الأحد، 23 سبتمبر 2012

'Sahabatku Bertunang'

Selesainya pengembaraan di bumi Allah, Kelantan dan Terengganu selama tiga hari, alhamdulillah Allah izin banyak perkara dapat dilakukan yang tidak ada di Mesir. Kurang seminggu lagi masa untuk berada di Malaysia, Allah sungguh hati masih belum bersedia untuk ke sana lagi. Aku pasti merindukan dua bulan yang telah berlalu, yang terasa hanya seperti seminggu.

Seakan-akan aku baru sahaja tiba dari Doha, kemudian disambut keluarga di airport seterusnya dijamu pula nasi ayam. Selepas isyak, membawa bonda tercinta makan roti canai. Menjelang aidilfitri, abang membawaku membeli jubah di Masjid Muhammadi selepas berterawih, juga membeli kopiah Raihan yang telah lama ku idamkan. Ya, segala-galanya masih segar dalam ingatan.

Eh apa yang aku merepek ni, aku tidak boleh begini, mengingati sesuatu yang akan memperlahankan rentak hidup. Hari ini, tanggal 21/9/2012, sahabatku Hamizan, juga merangkap kapten pasukan futsal selamat diijabkabulkan, alhamdulillah mendengar berita itu sudah cukup membuat daku tersenyum menumpang bahagia.


Mijan, tiga bulan lalu, ketika aku terserempak denganmu berjalan seorang diri di Ibrahimiyah, katamu engkau sedang mencari peralatan rumah sewa yang akan didiami  kamu dan pasangan selepas cuti. Tahukah engkau Mijan, hatiku sebenarnya tersentuh dengan pertemuan petang itu, tersentuh melihat betapa bertanggung jawabnya akhlak seorang bakal suami.

Engkau menyiapkan rumah itu seorang diri, memasang kunci, tombol dan sebagainya kerana rumah yg bakal engkau diami itu terlalu banyak kekurangan. Walaupun bibir ini tidak terluah masa itu, namun sebenarnya aku kagum padamu sahabat, sebelum berkahwin lagi engkau sudah berkorban itu ini, daku tidak terbayang bagaimana pula kiranya selepas berkahwin.

Beberapa hari lepas, seorang housemateku di Mesir juga telah mengikat tali pertunangan dengan si dia yang telah lama bertakhta di hati. Hai Naqib2, nampaknya lepas ni kami kena cari pengganti baru la untuk mengisi kekosongan bilikmu. Cepat benar engkau mengatur langkah ya, terasa masih baru lagi engkau menceritakan perasaan haru biru tatkala mengetahui si dia mempunyai ramai peminat.


Engkau ingat lagi tak peristiwa itu? Ya pukul 2 pagi ketika musim sejuk, masa tu aku sedang study sorang-sorang, di rumah lama kita. Lalu aku berlagak konon-kononnya seorang pakar cinta memberi nasihat padamu, huhu lucu juga bila mengenangkan kembali ayat2 yang ku aturkan. Tapi yang peliknya, engkau diam mendengar kata2ku, haha aku pun sudah lupa dari mana aku mencedok semua ayat itu.

Takpe Qib, jangan risau aku tidak akan membongkar rahsiamu dalam2, kerana itu bisa menjadi kenangan manis yang akan engkau ceritakan kepada si dia apabila sudah halal nanti.. ^_^

Yang pastinya, aku dan housemate yang lain, Mori dan Fakhrul akan sentiasa mendoakan kebahagiaanmu, dunia dan akhirat. Walaupun engkau sering meninggalkan kami di rumah setiap kali cuti, engkau study di library sehingga digelar 'Pemegang kundi maktabah', kami tetap menganggapmu housemate yang terbaik.

Ya, masakan kami lupa segala telatah lucumu menonton Mr Bean dan cerita kartun, lalu turut mengundang tawa kami memandangmu yang sedang tergelak besar itu. Haha mengenangkan itu pun sudah cukup membuat daku tersenyum sendiri.


