الاثنين، 29 ديسمبر 2014

Sengsara Hati Saat Diintai Ujian

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini hati terasa ingin menulis sesuatu, setelah lama laman ini tidak terusik. Sering kali aku memarahi diri sendiri atas kealpaanku mengabaikan blog ini. Tiga tahun lalu ketika awal2 memulakan penulisan di blog, aku cuba untuk istiqamah kerana melalui tulisan inilah aku mengharapkan adanya saham untukku di akhirat nanti.

Kita tidak pernah tahu kan, di bahagian manakah kata2 kita yang mampu menyentuh hati2 insan di luar sana, seterusnya menjadi asbab untuk dia kembali kepada Sang Pencipta. Aku selalu mengingatkan diri ini ; 'Di setiap post, pastikan ia mengandungi nasihat agama atau sesuatu pengajaran untuk semua orang, jangan sekali-kali post sesuatu yang tidak ada manfaat..'

*********

Sekarang di Malaysia, sedang berlaku banjir besar yang menimpa negeri2 pantai timur, dan rumahku antara yang terlibat. Sebak juga terasa di hati bila mendengar suara bonda tersayang yang sedang berada di pusat pemindahan bersama ibu saudara dan sepupu yang lain. Manakala ayah, abang dan kakakku masih bertahan di rumah sendiri, semua berkumpul di tingkat atas kerana ruang bawah sudah dipenuhi air sedalam 1.5 meter (lebih kurang).


Terlintas juga di fikiran untuk pulang seketika ke kelantan, membantu keluarga dan orang kampung membaik pulih apa yang ada. Namun bila difikir kembali, ia bukanlah pilihan terbaik kerana tambang yang mencecah lebih rm2000 itu lebih baik digunakan untuk membeli perabut2 yang rosak. Dan aku berdoa pada tuhan semoga ini pilihan yang tepat...

Untuk malam ini, saat ini, aku terasa hatiku begitu bening. Satu peristiwa yang berlaku pada sahabatku benar2 mengukir kesan pada hati ini. Ketika bersama sahabat itu mendengar kisah dari hatinya yang sedang remuk, membuatkan aku menyedari sesuatu, bahawa sengsara atau tidaknya hati seseorang ketika diuji bukanlah bergantung kepada besarnya ujian itu, tapi ia bergantung kepada kehendak Yang Esa

Sebab itu ada orang masih mampu tersenyum saat rumahnya terbakar, keretanya dicuri atau orang tersayang dipanggil menghadap tuhan. Namun ada orang lain pula, dia merasakan seolah2 hidupnya sudah berakhir walaupun hanya gagal sekali dalam peperiksaan. Itulah bezanya. Bila Allah meletakkan kesengsaraan dalam hati seseorang, saat itu tempat terbaik untuk kembali hanyalah mengadu padaNya jua. Mudah2an dengan itu bisa mengembalikan kekuatan yang sedang beransur pergi. 


Sahabat itu, dia antara insan soleh yang pernah ku kenali. Dia insan berpandangan jauh, yang sentiasa bijak membuat perancangan hidup. Dia merangka sendiri plan hidupnya, tentang jodohnya, dan segala2nya untuk kebaikan diri dan keluarganya. Bagiku, dia insan bertanggung jawab. Namun itulah, mungkin Dia ingin mengajar hambaNya bahawa yang berkuasa menahan segala sesuatu hanyalah Dia, walaupun kita telah membuat perancangan yang paling hebat di atas muka bumi.

Sebelum ini, ku menyangkakan bahawa untuk memilih bakal pasangan hidup, kita perlu mengambil hati orang tuanya terlebih dahulu sebelum mengambil hati si wanita, (dan itulah yang aku lakukan sebelum menikah) Aku menyangka itulah jalan terbaik dan jalan yang berani untuk membuktikan keikhlasan cinta. Namun ternyata aku silap.

Sahabat itu juga melakukan perkara yang sama kepada ibu calon pilihannya, dia menghubungi si ibu dan mereka berhubung dengan baik. Ketika pulang ke Malaysia, si ibu mengajak sahabatku bertemu, dan segala2nya tampak berjalan lancar dan pengakhirannya pasti indah. Namun langit tak selalunya cerah, kadang2 datang sang awan menutupi mentari indah lalu bumi pun bertukar gelap.


Tatkala hati sahabat sedang senang dengan semua perkembangan, ketika itulah perkhabaran buruk datang, bahawa si wanita sebenarnya sudah berkhitbah. Ya, ibunya tidak mengetahui tentang itu! Alangkah dukanya hati si sahabat. Segala usahanya selamanya ini seolah2 sedang menjadi debu berterbangan. 

Dukanya berlalu hari demi hari, hatinya terasa begitu rapuh. Sebetulnya, bukan sekadar cinta di hati yang terpaksa dilepaskan, namun baginya itulah wanita yang terbaik untuk keluarga dan untuk masa depannya. Walau sukar mana untuk menelan, namun dia masih seorang laki2 soleh. Dia sedang bangkit dan aku percaya kesedihan itu tidak akan berkekalan.

Sebagai seorang yang biasa menguruskan unit baitul muslim, bagiku peristiwa seperti ini jarang berlaku. Mungkin aku tidak adil kerana hanya mendengar dari sebelah pihak, aku akuinya dan maafkan aku akan kekurangan itu.

Sekadar nasihat dari seorang insan biasa, sebelum mengambil apa2 keputusan besar dalam hidup, adalah lebih baik kita utamakan orang tua, berkongsi dan dengar pendapat mereka, pasti ada keberkatan di situ. Ingatlah nabi pernah menyebut dalam hadis '"Redha Tuhan itu terdapat dalam redha kedua orang tua serta kemurkaan-Nya terdapat dalam kemarahan kedua orang tua."

(Sahabat, dalam doa aku sentiasa menyebut namamu. Aku pernah melihat air matamu mengalir di pipi, dan dari situ aku menyaksikan betapa hatimu sedang sengsara. Aku percaya, di sana ada wanita lain yang lebih baik sedang tersedia untukmu. Cuma untuk saat ini, ku harap kau bersabarlah... Wallahua'lam)