الاثنين، 10 سبتمبر 2012

Aku Kagum Pada Pemuda Itu

Teman, petang ini aku ingin bercerita padamu, sudikah?

Kisah ini aku jamin kesahihannya, benar-benar berlaku di dunia nyata. Entah bagaimana harus ku mulakan, kisah yang sebenarnya sedang berlaku, dekat denganku. Setiap hari aku menemui seorang pemuda, setiap waktu solatnya pasti berjemaah di masjid dan surau. Bukan setakat berjemaah, bahkan langkahnya ke masjid sentiasa awal. Tidak keterlaluan aku katakan sehingga kini belum pernah aku melihat dia sambung rakaat selepas imam memberi salam (tidak pernah masbuk)

Ternyata, bukan hanya aku yang tertarik pada perwatakan pemuda itu, bahkan setiap ahli jemaah tertanya-tanya apakah sebenarnya yang terjadi? Teman, kamu jangan salah faham, bukanlah kami hairan melihat pemuda sebaik itu melainkan kerana kami tahu bagaimana hakikat pemuda itu sebelum ini.

Ya, dia orang kampung kami, dan ayahnya adalah antara ahli yang sentiasa menghidupkan Masjid Al-Jariah. Kami banyak mendengar cerita berkenaannya dari sang ayah sendiri. Sebelum ini solatnya tidak pernah cukup, bahkan sudah berbelas tahun mungkin dia tidak pernah berpuasa Ramadhan.


Di sebalik kedegilannya tersingkap satu rahsia yang kemudiannya tidak menjadi rahsia lagi, bahawa dia seorang penagih methamphetamine (pil kuda). Kerjanya terumbang ambing, hari-harinya hanya diisi dengan lepak bersama kawan yang tidak selayaknya di gelar kawan! Hutangnya, masyaAllah teramat banyak, mencecah ribuan ringgit.

Lalu dari satu masalah ia berjangkit pula kepada masalah lain, dia mula kenal perjudian, mencuri duit ibu bapanya dan seribu lagi masalah. Begitulah, apabila iman senipis bawang, masakan ia mampu melawan godaan nafsu setinggi gunung.

Kasihan sekali sama orang tuanya, hari-hari hanya bertemankan rintihan dan nasihat yang sama sekali tidak mendatangkan kesan. Ah terlalu banyak kejadian yang ku rasa tidak sanggup untuk dikongsikan semuanya. Bertahun-tahun menderita dengan anak muda itu, namun apakan daya hatinya kala itu tidak mampu melihat air mata tua yang setiasa mengalir.

Kamu, lihatlah sendiri wajah sang syahid ini, dia tersenyum padamu, padaku dan kepada semua orang! 

Namun kuasa Allah, apabila Dia ingin memberi mustahil ia mampu ditahan oleh mana-mana tangan.

'Masa tu aku nak beli pil kuda, dah sampai depan tokey dah. Masa nak hulur duit, tiba-tiba terdengar suara saudara kandungku 'Jangan teruskan , lawan nafsu tu..lawan..lawan..' Aku tak jadi beli, aku tarik tangan dan terus pergi dari situ..'

Aku mendengar ceritanya bersungguh-sungguh, kerana bagiku ada sesuatu yang Allah ingin ajarkan aku, dia dan semua orang.

Untuk pengetahuanmu, kami kini menjadi sahabat dan aku selalu membawanya bersiar-siar dengan kereta ayahku. Teman, aku mahu mengkhabarkan padamu, bahawa kadang-kadang aku sendiri merasa malu dengan pemuda itu. Apabila aku datang ke rumah dan masuk ke biliknya, ku lihat banyak VCD Al-Quran dan zikrullah yang mana menurut ibunya, biliknya tidak pernah sunyi daripada Al-Quran.

Ada hikmahnya dia mengenal jahiliyah, supaya nanti dia sendiri yang akan meruntuhkan jahiliyah itu. Bukankah Saidina Umar pernah berpesan : 'Akan terungkailah ikatan Islam satu persatu daripada seseorang yang lahir membesar dalam Islam tetapi tidak kenal jahiliyah.'



Siapa sangka, pemuda yang pernah dimasukkan ke hospital gila itu akhirnya berubah menjadi insan yang taat beragama dan taat kepada orang tua. Hari raya aidilfitri beberapa minggu lepas, ayahnya menerima sehelai jubah dari anak muda itu, satu surprise yang telah membuatkan air muka ayahnya berubah serta merta, perasaan terharu yang amat sangat.

Dia gemar aku menceritakan kehebatan para sahabat Rasullullah, keberanian mereka mempertahankan Islam. Katanya dia ingin menjadi seperti Khalid al-Walid, si Pedang Allah yang tiada seorang pun musuh Islam mampu membunuhnya apabila berlawan berdepan, oleh itu sang perwira itu mati di atas katil walhal cintanya kepada syahid amatlah besar.

**********

Nah kamu, cukupkah? Hatiku seperti ditarik2 untuk berkongsi cerita ini, untuk pedoman kamu dan aku. Dulu takde orang pun sangka dia boleh berubah sebaik itu, bahkan tak pernah terfikir pun! Namun kini selepas melihat cintanya kepada ilmu agama, aku dapat merasakan tidak mustahil dia menjadi seorang agamawan yang bakal meruntuhkan jahiliyah moden.


Dia pernah berada di dalamnya satu ketika dulu, dan insyaAllah dengan keluarnya dia dari tempat itu akan mampu menghancurkan satu persatu tembok kejahilan. Aku yakin padanya, semangat mudanya begitu tinggi, bahkan mungkin mengalahkan sesetengah agamawan yang balik dan hanya berpeluk tubuh menyaksikan kerosakan ummah, dan aku yakin dia tidak begitu!

Dan lagi, aku ingin menegur sebahagian dari kamu, juga peringatan untuk aku, sepertinya kamu begitu angkuh dengan agama yang ada padamu, angkuh dengan keturunanmu yang baik-baik dan berbangga kononnya kamu menerima didikan agama sejak kecil. Maka ketahuilah wahai teman, hatimu yang rosak itu tidak lebih mulia dari orang yang baru belajar agama tetapi ikhlas dan sedar akan hakikat diri sebagai seorang hamba. (bahasanya kedengaran kasar, maafkan aku ya)

(Sepertinya banyak hal yang berlaku akhir2 ini. Ada yang aku hadapinya, dan ada juga yang aku berlari meninggalkannya. Entahlah, orang kata mengelakkan diri itu tidak baik kan, tapi aku memilih kata2 lain bahawa berundur seketika itu juga merupakan satu strategi..Bolehkah begitu? Orang kata lagi, pemuda itu seharusnya kuat dan tidak mudah futur(putus asa) lantas hati tertunduk malu : 'Kata2 itu benar namun diri sendiri yang masih belum mampu membenarkannya..'
Wallahua'am)

هناك تعليقان (2):

  1. dia beruntung
    malah lebih beruntung daripada mereka yg lain

    ردحذف
  2. iya suatu kesempatan yg Allah kurniakan padanya..
    dia merasa apa yg org lain tdk rasa..
    kesempatan berada dalam neraka dunia, dan keluar darinya...

    ردحذف