الاثنين، 24 ديسمبر 2012

Andai Kamu Tidak Disatukan

Bismillahirrahmanirrahim...

Ada seorang lelaki, mungkin dia merasa jodohnya telah sampai lalu dia melamar seorang wanita untuk dijadikan isteri, bukan sebagai kekasih. Masa berlalu, akhirnya si wanita menerima. Namun apakan daya, sesoleh mana pun lelaki itu, dia masih lagi seorang insan biasa, ternyata Sang Pencipta turut mempunyai perancangan buatnya.

Wanita tersebut meminta putus atas beberapa bulan selepas itu. Mungkin di hati keduanya merasa tidak sanggup namun atas beberapa alasan, ia berlaku jua. Berapa purnama berlalu, setelah meminta izin dari orang tuanya, sang lelaki melamar lagi seorang perempuan. Hatinya ikhlas ingin mencari seorang isteri.

Sang lelaki mengkhabarkan kepada wanita yang pernah dilamarnya dahulu tentang situasinya yang terbaru, dengan harapan si wanita mengerti dan tidak mengharap lagi padanya. Namun yang diharap tidak berlaku, ujian pula mendatang. Rupa2nya, si wanita masih menyimpan perasaan padanya, lalu perasaan serba salah menguasai hati sang lelaki.Tatkala mereka berselisih dalam perjalanan ke kuliah, terpancar kesedihan dari wajah si wanita.. 

jazakumullah khair utk yang buat ni...

Hati sang lelaki terusik, bukan niat di hatinya untuk memungkiri janji, kerana sememangnya dia tidak pernah berjanji. Bahkan hatinya sendiri menangis sewaktu wanita itu meminta hubungan mereka berhenti setakat itu sahaja.

Alhamdulillah, luka walau separah mana pun, akhirnya kan terhenti jua. Sehingga kini, kelihatannya wanita tersebut semakin redha dan dapat menerima apa yang berlaku. Mungkin wujud perasaan kesal di hatinya kerana terburu2 melepaskan cinta sang lelaki. Mungkin juga Allah ingin ajarkan sesuatu, jangan terlalu mudah untuk melepaskan sesuatu yang dalam genggaman..takut2, ia tidak kembali lagi..(terima kasih kepada sahabat kerana sudi berkongsi kisah benar ini)

Cinta itu tidak semestinya memiliki. Lihatlah kisah cinta Salman al Farisi, hatinya merelakan cinta untuk sahabat karib sendiri, Abu Darda. Jangan pula melupakan kisah Thalhah, sahabat agung Rasulullah SAW yang jatuh cinta pada isteri Rasullullah, Saidatina Aishah namun akhirnya turun ayat yang melarang menikahi bekas isteri nabi.


Dia sahabat nabi yang mulia, mana mungkin sanggup melanggar perintah Allah Yang Esa. Kelak, tetap dengan penuh cinta dinamainya puteri kecil yang disayangi dengan nama Aishah..Aishah Binti Thalhah..

Itu sahabat yang tinggi martabat di sisi Allah, namun Allah tidak mengizinkan cinta hati mereka bersatu di dunia. Tiada air mata untuk mengenang kegagalan cinta, yang ada hanyalah air mata dalam doa2 mereka..Inikan pula kita yang setiap saat melakukan dosa, patutkah kita mempersoalkan apabila Allah tidak mengizinkan cinta kita bersatu?

Kepada lelaki yang melamar, jangan berduka saat cintamu ditolak, kerana Saidina Umar juga pernah ditolak lamarannya. Dan kepada perempuan yang dilamar, jangan takut untuk menolak andai hatimu ragu, kerana setelah berkahwin talak bukan lagi terletak di tanganmu.

Aku lihat, ramainya mereka yang mengikat tali pertunangan dalam jangka masa yang panjang, atau bercinta ketika hati belum bersedia untuk menikah. Natijahnya, tidak sedikit yang berpisah di tengah jalan. Bermacam alasan diberikan, kononnya baru dapat kesedaran bercinta itu tidak baik, namun tidak lama selepas itu pandai pula bercinta dengan wanita lain.


Ada yang beralasan kejarlah cita-cita dahulu, kelak bila tiba masanya aku kan kembali menuntut cintamu. Alahai ayat sang lelaki sentiasa manis kala bertutur. Sedangkan alasan sebenar hanyalah satu iaitu JEMU.

Oh aku salah… Bukan sahaja lelaki yang mudah jemu, kerana beberapa minggu lepas aku mendengar kisah dari sahabat lama, tentang si perempuan yang melepaskan ikatan pertunangan meraka lantaran tewas dengan rayuan cinta lelaki lain.

Sayang sekali, setelah 5 tahun bersama mengikat janji, kemudian ditakdirkan berjauhan, akhirnya kerana seorang lelaki yang baru dikenali, segala kenangan tercipta menjadi sia2. Biarlah semua itu, kerana aku sedang melihat hikmah yang berlaku, bahawa lelaki itu nampaknya semakin kembali mencari cinta hakiki, mula mengenal cinta Yang Esa.

Hidayah itu, bisa ditemukan bila2 masa sahaja apabila diizinkan oleh Yang Esa, di mana2 tempat di bumi atau angkasa raya. Namun dalam pada itu, kesedihanlah yg selalu membawa insan kembali padaNya. Kedukaan sering menundukkan hati insan yang selama ini angkuh dengan apa yg ada padanya, lalu akhirnya tunduk menyatakan lemahnya diri...dan di situlah tersembunyi ketenangan yang paling indah...

**************

  
Ketika menulis ni, sedang dalam perjalanan pulang dari Kaherah, pulang dari menziarahi sahabat rapat yang kuat berjuang. Aku jadi segan melihat semangat itu, ya Allah aku tahu Engkau sedang menegurku.. Walaupun dia mengambil medic, biliknya mengalahkan seorang ustaz, dipenuhi dengan kitab2 arab yang tebal.

Hebat sekali bahasa arabnya sehingga mampu membaca dan mencari dalil apabila aku mengajukan jawapan. Masa hariannya dipenuhi dengan menghadiri kelas agama seawal selepas solat subuh, selepas kelas dan juga pada waktu malam. Di samping memegang jawatan penting dalam persatuan, pastinya meeting yang perlu dihadiri tidak sedikit.

Lagi satu keistimewaan sahabat ini ialah dalam dadanya tersemat kemas 30 juzuk hafazan Al-Quran. Biarlah aku membuat pengakuan di sini bahawa aku tersangat cemburu pada mereka yang menghafaz kalamullah yang maha agung..pastinya kehidupan sang huffaz berbeza dengan orang biasa, mata mereka lebih menunduk lidah lebih terjaga..Ya Allah izinkan kami semua pemuda Islam mampu melakukannya, semoga kami mampu mendaftarkan diri ke dalam skuad Al-Qassam!

(Kadang, terasa diri tidak mampu berdiri lagi, rasa nak duduk rehat sekadar perhatikan segalanya..Namun apa yg akan ku dapat dengan berbuat begitu, pasti aku tidak layak berada bersama mereka saat Islam mencapai kemenangan..Semoga Allah memelihara diri dari memandang indah perbuatan buruk yang dilakukan..serta memelihara diri drpd menjadi duri dalam daging kpd perjuangan Islam.. Wallahua'lam)

هناك تعليق واحد: