الثلاثاء، 23 يوليو 2013

Bagiku Bukan Ini Keutamaan Kita

Bismillahirrahmanirrahim...

Ada yang bertanya tentang tulisanku sebelum ini, berkenaan sahur qiamullail dan 'perkara dunia' (tulisan minggu lepas). Katanya dia tidak bersetuju dengan tulisan itu kerana tidak semua 'perkara dunia' tidak boleh dilakukan sebelum waktu subuh..

Contohnya, jika kita dalam fatrah imtihan, waktu itu adalah waktu yang sangat condusive untuk study.. Jika kita seorang yang sentiasa sibuk dengan urusan persatuan dan kebajikan, yang pada waktu lainnya memang susah untuk berada di rumah, maka waktu lapang seperti itu sangat sesuai untuk kerja2 teknikal kecil seperti menyiapkan kertas kerja atau yang sewaktu dengannya..

Huhu terima kasih sahabat atas pendapat jujurmu, aku bersetuju dengan kata2 itu. Ada waktunya kita akan menghadapi keadaan di mana waktu lapang terasa begitu berharga walau sebentar cuma. Dengan tugasan2 yang masih banyak tergendala, urusan dengan pemimpin2 dari muhafazah luar, juga buku2 tebal yang belum dikhatamkan, semua itu menekan kita untuk bersegera menyelesaikannya..


Namun di situ, ada perkara yang perlu kita fikir dan muhasabah bersama2.. Mungkin benar, kita sedang melakukan perkara baik, kebajikan orang ramai, study buku medic, dan kita kata kita lakukannya kerana Allah.. Alhamdulillah memang itulah yang pertama harus kita niatkan. Tapi bila menilai pengalaman2 kecil yang pernah dilalui, juga nasihat2 orang lama, menyedarkan aku akan sesuatu..

Kemanisan di pertiga malam itu, tidak akan mampu diganti oleh mana2 waktu dalam kehidupan seharian. Itulah waktu paling khusyuk untuk berdoa, saat yang paling syahdu untuk meluah perasaan dan menceritakan segala masalah kepada Allah. Benar, waktu lain juga kita berdoa, selepas asar, maghrib dan selepas isyak memang kita sentiasa berdoa..


Namun istimewanya waktu sebelum subuh adalah ketika itu doa kita juga diiringi dengan sesi mengadu serta meluah perasaan pada Allah.. Kerana Allah lebih mudah menerima permintaan hambaNya yang berdoa dalam keadaan hatinya juga hadir..bukan sekadar doa ungkapan harian, yang kadang2 kita minta dengan penuh kelalaian pada dunia luar..

Dan yang kedua, di samping kita penat berjuang di luar sana, abnaul harakah(anak2 gerakan) harus sedar bahawa amal fardhi tetap tunjang kekuatan kita untuk terus istiqamah.. Biarlah kertas kerja yang masih belum siap, atau dana yang masih belum cukup, namun waktu untuk Allah tetap tidak boleh kita kacau.. Ingat tu naa.. (huhu pengalaman lalu sangat mengajar sebenarnya, aku mungkin pernah menjadi begitu..penat bekerja di luar sehingga lupa akan hakikat diri yang lemah)

'Jangan mencari masa lapang untuk mengadu pada Allah..tapi lapangkanlah masa untuk bertemu dengan Dia..'

****************


Minggu lepas dalam perjalanan pulang dari kelas, berbual panjang dengan dua orang sahabat tentang isu bid'ah dan salafi. Dah lama tak berbicara pasal ni sebenarnya, tapi bila dibangkitkan semula isu2 itu, maka layan sajalah.. Sahabat ini, dia suka akan pemikiran salafi dan berhujah dengannya.

Mula2 aku mendengar sahaja. Kemudian satu persatu isu di tanah melayu dibangkitkan.. 'Kenapa diwajibkan membaca yasin setiap malam jumaat, mana ada hadis pun..yang ada ialah al kahfi.. Lagi satu, kenapa bila ada orang meninggal, semua orang baca al fatihah..takde dalam nas kan..'