Cuma, engkau kini dalam proses pertunangan, satu keadaan yang berat bila dinilai dari kacamata seorang pemuda yang menjaga diri. Jangan berlebihan apabila contact, mintalah fatwa hatimu sendiri adakah perkara yang engkau lakukan itu salah atau tidak, kerana hati bisa memberikan jawapan yang tepat. Apabila engkau berasa sudah terlebih dalam perkataan, hatimu pasti tidak tenang dan saat itu, berundurlah, jangan teruskan.

Kerana semua itu bisa merosakkan kemanisan bercinta selepas berkahwin. Jangan pula terlalu syadid sehingga menyusahkan segalanya. Perkara yang harus gunalah sekadarnya, dan perkara makruh jangan biasakan. Ada kisah yang ku dengar, pertunangan menjadi medan pergaduhan lantaran sang lelaki yang terlalu berkeras dalam 'menjaga'.

Sejujurnya, aku dapat melihat perubahan positif dari dirimu dalam tiga tahun terakhir ini. Mungkin sejak engkau mengenalinya, sudah terbit perasaan dalam hati ingin menjadikannya suri hidupmu, lalu engkau mencari ilmu2 agama demi menjadikan diri pemimpin yg bersedia mengharungi samudera alam rumahtangga. Banyak juga buku2 agama yang tersimpan di mejamu, hehe tidak kurang buku cinta, (jangan marah, terbocor ^_^ )


Engkau juga belajar memasak, kerana engkau tidak ingin selalu menyusahkan si dia selepas nikah nanti. Walaupun pernah berlaku tragedi di rumah lama kita, api tiba2 marak dalam kuali, ketika itu engkau keseorangan di rumah, haha Naqib2, ada sahaja kenangan yang engkau ciptakan kepada kami, sungguh semua itu akan menjadi memori terindah dalam persahabatan kita.

(Jadi kpd kamu dan semua yg tlh bertunang or nikah, diharapnya sudilah menjaga hati2 org yg masih single ni, jangan terlalu expose kan keromantisan itu. Aku sendiri pernah kena beberapa bulan lepas di library, huhu niat nak study sampai petang, akhirnya tak sampai berapa jam dah angkat kaki balik rumah, tak sanggup nak melihat adegan2 manis pasangan tahun 6 di meja sebelah, meliuk lentok di bahu sang suami ketika membaca buku.

Kami bukan cemburu melihat kalian, tapi kadang2 hati kami tidak kuat mana utk mujahadah menundukkan fitrah cinta. Rasa ingin mengasihi dan dikasihi itu memang ada, tapi kami juga mempunyai alasan kenapa kami harus menyembunyikan rasa itu jauh di dasar hati buat masa ini. Apa2 pun, selamat meniti hari2 bahagia kalian bersama si dia yg sudah halal! ^_^
Wallahua'lam)

الأحد، 16 سبتمبر 2012

Jangan Berlebihan di Facebook

Ku lihat kiri dan kanan, dalam lautan manusia ketika itu, aku mencari-cari ruang untuk bersolat. Ya, bersolat atas padang, atas rumput merupakan satu perkara yang janggal bagi orang melayu. Tiada sejadah, karpet yang berkurangan membuatkan orang ramai agak berebut-rebut untuk satu-satu tempat.

Aku dan sahabatku, Ammar tidak sekalut itu, mungkin kerana di Mesir sudah biasa solat di atas jalan, mungkin. Biarlah, bila lagi kan nak mencium haruman rumput di Malaysia, kerana yang pastinya di Mesir kami tidak akan mendapat peluang itu.

Iqamah sudah dilaungkan, hanya menunggu masa imam mengangkat takbirratul ihram. Kemudian, mataku terpandang seseorang di saf hadapan. Ku lihat, dia mempunyai satu sejadah kecil dan satu kain yang agak panjang. Dia menghamparkan kain itu, dan hamparkan sejadah kecil di atasnya. Entah kenapa, hatiku kurang enak memerhatikan senario itu.

Ku perhatikan makmum bersebelahan dengannya, yang tidak memakai apa-apa pelapik. Kenapa ya, dia tidak berkongsi kain panjang itu dengan orang sebelah? Atau sekurang-kurangnya, mengapa dia seolah-olah tidak membenarkan orang sebelah untuk sujud di atas kain atau sejadah itu? Aku tahu, perasaan tidak selesa pastinya terasa apabila sujud atas tanah dan rumput melekat di dahi.


