الأربعاء، 25 أغسطس 2021

Aku ingin menulis lagi

Waktu menunjukkan jam 1 pagi sewaktu aku memulakan tulisan ini. Ketenangan yang ku rasakan saat ini membuatkan hati ingin berkongsi sessuatu. Sebetulnya pada musim covid pandemic ini, setiap hari yang dilalui memang meletihkan, terutama ketika menjaga bilik gerakan covid dan zon merah covid.

Berada di unit kecemasan, bermacam jenis pesakit yang ku temui. Ada antaranya membuatku tersenyum sendirian mengingatkannya, ada yang menjengkelkan hati. Juga tidak sedikit air mata penderitaan yang mengalir di depanku terutama bila melibatkan nyawa orang tersayang..

Ada satu ketika, aku pernah bertemu seorang mahasiswi universiti tempatan, datang kerana sakit gastrik yang bersangatan. Setelah diberi ubat dan hydration, sakit masih tidak berkurang. Lalu ku capai mesin scan, ya Allah sungguh terkejut besar ketika memandang skrin..

Langsung tidak disangka yang akan ku temui adalah seorang janin yang tidak berdosa sedang membesar dengan sihat di dalam rahim ibunya.

Gambar tempoh hari ketika menyampaikan bantuan di pulau2 sekitar sandakan..

'Adik, kau pernah bersama dengan mana2 lelaki???'

Berkali2 dia menafikannya. Namun setelah ditunjuk skrin itu, dia langsung terkedu.. Lalu ketika dipanggil orang tuanya setelah meminta izin, aku jelaskan sewajarnya. Sang ayah kelihatan tenang, hanya memandang si anak tanpa sepatah perkataan.

Namun sang ibu, terus tumpah air matanya di situ jua tanpa mampu ditahan lagi. Mungkin harapan kepada si anak terlalu tinggi ingin melihat dia berjaya di menara gading seterusnya membuatkan sang ibu tersenyum bangga di hari graduasi..

Apakan daya, anak perempuan terlebih dahulu mengecewakan sang ibu dengan mengandungkan anak luar nikah.. Allah..hati ibu manakah yang kuat menerima dugaan sehebat ini...

Dua ekor bulus pemberian saudara terdekat, menjadi peneman adik abg setiap hari


Oh ya ada satu lagi kisah sedih, yang mampu membuat air mata jantanku berkaca setiap kali teringatkannya. Seorang laki2 muda berusia 30 tahun baru sahaja meninggal dunia disebabkan pendarahan dalam otak (hypertensive bleed). Aku keluar untuk mengkhabarkan berita buruk kepada keluarga terdekat.

Usai mengkhabarkan berita itu, keluarga terus menangis teresak2. Ya aku sangat memahami keadaan itu. Arwah si mati merupakan orang harapan dalam keluarga, yang sentiasa berkongsi rezeki dengan adik beradik biarpun gajinya bukanlah banyak mana. Aku membiarkan mereka seketika, tidak menambah bicara lagi.

Ketika ingin berlalu pergi, seorang laki2 datang kepadaku, lagaknya seperti ingin berbicara kepadaku secara sendirian.

'Bolehkah doktor tolong beritahu isteri arwah pasal berita ni, kami tak sanggup..'

Rupa2nya baru ku tahu, isterinya baru sahaja melahirkan anak sulung mereka, bermakna mereka berdua sedang menantikan kepulangan si ayah. Allah..dadaku seakan pecah mendengar ayat itu. Bayi kecil itu memerlukan pelukan sang ayah, untuk mengalunkan azan di telinganya. Bahkan si isteri juga perlukan sokongan emosi untuk melalui tempoh getir berpantang.

Si adik memang suka berhias, pakai tudung telekong n baju kurung..padahal duk umah tak kuar pun hehe


Sungguh aku tak pernah meminta untuk menyaksikan kejadian seperti ini, bahkan aku tak pernah terbayang akan berhadapan dengan peristiwa seumpama itu dalam dunia nyata. Ya aku pernah melihat puluhan atau mungkin ratusan jenis kematian, menyaksikan pelbagai jenis kesusahan sepanjang aku hidup di mesir dan sandakan. Tapi kisah ini berbeza..

Ia begitu menyentuh perasaanku, menekan emosi bahkan hingga ke saat ini mampu membuatkan aku mengalir air mata setiap kali mengenangkannya.

Mungkin kerana aku punya isteri dan anak kecil yang setiap hari menanti kepulanganku, menyambut di pintu dengan lagak riang dan aksi lucu mereka. Maka kisah itu terasa dekat dengan sanubari ini.


*****

Lamanya aku tidak menulis, typing pun tidak selincah dulu. Huhu aku jadi rindu seperti waktu dulu, setiap minggu aku pasti siapkan satu post di blog ini. Sejujurnya aku menulis bukan untuk orang lain, jauh sekali untuk menasihati orang lain. Kerana ku sedar iman di dada terlalu nipis untuk menyentuh hati orang lain.

Aku menulis hanya untuk meluahkan perasaan ini, untuk dibaca di kemudian hari. Sebetulnya, aku jadi tersentuh ketika membaca tulisan sendiri 6-7 tahun dulu. Setiap kata dan ayat yang dibaca seolah2 begitu dekat dengan keadaanku masa kini, menjadi teguran untuk diri sendiri.

Aku tidak tahu bagaimana untuk istiqamah menulis, ditambah lagi dengan jadual covid yang sentiasa berubah, sambil menemani anak2 untuk bermain dan berlari. Namun aku tahu aku pasti menulis lagi, kerana aku merasakan ketenangan di dalamnya... Wasssalam :)