Aku senyum mendengarnya. Sungguh, isu2 ini telah lama dibincang dan diselesaikan oleh ulama terdahulu. Kebelakangan ini, dimainkan lagi isu2 bid'ah seperti ini. Apabila diminta untuk kembali merujuk dalam kitab2 ulama muktabar, mereka persoalkan, kenapa tidak kita? Akhirnya orang yang bertanya itu pula yang dikatakan pemalas..huhu kadang2 agamawan bila berhujah menggunakan emosi, boleh jadi tidak matang reaksinya.. (Maaf ya,bukan semua agamawan seperti ini, tapi aku memang pernah melihatnya)


Di Mesir ini setelah 4 tahun berada di dalamnya, dikelilingi ustaz2 dari azhar, banyak kali Allah temukan dengan perbincangan seperti ini. Dan aku, lebih memilih untuk tidak berbahas.. Kerana bila mendengarkan kisah Zikri yang melihat Ustaz Akli mengeluarkan kitab yang sangat tebal semata2 untuk membaca tentang tahlil, fuh tertelan air liur dibuatnya, kita ni baca hadis 40 pun kena tengok terjemahan.. 

'Kalaulah tidak ada bacaan yasin pada malam jumaat, rasa-rasa kan orang ramai akan buat apa? Orang tua tengok tv di rumah, yang muda keluar melepak di kedai2 dan pasaraya besar.. Erm kau rasakan yg mana lagi baik..?'

Sambil senyum ku utarakan persoalan itu. Huhu sengaja ingin melihat sejauh mana dia berfikir tentang permasalahan itu sebelum mengatakan ia bid'ah..


'Aku tahu bukan itu yang kau maksudkan, kau nak cakap pasal hukum kan..memang aku sengaja tukar topik.. Hehe bukan apa beckham(bukan nama sebenar), kalau boleh aku tak mau bincang pasal mende ni, sebab ia bukan masalah utama kita sekarang.. Masalah ummah masa ini ialah kerosakan akhlak pemuda pemudi islam, serangan pemikiran dan berjuta lagi jahiliyah moden yang sedang menyerang..ha belum cakap lagi pasal jihad di syria dan palestin..'

Dia diam mendengarnya.. Aku ingin mengatakan lagi, kalau boleh ambillah masa seketika untuk belajar tentang fiqh aulawiyat yang ditulis oleh Syeikh Qardhawi, insyaAllah kita akan dapat menilai yang mana yang harus diutamakan terlebih dahulu. Sangat berguna sebenarnya, bukan sahaja untuk memikirkan masalah2 besar, bahkan dalam kehidupan seharian pun kita sangat memerlukan kefahaman tentang 'aulawiyat'..

Tapi tak jadilah nak cakap, kan tiba-tiba dia cakap zaman Rasullullah para sahabat tak pernah belajar pun pasal fiqh2 macam ni. Huhu timbul isu baru jadinya..

(Imtihan oh imtihan.. Kenapa masa seakan berlalu perlahan, tapi kadang2 terasa pantas..erm bagaimana tu, macam pelik je bunyinya.. Otak semakin kabur menjelang maghrib, dalam keadaan perut yang minta diisi..bertahan, bertahan dan terus bertahan..tak sabarnya nak makan milo.. Ok semakin mengarut, pergi dulu.. Wallahua'lam)

الاثنين، 15 يوليو 2013

'Iman Dan Ramadhan, Bisakah Ia Dipisahkan'

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramadhan di Mesir, walau terasa kepayahannya akibat cuaca panas membahang dan waktu yang lebih panjang, namun ada kemanisan di situ. Walau bibir sentiasa mengungkapkan rindu Malaysia, nak balik kampung beraya dan sebagainya, sejujurnya ungkapan2 itu tidaklah lahir dari hati, mungkin kerana hati yang sudah terpengaruh dan jatuh cinta dengan cara orang arab menyambut ramadhan.

Setiap hari, tepat jam 230 pagi, akan riuh rendahlah kawasan Cleopatra dengan dentuman2 tin yang diketuk kuat, sengaja untuk mengejutkan orang ramai untuk bersahur. Sambil diiringi laungan yang mempunyai irama tersendiri, huhu banyak kali mengejutkan aku dari tidur sebenarnya. Bila dengar tu jadi macam malas nak sambung tidur dah, irama yang unik..barangkali..