Biarlah, bersangka baik itu lebih baik, kan? Mungkin dia mempunyai penyakit-penyakit berjangkit, dan kain itu boleh menjangkitkannya apabila bersentuhan dengan orang lain. Boleh ke macam tu, tu dikira bersangka baikkah? Menganggap orang ada penyakit berjangkit, huhu entah-entah hati kita yang sebenarnya lebih berpenyakit dengan menganggap orang lain begitu.

Ok sekarang masa tidak banyak, ada lebih kurang 30 minit sebelum masuk waktu asar. Aku ingin berbicara tentang facebook, boleh? Izinkan ya?

Kalau ada kata-kataku yang terkasar, aku pohon maaf awal-awal, mungkin bahasa tulisanku tidak bagus sehingga kamu boleh terasa, kerana yang sebetulnya ketika menulis ni aku berada dalam mood yang baik.. ^_^

Selepas mendengar kata-kata Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi semalam, semangatku kian membahang. Ya sebagai anak muda aku terasa dengan kata2 itu. Bagaimanakah tenaga muda ini harus disalurkan sebaiknya? Ia tidak boleh dibazirkan. Andai aku tidak menggunakannya untuk berjuang, automatiknya ia akan digunakan untuk perkara2 lagha. Dan lagi, ustaz mengingatkan anak muda untuk menggunakan sebaiknya medium facebook dan twitter.


Lihatlah Mesir, regim zalim Mubarak akhirnya tumbang kepada kehendak rakyat, sejarah tidak dapat menyembunyikan kebenaran yang berlaku di sebalik peristiwa itu. Dan kebenarannya ialah segala maklumat-maklumat perhimpunan disampaikan melalui facebook!

Besar sekali kan pengaruh anak muda dalam satu-satu kebangkitan, sebab itulah di Malaysia kini nampaknya ada orang yang 'takut' dengan anak2 muda. Jiwa anak muda penuh semangat, tenaga usah dipertikaikan lagi. Kata pihak itu, mereka tidak salah, jadi usahlah takut. Ini tidak, kenapa mereka seolah2 takutkan bayang-bayang sendiri?

Oh aku sudah sedikit tersasar, bukan itu yang aku ingin kongsikan sebetulnya. Begini, kadang-kadang aku melihat ada antara kita yang terlalu terbuka dalam berkongsikan maklumat. Maklumat peribadimu, foto-foto mesra keluargamu, perlukah engkau pamerkan kepada dunia? Atau, engkau mendapat kepuasan setelah ia di 'like' oleh ramai friend?

Apa sahaja aktivimu hari itu, semuanya engkau upload, ya tidak ketinggalan satu pun! Mungkin engkau seronok begitu, engkau ingin mereka tahu apa yang engkau lakukan sehari-hari, padahal fotomu itu hanyalah sekadar angin yang lalu di mata mereka, (tidak menarik pun..)


Cuma, aku ingin bertanya padamu satu soalan, setelah semuanya engkau khabarkan kepada manusia, apa lagi yang engkau tinggal untuk Allah?

Masihkah engkau mengadu padaNya akan segenap masalah yang engkau hadapi? Masihkah engkau sujud syukur di saat menerima nikmat seperti mana engkau 'bersyukur' di facebook? Khuatirnya, kalau2 di facebook sahaja berlebihan, sedang di atas sejadah doamu tidak lebih sekadar melepaskan batuk di tangga.

Kerana aku pernah bertemu dengan orang sebegitu, dan aku menjadi simpati melihatnya. Seolah2 sudah tiada lagi kepuasan menjadi hamba Allah. Cubalah semak kembali bagaimana kisah Rasullullah SAW, bagaimana baginda mengadu pada Allah, ketika berdoa, ketika bermunajat, sehingga mengalir air mata baginda yang suci.

Sedangkan kita, air mata jauh sekali. Facebook lebih menjadi keutamaan untuk menulis perasaan hati, kemudian apabila ada kawan2 yang komen, rasa puas, rasa terpujuk. Alahai berbeza sungguh kita dengan cara Rasullullah SAW.

