الخميس، 17 مارس 2016

'Rasullullah Kami Merinduimu'

Alhamdulillah setelah sekian lama menyepi, diri ini kembali lagi. Sungguh sudah lama aku ingin menulis, namun keterbatasan waktu, laptop dan wifi sering kali membantutkan nawaitu itu. Biarlah, mungkin Allah masih belum mengizinkan..

Mengimbas kembali tentang blog ini yang satu ketika dulu aku mula menulis kerana terpengaruhkan sahabat baikku, indri putri (nama betulnya indra putra ^_^ ) ; dialah orang yang mengajarku untuk berjinak dalam dunia blogger.. Terima kasih sahabat, mudah2an aku ikhlas menulis dan engkau juga mendapat imbalannya.

Terlalu banyak ingin aku coretkan kali ini, namun bila jari mula mencapai keyboard, semuanya bercampur menjadi satu, tidak tahu yang manakah harus dimulakan.



Teman2, esok aku akan ke umrah. Ya Allah sungguh aku masih terpana, tidak menduga Allah sudi menjemput diri yang hina ini ke sana lagi, ke tanah suci itu. Ku kira, sudah lebih empat tahun ketika kali pertama aku mengerjakan umrah bersama dengan kawan2 bujang ketika di mesir. Esok aku akan pergi lagi, tapi kali ini bersama isteri tercinta dan ibu mertuaku hehe...

Sebetulnya perasaanku masih bercampur baur, hati begitu galak untuk ke sana namun dalam masa yang sama aku menjadi malu untuk menziarahi Rasullullah lantaran dosa yang terlalu banyak meliputi kalbu.

Ah aku jadi teringat saat itu, ketika tangan melambai kepada Rasullullah mengucapkan salam, melintasi Raudhah nan kehijauan, menziarahi al Baqi' yang dihuni makam isteri baginda dan para sahabat yang mulia, ya tuhan hati terlalu rindu!

Tengahari esok di KLIA, kami akan berangkat dulu ke Madinah al Munawwarah, nama kota yang diberi sendiri oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Teman2, aku terfikir alangkah bahagianya insan2 yang diberi anugerah untuk bertemu dengan Rasullullah ketika di dunia ini lagi, pasti hidup mereka tidak sama seperti orang lain.



Di saat mereka dirudum kesedihan, pasti kenangan atau mimpi bertemu Rasullullah bisa menjadi penawar paling mujarab yang bisa memadamkan segala kepedihan hidup. 

Ketika aku di Iskandariah dalam satu kelas tafakkuh edisi khas bersama Ust Akli, datang satu soalan bertulis yang berbunyi ; 'Ustaz, apa tandanya jika bermimpi bertemu dengan nabi? Sebab saya rasa saya pernah bermimpi bertemu nabi, tapi saya bukanlah baik sangat..'

Demi Allah, ada hati yang bergetar ketika itu, ada hati yang menangis demi mendengar soalan itu! Ya Allah, ada juga antara kami yang pernah bertemu dengan Rasullullah, walaupun kami hanya mahasiswa/wi perubatan dan bukannya pengajian Islam.



'Nabi sebut orang yang bermimpi bertemu dengan nabi, seolah2 dia melihat aku dalam jaga. Ulama mentafsirkan hadis itu bahawa melihat dalam jaga itu ertinya; InsyaAllah orang itu akan melihat nabi  secara live di syurga kelak...' - Ustaz Akli

Allahuakbar! Hati ini tak mampu bertahan lagi, terus bertakbir bertahmid memuji tuhan yang maha agung, tuhan yang maha indah. Ada antara kami hari itu yang akan menjadi ahli syurga, ya tuhan beruntungnya insan itu. Alangkah indahnya andai insan itu ialah aku.

Mudah-mudahan, satu hari nanti. Ameen...

(Cukuplah untuk kali ini, masih ada barang yang perlu dikemas.. Teman2, doakan kami ya, semoga permusafiran umrah ini dipermudahkan dan diredhaiNya.. Juga tolong doakan isteriku, kandungannya baru berusia 10 minggu, hati sedikit risau memikirkan itu..Apa2 pun, bantuan Allah itu dekat kan.. ^_^ )

الاثنين، 29 ديسمبر 2014

Sengsara Hati Saat Diintai Ujian

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini hati terasa ingin menulis sesuatu, setelah lama laman ini tidak terusik. Sering kali aku memarahi diri sendiri atas kealpaanku mengabaikan blog ini. Tiga tahun lalu ketika awal2 memulakan penulisan di blog, aku cuba untuk istiqamah kerana melalui tulisan inilah aku mengharapkan adanya saham untukku di akhirat nanti.