Di samping suara imam yang merdu bila membaca ayat2 Allah, solat terawih yang panjang itu terasa ringan kerana sering saja ada orang2 pemurah yang membahagikan air minuman kepada semua makmum.. Pernah kami mendapat jus oren, pepsi dan jus jambu, oh sungguh pemurah orang2 yang mendermakannya. Kerana air Juhaynah bukanlah air yang murah sebenarnya..kalau aku sendiri jika menjadi ajk apa2 program, belum pernah jenama juhaynah menjadi pilihan, apatah lagi memberikannya secara percuma untuk berpuluh2 jemaah..mungkin juga beratus2..


Bagaimana ya harus ku gambarkan, suasana meriah di dataran masjid, lagaknya seperti pasar malam jika di Malaysia.. Dan di bulan mulia ini, banyak kali Allah hadirkan tarbiyah untuk mengingatkan diri bahawa engkau hanyalah seorang hamba yang menumpang di bumiNya..

3 hari lepas, bersama-sama dengan sahabat dalam satu program yang berlanjutan masanya sehingga lepas asar. Kemudian bila ingin pulang ke rumah masing2, menyedari bahawa solat asar belum dilangsaikan. Lalu tanpa disangka, dia mengucapkan kalam itu..kalam yang sangat menyedarkan diri akan hakikat menjaga solat jemaah ; 'Kita tak solat asar lagi ni..kalau balik rumah masing2, nampak gayanya memang akan solat sorang2 la..takpe, macam ni.. Aku gi umah hang, kita solat sama2 dulu lepas tu baru aku balik rumah.. Rugi wuu solat sorang2, lagi2 dalam bulan ramadhan..'

Alhamdulillah, kata2 itu membuatku tersenyum, melihatkan tarbiyah keimanan daripada Allah. Namun dalam pada itu, kadang kala dihadirkan juga di mata ini insan2 yang pada luarannya boleh dikatakan iman sedang melemah. Sudahlah solat jemaah tidak dijaga, hanya mengejar kemewahan ketika berbuka. Bila berterawih pula, bersungguh-sungguh mencari masjid 'ferrari' yang paling laju, dan kalau boleh tidak mau masjid yang ada tazkirah.


Aku sungguh kagum dengan mereka yang istiqamah berterawih di Qaed Ibrahim yang diimamkan Syeikh Hateem Farid. Syeikh membaca Quran setiap rakaat 3 muka surat lebih, dan dalam bacaan yang pastinya tajweed dijaga. Pada luarannya, mungkin kaki terasa lenguh lama berdiri namun hakikat sebenar yang berlaku ialah imanlah yang lebih mempengaruhi segalanya.. Masakan orang tua mampu istiqamah sebulan terawih di situ sedangkan yang muda2, dua tiga hari sudah bengkak kaki, katanya..

************

Alhamdulillah terasa hati sedang tersenyum tatkala melihat di facebook, orang2 tua dan muda berhimpun di Medan Rabaah demi menuntut sebuah keadilan yang dirampas. Sesungguhnya jiwa pemuda2 Islam masih belum pudar sepenuhnya dari cahaya iman.

Itu bahagian mereka sekarang, sering kali aku terfikir bagaimana sekiranya perkara sama berlaku di Malaysia. Saat itu adakah pemuda2 yang bangkit mempunyai semangat dan kesedaran yang sama seperti syabab Misr? Atau mereka akan tewas dengan ancaman dari kerajaan untuk menarik balik biasiswa pembelajaran, dibuang kerja atau diancam dengan gas pemedih mata. Allah, terasa hati mula merendah diri dengan orang arab..


Tadi beberapa minit sebelum berbuka, berbual2 dengan housemate tentang kerjaya masa depan, perancangan specialist masing2.. Ada yang ingin mengambil ENT, neurosurgeon, dan dermatologist. Tiba2 ada seorang sahabat mencadangkan ; 'Kau kena ambil surgery, nanti boleh pergi Syria, pergi tempat2 perang..sumbangkan bakti kat mana2 pelosok dunia Islam yang memerlukan..'

Cadangan itu mengetuk hatiku. Benar, kata2 itu tersangat benar dan bertepatan dengan situasi dunia Islam masa ini. Tambahan pula, baru semalam bertemu dengan dua arab yang mengaku dari Syria. Sambil menunjukkan passport, mereka memohon sumbangan yang termampu. Aku yang ketika itu bersama seorang sahabat sedang menunggu waktu berbuka sambil menghadap laut Mediterranean didatangi dua wanita arab, yang pada mulanya kami tidak percaya mereka dari Syria lantaran loghat Mesir yang jelas kedengaran.