Kedengarannya seperti azan sedang dikumandangkan, aku pergi dulu ya. Kamu, jangan marah aku ya, aku ini tidak sempurna, dosa pun banyak. Sebab itulah aku menulis di laman ini, aku mengharap sekurang-kurangnya ada hati yang terjentik walau tanpa aku ketahuinya.

(Mungkinkah hati mula merindukan Mesir, lantaran kawan2 di rumah seorang demi seorang sudah bergerak menuju ke tempat pengajian masing2.. Tapi aku berdusta jika mengatakan demikian, kerana yang pastinya hati semakin tidak tenang menjelangnya tarikh 27hb.. Entah bila pula akan pulang ke Malaysia lagi, kerana nampaknya seorang sahabat sedang merancang sesuatu untuk cuti summer tahun depan.. Biarlah, masih panjang lagi, yang pasti semuanya bisa berubah dengan 'kun fayakun' Yang Esa.. Wallahua'lam)

الاثنين، 10 سبتمبر 2012

Aku Kagum Pada Pemuda Itu

Teman, petang ini aku ingin bercerita padamu, sudikah?

Kisah ini aku jamin kesahihannya, benar-benar berlaku di dunia nyata. Entah bagaimana harus ku mulakan, kisah yang sebenarnya sedang berlaku, dekat denganku. Setiap hari aku menemui seorang pemuda, setiap waktu solatnya pasti berjemaah di masjid dan surau. Bukan setakat berjemaah, bahkan langkahnya ke masjid sentiasa awal. Tidak keterlaluan aku katakan sehingga kini belum pernah aku melihat dia sambung rakaat selepas imam memberi salam (tidak pernah masbuk)

Ternyata, bukan hanya aku yang tertarik pada perwatakan pemuda itu, bahkan setiap ahli jemaah tertanya-tanya apakah sebenarnya yang terjadi? Teman, kamu jangan salah faham, bukanlah kami hairan melihat pemuda sebaik itu melainkan kerana kami tahu bagaimana hakikat pemuda itu sebelum ini.

Ya, dia orang kampung kami, dan ayahnya adalah antara ahli yang sentiasa menghidupkan Masjid Al-Jariah. Kami banyak mendengar cerita berkenaannya dari sang ayah sendiri. Sebelum ini solatnya tidak pernah cukup, bahkan sudah berbelas tahun mungkin dia tidak pernah berpuasa Ramadhan.


Di sebalik kedegilannya tersingkap satu rahsia yang kemudiannya tidak menjadi rahsia lagi, bahawa dia seorang penagih methamphetamine (pil kuda). Kerjanya terumbang ambing, hari-harinya hanya diisi dengan lepak bersama kawan yang tidak selayaknya di gelar kawan! Hutangnya, masyaAllah teramat banyak, mencecah ribuan ringgit.

Lalu dari satu masalah ia berjangkit pula kepada masalah lain, dia mula kenal perjudian, mencuri duit ibu bapanya dan seribu lagi masalah. Begitulah, apabila iman senipis bawang, masakan ia mampu melawan godaan nafsu setinggi gunung.

Kasihan sekali sama orang tuanya, hari-hari hanya bertemankan rintihan dan nasihat yang sama sekali tidak mendatangkan kesan. Ah terlalu banyak kejadian yang ku rasa tidak sanggup untuk dikongsikan semuanya. Bertahun-tahun menderita dengan anak muda itu, namun apakan daya hatinya kala itu tidak mampu melihat air mata tua yang setiasa mengalir.

Kamu, lihatlah sendiri wajah sang syahid ini, dia tersenyum padamu, padaku dan kepada semua orang! 

Namun kuasa Allah, apabila Dia ingin memberi mustahil ia mampu ditahan oleh mana-mana tangan.

'Masa tu aku nak beli pil kuda, dah sampai depan tokey dah. Masa nak hulur duit, tiba-tiba terdengar suara saudara kandungku 'Jangan teruskan , lawan nafsu tu..lawan..lawan..' Aku tak jadi beli, aku tarik tangan dan terus pergi dari situ..'

Aku mendengar ceritanya bersungguh-sungguh, kerana bagiku ada sesuatu yang Allah ingin ajarkan aku, dia dan semua orang.