Kita tidak pernah tahu kan, di bahagian manakah kata2 kita yang mampu menyentuh hati2 insan di luar sana, seterusnya menjadi asbab untuk dia kembali kepada Sang Pencipta. Aku selalu mengingatkan diri ini ; 'Di setiap post, pastikan ia mengandungi nasihat agama atau sesuatu pengajaran untuk semua orang, jangan sekali-kali post sesuatu yang tidak ada manfaat..'

*********

Sekarang di Malaysia, sedang berlaku banjir besar yang menimpa negeri2 pantai timur, dan rumahku antara yang terlibat. Sebak juga terasa di hati bila mendengar suara bonda tersayang yang sedang berada di pusat pemindahan bersama ibu saudara dan sepupu yang lain. Manakala ayah, abang dan kakakku masih bertahan di rumah sendiri, semua berkumpul di tingkat atas kerana ruang bawah sudah dipenuhi air sedalam 1.5 meter (lebih kurang).


Terlintas juga di fikiran untuk pulang seketika ke kelantan, membantu keluarga dan orang kampung membaik pulih apa yang ada. Namun bila difikir kembali, ia bukanlah pilihan terbaik kerana tambang yang mencecah lebih rm2000 itu lebih baik digunakan untuk membeli perabut2 yang rosak. Dan aku berdoa pada tuhan semoga ini pilihan yang tepat...

Untuk malam ini, saat ini, aku terasa hatiku begitu bening. Satu peristiwa yang berlaku pada sahabatku benar2 mengukir kesan pada hati ini. Ketika bersama sahabat itu mendengar kisah dari hatinya yang sedang remuk, membuatkan aku menyedari sesuatu, bahawa sengsara atau tidaknya hati seseorang ketika diuji bukanlah bergantung kepada besarnya ujian itu, tapi ia bergantung kepada kehendak Yang Esa

Sebab itu ada orang masih mampu tersenyum saat rumahnya terbakar, keretanya dicuri atau orang tersayang dipanggil menghadap tuhan. Namun ada orang lain pula, dia merasakan seolah2 hidupnya sudah berakhir walaupun hanya gagal sekali dalam peperiksaan. Itulah bezanya. Bila Allah meletakkan kesengsaraan dalam hati seseorang, saat itu tempat terbaik untuk kembali hanyalah mengadu padaNya jua. Mudah2an dengan itu bisa mengembalikan kekuatan yang sedang beransur pergi. 


Sahabat itu, dia antara insan soleh yang pernah ku kenali. Dia insan berpandangan jauh, yang sentiasa bijak membuat perancangan hidup. Dia merangka sendiri plan hidupnya, tentang jodohnya, dan segala2nya untuk kebaikan diri dan keluarganya. Bagiku, dia insan bertanggung jawab. Namun itulah, mungkin Dia ingin mengajar hambaNya bahawa yang berkuasa menahan segala sesuatu hanyalah Dia, walaupun kita telah membuat perancangan yang paling hebat di atas muka bumi.

Sebelum ini, ku menyangkakan bahawa untuk memilih bakal pasangan hidup, kita perlu mengambil hati orang tuanya terlebih dahulu sebelum mengambil hati si wanita, (dan itulah yang aku lakukan sebelum menikah) Aku menyangka itulah jalan terbaik dan jalan yang berani untuk membuktikan keikhlasan cinta. Namun ternyata aku silap.

Sahabat itu juga melakukan perkara yang sama kepada ibu calon pilihannya, dia menghubungi si ibu dan mereka berhubung dengan baik. Ketika pulang ke Malaysia, si ibu mengajak sahabatku bertemu, dan segala2nya tampak berjalan lancar dan pengakhirannya pasti indah. Namun langit tak selalunya cerah, kadang2 datang sang awan menutupi mentari indah lalu bumi pun bertukar gelap.


