasahi hujan, menandakan musim sejuk sedang berada di muka pintu untuk melangkah masuk. Walau bagaimanapun waktu subuh terutamanya aura sejuk itu sudah mencengkam hingga ke sumsum tulang. Itu yang susah sebenarnya, untuk melawan nikmat berada dalam selimut tebal memerlukan semangat juang yang tinggi.

Mungkin benar kalam seorang sahabat, kalau Allah menjadikan bumi Malaysia itu mempunyai empat musim, nescaya akan sunyilah masjidnya dari solat subuh berjemaah. Sahabat itu menyambung lagi, tidak mustahil orang yang selalu bangun qiamullail di Malaysia tidak mampu istiqamah melakukannya di sini. Jauh di sudut hati membenarkan kata2 itu.

Jika di musim panas waktu malam yang terlalu singkat, bayangkan azan subuh berkumandang pukul 330 pagi, balik solat terawih pun sudah hampir jam 11 malam. Walau bagaimanapun semuanya masih bergantung kepada iman seseorang. Aku pernah berjumpa seorang sahabat yang sangat berdisiplin dalam menjaga solat malam. Tidak kira jam berapa dia tidur, dia akan memaksa dirinya bangun untuk solat dua rakaat kemudian tidur semula sehingga azan subuh.. 

ramai sekali yang berkunjung ke rumah tok guru setiap pagi jumaat untuk mentahniq anak masing2..alhamdulillah sempat juga jumpa tok guru cuti tempoh hari walau sekejap..

Tapi begitulah insan, kita tidak rasa apa yang dinamakan 'kemanisan berqiamullail'. Yang kita rasa hanyalah perasaan mengantuk dan penat keesokan harinya. Sedangkan jika ditanya pada orang yang membiasakan dirinya berqiamullail, pasti mereka merasakan sesuatu yang sangat istimewa. Jika tidak masakan Tuan Guru Nik Aziz yang hanya meninggalkan qiamullail selama tiga hari sepanjang hidupnya pun sudah teresak-esak menangis bila mengenangkan itu.

Sekiranya kita juga diberikan 'kemanisan' itu, pasti seronokkan.. Seperti seorang sahabatku yang diberi 'kemanisan gym'. Setiap hari dia tidak akan lupa untuk pergi gym walaupun dirinya tidak sihat. Pernah satu hari, dia tidak ke kelas kerana demam tapi waktu petangnya, dia berjalan kaki ke gym untuk meneruskan rutin harian.. Haha aku pasti akan tersenyum setiap kali bertemu dengannya kerana teringat peristiwa 'comel' itu.. :)

Yang terakhir, aku ingin kongsikan kalam seorang sahabat ; 'Kita selalu sangat minta dengan Allah nak jadi pelajar cemerlang, dipermudahkan urusan untuk itu dan ini, nak jadi anak soleh dan banyak lagi. Tapi kita sering lupa meminta kepada Allah untuk membantu kita meninggalkan maksiat, meminta kekuatan bagi menundukkan pandangan di jalan2 serta di alam maya.. Sebab Habib Ali Jifri pernah sebut, mungkin yang menghalang kita dari tahajjud adalah kerana pada siang harinya kita lupa untuk beristighfar setelah memandang benda haram..'

(Tidak mampu rasanya menjadi sehebat Yusuf yang mampu menunggangi nafsunya, menjadi Sulaiman yang memerintah dunia, lantaran diri hanyalah pemuda akhir zaman yg ingin menjadi soleh.. Dan semoga Allah memudahkan perjalanan semua pemuda Islam dlm menjadi seperti Sang Bahagia, Rasullullah SAW.. Wallahua'lam)