Untuk pengetahuanmu, kami kini menjadi sahabat dan aku selalu membawanya bersiar-siar dengan kereta ayahku. Teman, aku mahu mengkhabarkan padamu, bahawa kadang-kadang aku sendiri merasa malu dengan pemuda itu. Apabila aku datang ke rumah dan masuk ke biliknya, ku lihat banyak VCD Al-Quran dan zikrullah yang mana menurut ibunya, biliknya tidak pernah sunyi daripada Al-Quran.

Ada hikmahnya dia mengenal jahiliyah, supaya nanti dia sendiri yang akan meruntuhkan jahiliyah itu. Bukankah Saidina Umar pernah berpesan : 'Akan terungkailah ikatan Islam satu persatu daripada seseorang yang lahir membesar dalam Islam tetapi tidak kenal jahiliyah.'



Siapa sangka, pemuda yang pernah dimasukkan ke hospital gila itu akhirnya berubah menjadi insan yang taat beragama dan taat kepada orang tua. Hari raya aidilfitri beberapa minggu lepas, ayahnya menerima sehelai jubah dari anak muda itu, satu surprise yang telah membuatkan air muka ayahnya berubah serta merta, perasaan terharu yang amat sangat.

Dia gemar aku menceritakan kehebatan para sahabat Rasullullah, keberanian mereka mempertahankan Islam. Katanya dia ingin menjadi seperti Khalid al-Walid, si Pedang Allah yang tiada seorang pun musuh Islam mampu membunuhnya apabila berlawan berdepan, oleh itu sang perwira itu mati di atas katil walhal cintanya kepada syahid amatlah besar.

**********

Nah kamu, cukupkah? Hatiku seperti ditarik2 untuk berkongsi cerita ini, untuk pedoman kamu dan aku. Dulu takde orang pun sangka dia boleh berubah sebaik itu, bahkan tak pernah terfikir pun! Namun kini selepas melihat cintanya kepada ilmu agama, aku dapat merasakan tidak mustahil dia menjadi seorang agamawan yang bakal meruntuhkan jahiliyah moden.


Dia pernah berada di dalamnya satu ketika dulu, dan insyaAllah dengan keluarnya dia dari tempat itu akan mampu menghancurkan satu persatu tembok kejahilan. Aku yakin padanya, semangat mudanya begitu tinggi, bahkan mungkin mengalahkan sesetengah agamawan yang balik dan hanya berpeluk tubuh menyaksikan kerosakan ummah, dan aku yakin dia tidak begitu!

Dan lagi, aku ingin menegur sebahagian dari kamu, juga peringatan untuk aku, sepertinya kamu begitu angkuh dengan agama yang ada padamu, angkuh dengan keturunanmu yang baik-baik dan berbangga kononnya kamu menerima didikan agama sejak kecil. Maka ketahuilah wahai teman, hatimu yang rosak itu tidak lebih mulia dari orang yang baru belajar agama tetapi ikhlas dan sedar akan hakikat diri sebagai seorang hamba. (bahasanya kedengaran kasar, maafkan aku ya)

(Sepertinya banyak hal yang berlaku akhir2 ini. Ada yang aku hadapinya, dan ada juga yang aku berlari meninggalkannya. Entahlah, orang kata mengelakkan diri itu tidak baik kan, tapi aku memilih kata2 lain bahawa berundur seketika itu juga merupakan satu strategi..Bolehkah begitu? Orang kata lagi, pemuda itu seharusnya kuat dan tidak mudah futur(putus asa) lantas hati tertunduk malu : 'Kata2 itu benar namun diri sendiri yang masih belum mampu membenarkannya..'
Wallahua'am)

الأحد، 2 سبتمبر 2012

Aku Berbicara Tentang Jemaah

Saban hari diri melakukan maksiat, namun bertaubat tidak sekerap itu bahkan detik mengingat Allah sangat jarang. Kadang kala terfikir, mampukah untuk tiba ke penghujung nyawa dalam keadaan tersenyum bahagia? Tarbiyah, ya tarbiyah! Aku memerlukannya bagi menjamin istiqomah ibadahku, menjaga hati dari dimasuki debu jahiliyah. Tapi di mana harus ku cari tarbiyah? Aku berjalan ke masjid-masjid, ku lihat di dalamnya ada majlis ilmu, aku masuk dan ikut mendengar. Inikah tarbiyah?