Tatkala hati sahabat sedang senang dengan semua perkembangan, ketika itulah perkhabaran buruk datang, bahawa si wanita sebenarnya sudah berkhitbah. Ya, ibunya tidak mengetahui tentang itu! Alangkah dukanya hati si sahabat. Segala usahanya selamanya ini seolah2 sedang menjadi debu berterbangan. 

Dukanya berlalu hari demi hari, hatinya terasa begitu rapuh. Sebetulnya, bukan sekadar cinta di hati yang terpaksa dilepaskan, namun baginya itulah wanita yang terbaik untuk keluarga dan untuk masa depannya. Walau sukar mana untuk menelan, namun dia masih seorang laki2 soleh. Dia sedang bangkit dan aku percaya kesedihan itu tidak akan berkekalan.

Sebagai seorang yang biasa menguruskan unit baitul muslim, bagiku peristiwa seperti ini jarang berlaku. Mungkin aku tidak adil kerana hanya mendengar dari sebelah pihak, aku akuinya dan maafkan aku akan kekurangan itu.

Sekadar nasihat dari seorang insan biasa, sebelum mengambil apa2 keputusan besar dalam hidup, adalah lebih baik kita utamakan orang tua, berkongsi dan dengar pendapat mereka, pasti ada keberkatan di situ. Ingatlah nabi pernah menyebut dalam hadis '"Redha Tuhan itu terdapat dalam redha kedua orang tua serta kemurkaan-Nya terdapat dalam kemarahan kedua orang tua."

(Sahabat, dalam doa aku sentiasa menyebut namamu. Aku pernah melihat air matamu mengalir di pipi, dan dari situ aku menyaksikan betapa hatimu sedang sengsara. Aku percaya, di sana ada wanita lain yang lebih baik sedang tersedia untukmu. Cuma untuk saat ini, ku harap kau bersabarlah... Wallahua'lam)

الأربعاء، 22 أكتوبر 2014

'Ujian Seberat Itu'

Bismillahirrahmanirrahim...

Setelah kian lama menyepi, akhirnya aku menggagahkan diri untuk kembali mencoret di laman ini. Terlalu banyak peristiwa berlaku di sekeliling yang membuatkan hati meronta-ronta untuk menulis. Ketika menulis ini, aku berada di rumah mertuaku di Merlimau.

Semalam baru sahaja pulang dari Port Dickson setelah sehari bercuti di sana bersama isteri dan ibuku. Sehari sebelum itu, kami ke Kuala Lumpur untuk menziarahi saudara di Hospital Ampang Putri. Dan di sanalah, aku memperoleh satu pelajaran yang sangat berguna yang akan aku kongsikan di sini inshaAllah. Pelajaran tentang menghadapi ujian hidup, kisah benar yang sangat menyentuh hatiku hingga ke saat ini.

Mak cik itu ialah kawan kepada ibuku. Kebetulan dia juga berada di hospital itu kerana ibunya sedang mendapat rawatan. Ketika mendengar kisah hidupnya yang penuh ujian, aku tidak merasa apa2, bahkan kami yang mendengarnya seringkali ketawa lantaran telatah mak cik itu yang menceritakannya dalam keadaan yang mencuit hati.


Namun lama kelamaan, aku menyedari kisah itu bukan kisah lucu, kerana di dalamnya terselit penderitaan dahsyat yang dialami. Aku sendiri tidak sanggup membayangkan bagaimana sekiranya aku yang berada di tempatnya saat ini. Anak perempuannya yang baru berusia 29 tahun mendapat stroke, membuatkan dia hanya terlantar di rumah, tidak mampu menguruskan diri sendiri dan tidak mampu bercakap.

Kamu tahukah seperti apa stroke itu? Ia adalah penyakit yang dicipta oleh Allah untuk  menguji kesabaran dan ketabahan orang sekeliling iaitu ahli keluarga untuk menjaganya. Mereka yang mendapat stroke akan memberi ujian besar kepada ahli keluarga, adakah mereka akan menjaganya dengan baik atau sebaliknya. 

