السبت، 4 سبتمبر 2021

Covid Menyerang Lagi

Ketika menulis ni, aku baru terjaga dari tidur. Membaca mesej ayah dari kelantan, sahabat waktu kecilku dipanggil menghadap Yang Esa pagi ini.. Allah seolah tersentak dari tidur terus bangun terduduk membaca itu.

Hati jadi hiba, berdebar dan sayu, semuanya bercampur baur. Allah, ini sahabat lamaku yang sangat ku kasihi. Mana mungkin aku lupakan dirinya, gelak tawanya yang sentiasa ceria waktu kecil dahulu terus bermain di fikiran.

Setiap orang memiliki masa lalu tersendiri. Dan kenangan itu tidak mungkin digantikan walau dengan apa harga sekalipun. Ia adalah sesuatu istimewa yang pernah berlaku dalam hidup setiap insan.


ada orang mintak gambar tasnim lagi dalam blog ni huhu


Aku hanyalah orang kampung biasa yang tinggal di bumi kelantan. Zaman kanak2 kami diisi dengan permainan biasa orang2 kampung. Masuk hutan mencari buluh, membina bangsal konon2 menjadi tempat lepak setiap petang, juga mencari sungai untuk mandi manda terutama bila tiba musim tengkujuh. Ah itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan aku menjadi terlalu rindu kepada mereka.

Andai bisa diaturkan, aku ingin supaya anak2 ku turut mendapat peluang itu, merasakan kehidupan kampung, masuk hutan dan merasakan gatalnya miang buluh yang singgah di badan. Kemudian bergotong royong memotong rumput sebelah rumah usang yang dah lama ditinggalkan, semata2 untuk dijadikan padang bola kecil. Alahai kenangan itu sering kali mengkhayalkan.

Kini sahabat itu telah pergi selamanya bertemu dengan Sang Pencipta. Bagiku dia orang baik. Membaca komen2 di facebook tentang pemergiannya, insyaAllah semua orang mendoakan dan merindukan kebaikan arwah.

******

gambar yang viral di sandakankini tempoh hari


Ketika menulis ini juga kes covid sandakan sedang meningkat naik tanpa menunjukkan sedikit pun belas kasihan. Semalam aku pulang lewat dari hospital lantaran kerja yang berlambakan. Aku tidak pasti bila wabak ini akan berakhir tapi yang pastinya, sandakan langsung tiada tanda2 penurunan bahkan kes semakin teruk dari hari ke hari.

Keadaan hari ini sangat berbeza dengan gelombang October 2020 tahun lalu, pasca pilihanraya sabah. Andai bisa aku merakam kejadian di jabatan kecemasan dan dikongsikan kepada umum, aku pasti ramai yang akan terkejut dan tidak percaya dengan keadaan sekarang.

Tangki2 oxygen hampir kehabisan, setiap hari aku melihat mereka menggantikannya tanpa henti. Ward2 covid semakin banyak dibuka, bermakna ward untuk pesakit biasa semakin berkurangan. Serangan covid kali ini terlalu pantas dan bahaya, majoriti pesakit yang datang memerlukan oxygen support, bukan lagi sekadar stage 1 atau 2 seperti tahun lalu.


semalam bawak abg adik jogging taman dekat rumah


Bahkan ramai pesakit covid stranded di kecemasan dalam tempoh yang lama, ada yang dua tiga hari menginap di jabatan kecemasan lantaran ward tidak lagi mampu menerima kemasukan pesakit baru. Mungkin tidak keterlaluan aku katakan andai bisa kalian lihat keadaan di sana, seolah2 kalian sedang menyaksikan drama tv yang sedang memaparkan kisah dan suasana di medan perang.

Satu perkara lagi yang ingin aku ceritakan pada kalian, iaitu tentang bahayanya obesity. Aku pasti setiap staff yang menjaga pt covid akan merasakan perkara yang sama. Ya ramai tahu bahawa obesity merupakan salah satu criteria untuk high risk category, termasuk elderly atau pesakit yang memang ada penyakit kronik seperti masalah buah pinggang atau jantung.

Ingin aku khabarkan, sudah terlalu ramai pesakit yang aku saksikan di sini iaitu pesakit muda yang tidak pernah ada masalah kesihatan, datang dalam keadaan nyawa2 ikan, gasping of air. Bila ditanya dan diperiksa, hanya satu risk factor iaitu obesity!

young patient, no risk factor except obes


Dan biasanya mereka datang dalam keadaan yang sudah tenat, yang memerlukan high flow nasal cannula or even intubation. Bila dilihat pada chest xray, seolah2 sedang melihat kayu yang sedang dimakan anai2!

Maafkan aku andai berbicara seperti itu. Aku hanya ingin kalian sedar bahawa covid itu wujud, dan covid itu bahaya. Di sini kami menyaksikan apa yang mungkin kalian tidak pernah lihat sepanjang hidup kalian, dan kalian tidak akan pernah sanggup melihatnya.

Sampai satu ketika, kami terpaksa menyaksikan kematian demi kematian di jabatan kecemasan. Dan ini peringatan untuk diriku sendiri sebenarnya. Selagi mampu, berusahalah untuk menjaga berat badan, pastikan BMI <30. Timbang berat badan dan ukur tinggi untuk diri sendiri, seandainya melebihi 30, maka kalian sendiri tahu inilah masanya untuk melakukan sesuatu sebelum segalanya sudah terlambat.