Aku pulang ke rumah sewa, dari kejauhan aku mendengar sesuatu sedang dimainkan, kedengarannya seperti ceramah. Oh housemateku ini sangat meminati Ustaz Azhar Idrus, aku juga duduk mendengarnya. Selepas satu link, satu lagi ditekannya. Sepertinya sudah habis ceramah UAI di youtube sudah ditonton sahabatku ini. Patutlah ku lihat bahasa percakapan hariannya makin hari makin berubah, huhu nak jadi menantu UAI kot.

Aku berjalan ke bilik, seketika ku melintas bilik housemateku yang lain, dia sedang bersiap-siap untuk keluar. 'Ha pengarah takde, habis sape conduct meeting? Adoi susah la macam ni, seminar tak lama lagi, sedangkan tempat pun sampai sekarang masih takde kata putus..ok syukran syeikh, assalamualaikum..' Aku mencuri dengar perbualannya dari corong telefon.

Aku tidak menegurnya, tidak mahu mengganggu lantaran mendengar percakapan yang tergesa-gesa itu, sepertinya dia sudah terlewat. Begitulah sahabatku yang ini, hari-harinya diisi dengan meeting dan berprogram. Seorang yang busy, ingin menjadi perdana menteri barangkali huhu.


Aku tiba di bilik, termenung sendirian. Di manakah dia tarbiyah yang ku cari, aku tidak ingin begini, hidupku terasa kosong. Dahulu, aku pernah didatangi seorang senior yang kelihatannya begitu mengambil berat akan daku, kadang-kadang membelanjaku makan malam. Kemuncaknya dia mengajakku menyertai satu halaqah, bersama beberapa lagi sahabatku yang seangkatan dan sama batch.

Awalnya, kami bertaaruf dan bercerita itu ini, kemudian disudahi dengan makan-makan. Entah kenapa, aku tidak suka halaqah begini. Lalu itulah kali terakhir aku datang ke usrah itu, dan itulah juga kali terakhir senior menghubungiku. Kemudiannya setiap kali ada yang mendatangiku mengajakku menyertai usrah, 'Takpelah abang, saya ada hal la malam ni..sorry..'

Aku pasti mengelak, dan terus mengelak sehingga ke hari ini. Namun sekarang, sesuatu sedang bermain di fikiranku, adakah melalui usrah adanya tarbiyah?

Aku memohon kepada Allah agar diberikan petunjuk, kerana sesungguhnya aku tahu Dia sedang memerhatikan 'kepeninganku' ini.  Sehinggalah suatu hari, Dia menghantar seorang sahabat lama padaku, lalu menghuraikan satu persatu persoalan yang kian membengkak di kepalaku ini.


'Ramai orang nak sertai jemaah..tapi tidak ramai yang memilih jemaah yang benar-benar terbaik untuk dirinya..'

Oh jemaah perlu dipilih ke, bukan ke kita tunggu je orang datang cari kita, lepas tu ikut je la..

'Ketika engkau memilih calon isteri, adakah engkau hanya memilih mengikut apa yang ada di hadapanmu? Pasti tidak semudah itu kan, kerana isteri akan menemanimu sepanjang hidup. Begitu juga usrah atau jemaah, ia akan bersamamu sehingga ke alam universiti, alam pekerjaan dan alam rumahtangga. Bahkan mungkin lebih berat, kerana kadang kala usrah itu sangat mempengaruhi cara engkau berfikir dan cara memandang kepada politik..'

Biar betul mamat ni, takkan serius sampai macam tu sekali. Lagipun aku nak join usrah sebab senang nak dapatkan tarbiyah je, lepas kahwin dah ada anak isteri mesti dah lupa dah usrah2 ni. Hehe usrah bersama keluarga mesti lagi best.. Eh kejap2, apa kaitan usrah dengan cara kita berfikir, fikir apa, lagi cepat matangkah?

'Ada jemaah atau usrah yang mendidik ahlinya untuk menjadi seorang hamba Allah..Dari bangun tidur sehinggalah kita pejam mata semula, segala-galanya adalah tarbiyah untuk dirimu..Dan ada jemaah yang mendidik ahlinya untuk menjadi hamba Allah yang berjuang. Di dalam usrah, dibekalkan semangat dan pedoman lalu keluarnya mereka dari usrah, mereka menjadi hamba yang meninggikan agama Allah, menentang kezaliman yang berleluasa..'


Sedang dalam perjalanan mengkhatamkannya, seolah2 sedang membaca buku agama yang mengisahkan
kehidupan, Islam dan pembelaan wanita..

Ermm makin banyak aku dengar makin luas pula jalan jemaah ini, tak semudah yang disangka. Kenapa sebelum ni senior2 tak pernah cerita pun mende-mende ni? Ok sekarang aku makin pening, boleh tak hang bagi jalan keluar kat aku, cakap jemaah mana yang aku kena ikut, aku nak jemaah yang paling betul.

'Engkau isktikharahlah kepada Yang Maha Mengetahui, mintak Dia tolong. Berapa ramai kawan kita yang main ikut-ikut, tak tanya Dia dulu sebelum pilih jemaah, akhirnya entah ke mana. Ingat, jangan pilih jemaah sebab kawan, jangan pilih sebab awek, or sebab jemaah tu ramai perempuan tudung labuh, jangan sekali-kali jangan.. Bila niat awal kau dah salah, insyaAllah Dia akan pertemukan kau dengan jemaah yang salah. So kesimpulannya, istikharah dulu kawan ye..'

Err, ada jugak ke jemaah yang salah?

'Untuk sesetengah orang, usrah A lebih sesuai untuknya, kerana melihatkan akhlaknya yang baru berjinak2 dengan Islam, aurat pun tak tutup betul lagi, tarbiyah usrah A lagi sesuai..Tapi untuk orang jenis lain pula, mungkin usrah B lebih sesuai. Dalam dirinya sudah ada fikrah Islam, latar belakang keluarga pula kuat Islam, melihatkan faktor2 itu maka tarbiyah usrah B lagi sesuai untuknya.. Maka nak tak nak, istikharah dulu ya, kerana Dia lebih tahu jiwamu berhak duduk di jemaah yang mana..'

Hati terbakar melihat foto ini. Kemudian disejukkan dengan janji2 Allah serta
pembalasan yang paling menyakitkan di sana nanti..

Tapi macam mana dengan usrah yang aku pernah pergi sebelum ni, depa asyik dok ngata kat jemaah orang je,kata jemaah Islam tapi dok ngata itu ini, aku dah jadi buruk sangka dah kat semua.

'Bersangka baiklah..Aku sendiri ada tidak bersetuju dengan dasar sesetengah jemaah dan cara pemimpin mereka komen jemaah lain, tapi biarlah, mereka saudara kita kan..Paling tidak, anggaplah dalam hatimu bahawa semua orang yang menyertai jemaah pasti ada niat dalam hati mereka untuk menyumbang kepada Islam..So, apa yang perlu engkau pamerkan kepada mereka ialah akhlak yang baik, kerana ukhwah sesama Islam mengatasi perbezaan fikrah..'

(Cukuplah dahulu, rasanya masih banyak yang ingin ku nukilkan, tapi aku tahu kamu semua lebih berilmu dariku perihal jemaah..dan tulisan ini mungkin tulisan paling panjang yang pernah ada dalam bog ini..Ia sekadar menjawab sedikit persoalan yang ditimbulkan sahabatku ketika bertemu tempoh hari, dalam pencariannya mencari jemaah Islam.. 

Aku tidak menawarkan mana2 jemaah padanya, atau mempromosikan, kerana sejujurnya aku tidak bersetuju dengan sesetengah jemaah yang menarik2 orang seperti itu, cukuplah aku memperkenalkan Islam dan akhlak Islam, soal jemaah bukan soal pertama.. Ingatlah, kepuasan dan ketenangan itu milik Yang Esa, dipinjamkan kpd mana2 hati yang dipilihNya, oleh itu tanyalah kepada Dia terlebih dahulu..
Wallahua'lam)