Mereka tidak mampu bergerak sendiri, very dependent. Jika kita tidak memberinya air, dia tidak akan minum. Jika kita lambat membuat sesuatu, pastinya dia akan merengek atau marah. Itu belum lagi dikira dosa dengan Allah andai kita sambil lewa sahaja menjaganya. Yang lebih teruk lagi, kita pula yang marah kepadanya, kita anggap dia mengada2 dan suka meminta. Allah, benar2 menguji...


Yang paling membuatkan hatiku tersentuh adalah anak itu baru sahaja mendirikan rumahtangga 3 bulan sebelum itu. Allah, tabah sungguh mak cik itu... Dia kuat untuk menyatakan kepada menantu barunya, menyarankan dia supaya berkahwin lagi dalam keadaan dia sendiri pastinya sedang mencari kekuatan untuk diri sendiri. 

Kisah itu belum berakhir di situ, anak perempuannya yang lain pun ada kisah penderitaan sendiri. Ditakdirkan Allah anak perempuan itu lambat mendapat anak. Setelah dua tahun berkahwin masih belum dikurniakan rezeki. Setelah puas berikhtiar dan ke Makkah berdoa kepada Allah, alhamdulillah dia hamil. Namun, anak itu tidak sempurna. Dia ada satu syndrome, yang sangat rare berlaku di Malaysia.

Berbagai-bagai ujian yang Allah berikan padanya, namun yang membuatkan aku kagum ialah kesabaran dan ketabahannya. Kalau kamu ada bersamaku saat dia menceritakan kesemua kisah itu, pasti kamu juga takjub, betapa dia bisa menukarkan kisah penderitaan itu menjadi seolah2 satu kisah hiburan atau bedtime story.


Dia langsung tidak menampakkan tanda2 kekesalan. Dari bait2 kata yang diutarakan, aku langsung tidak mendengar ayat2 keluhan atau sebagainya. Bagiku yang kerdil ini, dia insan yang lulus ujian di sisi Allah. Dia perempuan yang bertudung labuh, suaminya berkopiah dan sentiasa terukir senyuman di bibir kala berbicara.

Bila kami keluar dari bilik itu, aku berkata kepada isteri dan ibuku 'Banyak benar ujian dia..macam mana ya dia boleh ceria je bila cerita tadi..' Lalu ibu menyambung 'Benarlah orang kata, ujian yang kuat hanya untuk orang yang kuat...' Allah, benar sekali bu...

Memberi muhasabah besar untuk kita, yang terlalu mudah mengeluh bila ditimpa ujian. Bila difikir balik, mungkin itulah sebabnya Allah tidak mendatangkan kita ujian2 besar sebegitu, kerana boleh jadi kita akan gagal lalu kelemasan di dalamnya. Terima kasih ya Allah kerana menghadirkan insan2 ini kepada kami untuk kami belajar sesuatu daripadanya..

(Aku ingin menulis lagi, tapi ibu sedang memanggil untuk bersarapan.. Kamu doakan aku ya agar sentiasa diberi kesempatan untuk menulis. Sungguh, aku suka menulis... Wallahua'lam ^_^ )

السبت، 12 أبريل 2014

'Wahai Pemuda Berkahwinlah'

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah ungkapan syukur tertinggi ku ucapkan pada Yang Esa untuk segala nikmat yang Dia kurniakan. Malam ini Dia hadirkan kesempatan untuk menulis lagi setelah sekian lama mendiamkan diri di alam blogger. Sebenarnya sejak semalam lagi rasa teruja ingin menulis, namun bila berada di hadapan laptop, tiba-tiba jadi kaku, terus hilang apa yang mau dikongsikan..

Perjalananku selama dua bulan mutakhir ini ku kira terlalu panjang, terlalu banyak yang telah dilalui. Tapi tidak mungkin aku menulis tentang kisah hidupku di sini, huhu tidaklah terlalu menarik dan yang lebih penting, siapalah yang akan membacanya.. ^^

Kini statusku telah berubah, daripada 'single' bertukar kepada 'married'. Alhamdulillah, dan inilah tulisan pertamaku setelah menjadi suami orang, menjadi ketua keluarga. Perjalanan sebelum sampai ke status married ini, terlalu banyak tawakal dan bantuan yang telah Dia kurniakan, yang aku harap aku tidak akan lupakan untuk selamanya. Biarlah itu, aku harap nantinya aku bisa menceritakan semua kisah itu pada anak, cucu dan generasi mendatang insyaAllah..