Kemudian selepas melihat passport mereka, barulah hati berbaik sangka mungkin mereka telah lama berada di Mesir. Kerana sebetulnya loghat Syria agak berbeza dari Mesir, cubalah pergi ke restoran Syria di Camp Shezar bahr, hendak ambil order pun lebih lembut berbanding orang Mesir. Kita bersimpati dengan apa yang berlaku di sana, namun dalam pada itu hati mengakui betapa kita cemburu kerana merekalah insan pilihan Allah, yang telah lama disebutkan dalam hadis baginda..negara Syam..


Sebelum berundur, sedikit kalam untuk semua.. Alangkah indahnya di sepanjang ramadhan ini, jika kita mampu menjaga sebaik mungkin waktu yang paling berharga iaitu waktu sahur. Itu anugerah Allah untuk kita, Dia mudahkan kita untuk bangun sahur, bukan untuk mengadap makanan semata-mata kemudian sambung tidur, seolah2 tujuan bersahur adalah untuk itu sahaja, sekadar memberi kita kekuatan menghadapi hari esok. Allah, rugi yang teramatlah jika memang pegangan sebegitu yang kita amalkan selama ni..

Jangan sia2kan waktu berharga itu dengan perkara dunia. Usah dikejar update status facebook, mengadu itu ini di twitter, bersahur ikan bilislah, takde selera nak makanlah, aduh jangan2, itu terlalu rendah martabatnya, semua itu tak penting pun.. Apalah sangat kepuasannya jika hendak dibandingkan dengan kurnia yang Allah ingin berikan pada kita..terlalu jauh...

Selesai makan, ambil wudhuk, berqiamullaillah selama mana yang ada. Kalau dapat dua rakaat pun cukuplah, itu jauh lebih baik dari 5 minit scroll facebook membaca status orang lain. Hargailah apa yang Allah bagi pada kita hari ini, kelapangan dan kemewahan. Jika ditakdirkan semua ini ditarik suatu hari nanti, berlaku peperangan armageddon iaitu perang akhir zaman, saat itu mungkin kita tidak memiliki sebarang makanan pun untuk bersahur..dan mungkin kita akan menjadi terlalu sibuk atau letih sehingga tiada lagi kesempatan untuk berqiamullail.. Barangkali saat itu barulah kita mengerti betapa lazatnya bermunajat di pertiga malam..

(Minggu lepas ada yang diuji dengan kejahatan sang arab. Semoga dia tabah menghadapinya, dan semoga dia tidak mengeluh atas ujian ini.. Rasullullah kata, tidak akan ditimpa kesakitan pd seseorg itu sekalipun terpijak duri melainkan diampunkan dosa2 yang lalu.. InsyaAllah, ganjaran yang besar Allah sediakan untuk dia, apatah lagi dalam bulan yang paling mulia ini.. Wallahua'lam)

الثلاثاء، 9 يوليو 2013

Bicaraku Tentang Mesir Dan Ujian Persahabatan

Bismillahirrahmanirrahim...

Selepas kelas tadi, ada beberapa sahabat ajak pergi minum di San Stefano. Mula2 menolak, tapi melihatkan kesungguhannya sehingga sanggup belanja, huhu terpengaruh akhirnya. Dia sahabat yang datang dari tempat yang sama denganku iaitu Kelantan. Kami lebih rapat bila berada di Malaysia berbanding di Mesir, mungkin kerana kesibukan dan komitmen yang berbeza di sini.

Hari ini, panjang sekali kami berbicara. Semua perkara disentuh dan dibangkitkan. Perihal persahabatan dan erti hidup pada memberi, alhamdulillah sungguh tidak sia2 pertemuan tadi, bahkan selepas pulang ke rumah pun aku masih merasakan 'kesan' perbincangan tadi, sampai ke hati barangkali.

Itulah indahnya persahabatan, ada masa kita bergurau bergelak ketawa, ada masanya kita saling menasihati untuk satu sama lain. Sangat rugi kan orang yang mensia2kan sahabat yang hadir dalam hidupnya. Kerana sahabat itu, dialah yang akan kita cari di saat kita rasa perlu meluahkan segala gelodak di hati, yang akan kita hubungi tatkala berhajatkan pertolongan.