(Kenangan itu seringkali mengindahkan hidup kita hari ini. Kita semua tidak sanggup melupakan kenangan, kerana kenangan itu tidak pernah berubah di saat semua yang berada di sekeliling sudah berubah. Tapi ada sahabat yang menyambung 'Boleh jadi persepsi terhadap kenangan bisa berubah...' Ada betulnya kan.. Wallahua'lam ) ^_^ 

الأربعاء، 25 أغسطس 2021

Aku ingin menulis lagi

Waktu menunjukkan jam 1 pagi sewaktu aku memulakan tulisan ini. Ketenangan yang ku rasakan saat ini membuatkan hati ingin berkongsi sessuatu. Sebetulnya pada musim covid pandemic ini, setiap hari yang dilalui memang meletihkan, terutama ketika menjaga bilik gerakan covid dan zon merah covid.

Berada di unit kecemasan, bermacam jenis pesakit yang ku temui. Ada antaranya membuatku tersenyum sendirian mengingatkannya, ada yang menjengkelkan hati. Juga tidak sedikit air mata penderitaan yang mengalir di depanku terutama bila melibatkan nyawa orang tersayang..

Ada satu ketika, aku pernah bertemu seorang mahasiswi universiti tempatan, datang kerana sakit gastrik yang bersangatan. Setelah diberi ubat dan hydration, sakit masih tidak berkurang. Lalu ku capai mesin scan, ya Allah sungguh terkejut besar ketika memandang skrin..

Langsung tidak disangka yang akan ku temui adalah seorang janin yang tidak berdosa sedang membesar dengan sihat di dalam rahim ibunya.

Gambar tempoh hari ketika menyampaikan bantuan di pulau2 sekitar sandakan..

'Adik, kau pernah bersama dengan mana2 lelaki???'

Berkali2 dia menafikannya. Namun setelah ditunjuk skrin itu, dia langsung terkedu.. Lalu ketika dipanggil orang tuanya setelah meminta izin, aku jelaskan sewajarnya. Sang ayah kelihatan tenang, hanya memandang si anak tanpa sepatah perkataan.

Namun sang ibu, terus tumpah air matanya di situ jua tanpa mampu ditahan lagi. Mungkin harapan kepada si anak terlalu tinggi ingin melihat dia berjaya di menara gading seterusnya membuatkan sang ibu tersenyum bangga di hari graduasi..

Apakan daya, anak perempuan terlebih dahulu mengecewakan sang ibu dengan mengandungkan anak luar nikah.. Allah..hati ibu manakah yang kuat menerima dugaan sehebat ini...

Dua ekor bulus pemberian saudara terdekat, menjadi peneman adik abg setiap hari


Oh ya ada satu lagi kisah sedih, yang mampu membuat air mata jantanku berkaca setiap kali teringatkannya. Seorang laki2 muda berusia 30 tahun baru sahaja meninggal dunia disebabkan pendarahan dalam otak (hypertensive bleed). Aku keluar untuk mengkhabarkan berita buruk kepada keluarga terdekat.

Usai mengkhabarkan berita itu, keluarga terus menangis teresak2. Ya aku sangat memahami keadaan itu. Arwah si mati merupakan orang harapan dalam keluarga, yang sentiasa berkongsi rezeki dengan adik beradik biarpun gajinya bukanlah banyak mana. Aku membiarkan mereka seketika, tidak menambah bicara lagi.

Ketika ingin berlalu pergi, seorang laki2 datang kepadaku, lagaknya seperti ingin berbicara kepadaku secara sendirian.

'Bolehkah doktor tolong beritahu isteri arwah pasal berita ni, kami tak sanggup..'

Rupa2nya baru ku tahu, isterinya baru sahaja melahirkan anak sulung mereka, bermakna mereka berdua sedang menantikan kepulangan si ayah. Allah..dadaku seakan pecah mendengar ayat itu. Bayi kecil itu memerlukan pelukan sang ayah, untuk mengalunkan azan di telinganya. Bahkan si isteri juga perlukan sokongan emosi untuk melalui tempoh getir berpantang.

Si adik memang suka berhias, pakai tudung telekong n baju kurung..padahal duk umah tak kuar pun hehe


Sungguh aku tak pernah meminta untuk menyaksikan kejadian seperti ini, bahkan aku tak pernah terbayang akan berhadapan dengan peristiwa seumpama itu dalam dunia nyata. Ya aku pernah melihat puluhan atau mungkin ratusan jenis kematian, menyaksikan pelbagai jenis kesusahan sepanjang aku hidup di mesir dan sandakan. Tapi kisah ini berbeza..

Ia begitu menyentuh perasaanku, menekan emosi bahkan hingga ke saat ini mampu membuatkan aku mengalir air mata setiap kali mengenangkannya.

Mungkin kerana aku punya isteri dan anak kecil yang setiap hari menanti kepulanganku, menyambut di pintu dengan lagak riang dan aksi lucu mereka. Maka kisah itu terasa dekat dengan sanubari ini.


*****

Lamanya aku tidak menulis, typing pun tidak selincah dulu. Huhu aku jadi rindu seperti waktu dulu, setiap minggu aku pasti siapkan satu post di blog ini. Sejujurnya aku menulis bukan untuk orang lain, jauh sekali untuk menasihati orang lain. Kerana ku sedar iman di dada terlalu nipis untuk menyentuh hati orang lain.

Aku menulis hanya untuk meluahkan perasaan ini, untuk dibaca di kemudian hari. Sebetulnya, aku jadi tersentuh ketika membaca tulisan sendiri 6-7 tahun dulu. Setiap kata dan ayat yang dibaca seolah2 begitu dekat dengan keadaanku masa kini, menjadi teguran untuk diri sendiri.

Aku tidak tahu bagaimana untuk istiqamah menulis, ditambah lagi dengan jadual covid yang sentiasa berubah, sambil menemani anak2 untuk bermain dan berlari. Namun aku tahu aku pasti menulis lagi, kerana aku merasakan ketenangan di dalamnya... Wasssalam :)