Ramai orang yang sentiasa ingin mencari sahabat baru, kerana dia merasa bahagia bila mempunyai ramai teman. Namun dalam pada itu, tidak ramai yang benar2 menghargai persahabatan yang telah terbina sekian lama, dia lupa bahawa hati seorang sahabat itu ialah hati seorang insan..yang kadang kala akan menjadi begitu sensitif terutama bila merasakan dirinya tidak lagi diperlukan.

Pernah satu ketika dulu, aku ditegur oleh seorang sahabat; 'Ah kau, cari aku time ada masalah je..' Walau dia hanya mengungkapkan itu sambil tersenyum, dalam hati ini hanya tuhan yang tahu betapa hatiku tersentap waktu itu. Ya Allah aku tidak ingin menjadi seperti itu, sahabat yang hanya mementingkan diri, yang mencari hanya apabila terasa perlu.

Kalau boleh, aku ingin sekali menjadi seperti sang bahagia, Rasullullah.. Sungguh, berbahagialah dia yang kehadirannya ke satu2 tempat membuat orang di situ tersenyum menyambutnya. Bila bayangnya lama tidak kelihatan, ada orang menghubungi bertanya ada urusan apakah yang menghalang dirinya dari menziarahi orang di sana...

*************


Kala ini, dunia sedang berbicara tentang Mesir yang sedang bergolak gara2 pencabulan demokrasi yang dilakukan oleh musuh2 Islam. Dan aku sedang berada di tengah2 itu, menyaksikan dengan mata sendiri setiap detik yang berlalu. Ada orang mengharapkan agar evakuasi kedua berlaku lagi seperti pada tahun 2011, tatkala kerajaan menghantar kapal terbang untuk mengangkut semua penduduk Malaysia pulang ke tanah air. 

Sejujurnya, ada dua perkara yang menjadi kebimbanganku di situ. Pertama, kalau kami dihantar pulang, ada kemungkinan itulah kali terakhir kami menjejakkan kaki di Mesir dan terpaksa menyambung pengajian di tempat lain. Juga yang menjadi masalah ialah universiti di Malaysia tidak mampu menampung mahasiswa perubatan yang seramai ini.

Memikirkan itu aku menjadi sedikit risau, iyalah kami sekarang langsung tidak memiliki apa2 kelayakan melainkan sekeping sijil SPM.. Tiada kerja kerajaan yang akan menerima sijil itu buat masa sekarang memandangkan lambakan graduan2 di Malaysia sendiri. Tapi jika ia benar2 berlaku sekalipun, aku tetap yakin bahawa Allah sudah pasti mempunyai perancangan sendiri untuk setiap dari kami. 


Sebab kedua ialah, kalau boleh aku tidak ingin ketinggalan walau sedetik pun menyaksikan apa jua yang berlalu di Mesir. Kerana aku pasti, apa yang berlaku kala ini pasti akan tertulis dalam lipatan sejarah  yang akan dibaca oleh generasi2 mendatang. 

Satu ketika dahulu, ketika sedang membaca kisah dan faktor2 kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, sering kali hatiku menafikan kebanyakan dari fakta itu. Aku tak boleh menerima apabila umat Islam sendiri menjadi pak turut kepada yahudi dalam menjalankan agenda mereka. Hatiku marah apabila membaca umat Islam pada masa itu yang terlalu mudah percaya dengan khabar angin yang kalau tengok dengan sebelah mata pun boleh tahu itu agenda jahat.

Juga, apabila musuh2 Islam menerapkan sifat assabiyah dalam umat Islam, semangat kebangsaan dan semangat kenegerian, mudah sekali mereka terpengaruh. Aduhai berkali2 aku bertekak dengan sahabat2 di sini bahawa aku tidak boleh menerima faktor itu, terlalu naif..kebodohan, mungkin..


Lalu sehinggalah berlaku satu persatu tragedi di bumi anbiya' saat ini, hatiku mula membenarkan.. Rupa2nya sejarah lalu sedang cuba berulang kali. Aku boleh melihat betapa arab2 di sekelilingku sedang dihambat dengan jahiliyah dan pembodohan yang dilakukan oleh orang2 atasan. Oh sungguh hebat perancangan musuh, sekali mereka memetik jari, berjuta2 orang Islam akan menyahut seruan mereka dan menjalankan agenda2 jahat itu, tanpa bantahan.

Hancur harapan serta mimpi2 ku sejak sekian lama, untuk melihat Mesir menjadi pemangkin kepada kebangkitan dunia Islam seterusnya menghancurkan tamadun2 barat yang menyesatkan. Sejak kecil aku menanam impian untuk ke sini, kerana ustaz2 selalu menceritakan kehebatan universiti azhar dan orang2 arab mesir yang kuat mengamalkan ajaran Islam.

Sejak dari dulu aku tidak percaya kepada negara arab lain, Arab Saudi, Jordan, Lubnan, Kuwait, UAE dan semuanyalah, kerana setelah mendengar penerangan demi penerangan, memberi aku gambaran bahawa mereka tidak mampu untuk menggalas tanggung jawab sebagai penggerak kepada kebangkitan dunia Islam..


Namun kini, bumi impian ku sedang menuju pada kegelapan, sedikit demi sedikit.. Andai kata Ikhwan Muslimin diharamkan semula seperti yang diminta oleh Baradei, Allah saat itu seolah2 sinar cahaya Islam sedang mulai memudar.. Ah, panjang pula menulis pasal Mesir, sedangkan diri sendiri bukanlah orang yang layak untuk memberi pandangan. Lagi pula di facebook sudah terlalu banyak page2 yang menceritakan tentang keadaan Mesir, so cukuplah naa..

Kurang sejam setengah lagi azan maghrib akan berkumandang, menandakan pengembaraan sebulan ramadhan akan bermula.. Bulan ini terlalu hebat, terkandung di dalamnya jutaan rahmat Allah yang jika diperhatikan, sgt mengajarkan hamba2Nya betapa kita beruntung dipilih untuk menyembahNya.. 

(Alhamdulillah, saat ini seolah2 ketenangan sedang menguasai segenap ruang di hati. Masalah persatuan, buku2 medic, dan perkara2 lain kelihatannya tidak lagi menjadi perkara yang memberatkan hati ini.. Ku harap ini tanda kasih dariNya, dan semoga mampu ku jadikan ramadhan kali ini adalah yang terbaik yang pernah aku lalui sepanjang 22 hidup di dunia.. Wallahua'lam ^_^ )

الاثنين، 1 يوليو 2013

Rahsia Sering Kali Mengindahkan Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini seharian berada di rumah, lantaran arahan keselamatan dari pihak berwajib yang mengarahkan semua agar tidak keluar rumah, kerana di luar sedang berlaku apa yang dinamakan Tamarrud 30 Jun. Kali ini kelainan terasa, tidak seperti revolusi yang berlaku pada 25 Januari 2011, yang pada ketika itu aku di tahun dua..

Walaupun revolusi itu jauh lebih besar, namun perasaan kali ini tidak sama, ada rasa takut, amarah dan geram dalam hati. Kalau dulu aku dan beberapa kawan masih berani pergi ke tempat mereka berhimpun, tapi sekarang tidak lagi. Kerana waktu itu yang mereka tentang ialah kerajaan yang zalim, semua rakyat bersatu ke arah itu. Tapi sekarang kami tidak lagi mengenal siapa kawan dan siapa lawan.

Beberapa hari lepas, seorang kawanku yang berjanggut, berjambang telah di 'warning' oleh seorang arab 'Jaga kau 30 Jun nanti!' Kebetulan pula wajahnya memang mempunyai iras2 arab. Tadi di masjid selepas solat zohor, ketika sang imam memberi tazkirah (ku rasakan dia menyokong Mursi, melihatkan janggut lebatnya), bangun seorang makmum membantah kata2 imam, tinggi sekali suaranya, langsung tidak menghormati majlis ilmu di rumah Allah..


Aduhai benar2 kali ini mereka sedang menentang Islam. Kata seorang sahabat arab, that demonstration is against Mursi, not against Islam (kamu boleh baca postnya di wall facebook ku..) Tapi bagiku alasannya tidak kukuh. Melihatkan serangan yang mereka lakukan terhadap masjid, terhadap orang2 yang berjanggut, mencampak Quran, tidak menghormati azan, menguatkan lagi keyakinanku bahawa orang2 liberal dan sekular di Mesir sudah dirasuk syaitan yang menggila.

Sehingga kini, kalau tidak salah sudah berbelas-belas pemuda Ikhwan terbunuh. Allah, kadang2 terasa darah muda membara mendengarnya. Tapi begitulah pemuda2 yang ditarbiyah, walau sahabat sendiri terbunuh, mereka tidak semudahnya membalas dendam selagi tidak menerima arahan dari pimpinan. Namun jika keadaan selepas ini tidak terkawal sehingga menyebabkan lebih banyak kematian dan kerosakan, saat itu mungkin jihad diisytiharkan. Dan saat itu, kalian saksikanlah amukan pemuda2 islam yang sudah sekian lama menanti panggilan syahid!

Walau bagaimanapun, orang2 di Malaysia tidak perlu bimbang, insyaAllah kami baik2 sahaja. Duduk di rumah diam2, study dan melayari internet, kerja2 persatuan lumpuh seketika. Kini aku tidak lagi berani isytihar menyokong Mursi terang-terangan, kerana pernah ada seorang kawan dijerkah di dalam train kerana mengungkapkan kalam itu.

***************


Beberapa hari lepas, aku berjalan berdua dengan seorang sahabat. Berbincang tentang sejarah lalu, perancangan, dan berbicara tentang kehidupan. Sungguh, sejak dulu aku suka mendengar orang bercerita tentang kisah hidup mereka, kerana bagiku setiap insan itu pastinya mempunyai cerita tersendiri, yang jika direnung dan diperhatikan, sangat mengajar diri hakikat kehambaan.

Siapa sangka, seorang yang sentiasa hadir di hadapan kita setiap hari, selalu bercakap dan bercanda, di sebalik itu rupa2nya menyimpan seribu satu rahsia yang memeritkan jiwa. Kadang2, kita tidak bersetuju dengan tindakan atau perancangannya yang kelihatan seperti tidak tepat. Tetapi kita lupa, kita tidak pernah berada di zaman silamnya, dan kita tidak pernah tahu bagaimana keadaannya sebelum dia hadir dalam hidup kita. 

Sahabat ini, tidak pernah terlintas di fikiranku begitu sekali jalan yang pernah dia lalui. Sepanjang 4 tahun perkenalan, melihatkan ketenangan dan personaliti hebat yang ada dalam dirinya, ku kira pasti tiada seorang pun yang menyangka bahawa dia sedang menyimpan duka dalam di hatinya, lantaran masalah keluarga yang diuji dengan fitnah wanita luar.


Dengan penuh tabah, dialah yang berkorban segalanya, mengorbankan perasaan dan perancangan sendiri demi untuk melihat ibu dan adiknya merasai secebis ketenangan. Aku diam mendengar setiap inci ceritanya. Inilah kisah hebat, yang aku sedang saksikan benar2 berlaku di dunia nyata.

Dalam hidup ini, berapa kali kita tertipu dengan senyuman yang sahabat berikan untuk dia menutup kedukaan di hatinya. Berterima kasihlah kepada sahabat seperti itu, kerana dia mengajar kita cara menyembunyikan kepiluan hanya untuk Yang Esa. Tersenyum bukan bererti kita sedang gembira, namun sekurang2nya kita berharap mampu mendamaikan orang sekeliling.

Juga dalam kitab Hikam ada mengingatkan, kita selalu tidak dapat apa yang diinginkan oleh hati sendiri, agak2 kerana apa ya? Kita sudah berikhtiar sehabis cara, mencuba ubat dan doktor pakar dari semua tempat, tapi kenapa penyakit itu masih belum sembuh? Tidak lain tidak bukan adalah untuk mengingatkan insan bahawa yang sebenarnya ada satu kuasa agung sedang mengawal diri kita, sedang menyusun atur pergerakan alam.. Itulah Allah Maha Besar, tuhan yang pernah menyejukkan api di badan Nabi Ibrahim, yang pernah membelah lautan untuk nabiNya Musa As..

(Seminggu lagi akan start exam, sebulan kemudian akan pulang ke Malaysia, manakala ramadhan pula akan datang kurang dari 10 hari sahaja lagi.. Aduh2 bagaimana ni, terasa hati belum benar2 bersih utk menyambut ramadhan, kotoran2 dosa masih menebal.. Dalam detik ini, banyak perkara perlu dilakukan utk urusan seminar..terasa susahnya utk membersihkan jiwa dalam kekalutan seperti ini, astaghfirullah..kena usaha mencari waktu dan ruang utk itu.. Wallahua'lam)