Semua yang telah berlaku mengajarkan diri ini satu perkara, bahawa dalam hidup ini sering kali perancangan Yang Esa mengatasi perancangan kita sendiri, yang kadang2 tak pernah terlintas di fikiran kita bagaimana ia berlaku. Pernikahan yang asalnya dirancang pada bulan Oktober 2014, diawalkan kepada bulan April 2014 kerana cuti musim panas yang dipendekkan menjadi 3 minggu sahaja.

Di saat semua persiapan kahwin hampir lengkap, tiba2 universiti mengumumkan cuti emegercy selama dua minggu disebabkan H1N1 yang sedang melanda di Mesir. Panik! Ya pelbagai kemungkinan bermain di fikiran kami ketika itu. Apatah lagi terdengar berita dari pengerusi PCI bahawa kemungkinan cuti bulan 4 akan dihazafkan (tiadakan)..

Namun itulah, di saat terasa sedikit down dengan situasi yang sedang berlaku, tiba2 Dia memudahkan jalan. Keputusan yang diambil dalam masa dua hari itu termasuklah membeli tiket ke Malaysia, benar2 mengajar diri untuk berserah sepenuhnya kepada Allah, benar2 memohon petunjuk agar itulah keputusan yang terbaik untuk kami dan semua orang.


Kini setelah menikah, bila bertemu sahabat2 di kelas, soalan yang paling kerap ditanya adalah ; 'Macam mana nikah, best?' huhu membuatkan aku tersenyum. Cukuplah aku katakan, setakat ini apa yang aku rasa, benar2 pernikahan itu membenarkan kalam Rasullullah iaitu 'Berkahwinlah, kerana ia lebih menjaga pandangan..'

Sekarang ini, apabila aku memegang amanah sebagai Pengarah JAKSI (Jabatan Keselamatan dan Sosial) di Iskandariah dan menerima kes berkaitan ikhtilat atau pergaulan lelaki perempuan, sering kali membuatkan aku termenung panjang. Sungguh, fitnah wanita itu benar2 merbahaya untuk seorang lelaki hatta laki2 soleh.

Mungkin pada pandangan seorang wanita yang bertudung labuh, dia tidak lagi menjadi punca fitnah kepada laki2 dan menganggap wanita berpakaian ketat itulah puncanya. Namun biarlah aku mengingatkan di sini bahawa pada pandangan laki2 yang beragama, laki2 yang menghafal Quran, yang hebat berjuang di sana sini, wanita yang sopan itulah yang lebih mengganggu fikiran. Ya, ini kenyataan..
Aku mempunyai sahabat yang dari pelbagai latar belakang kehidupan, dari yang menghafaz 30 juzuk Quran sehinggalah yang tidak ada langsung basic agama (tapi sahabat kedua ini bukan di Mesirlah). Sebab itulah kepada wanita2 di luar sana, kalian masih belum selamat jika dengan hanya berjubah dan bertudung litup, kerana kalian masih lagi boleh menjadi fitnah kepada lelaki.

Lengkapilah diri kalian dengan sifat malu yang Rasullullah pesan, insyaAllah saat itu kalian menjadi bidadari dunia. Bantulah lelaki untuk mereka menjaga iman mereka hanya kepada Allah, mudah-mudahan itu akan menjadikan mereka lebih bersedia untuk menjadi ketua keluarga yang berwibawa suatu hari nanti insyaAllah..

(Sebenarnya banyak lagi ingin ditulis, namun cukuplah untuk kali ini. Sekarang masa tidak lagi sama macam dulu. Kalau dulu hidup sorang boleh buat apa yg kita mau pada bila2 masa, tapi sekarang masa 24 jam harus dibahagi utk dua orang. Apa2 pun yg lbh penting ialah jangan lupa memohon pada Allah untuk membantu memudahkan semua urusan kita, kerana kita tidak akan mampu menguruskan hidup ini tanpa hidayahNya, mudah2an.. ^_^ Wallahua'lam)

الجمعة، 7 فبراير 2014

'Mudah-mudahan Itu Dapat Menyelamatkan Akidah Mereka'

Bismillahirrahmanirrahim...

Lama berteleku di depan laptop sendiri, tidak mahu bagaimana untuk memulakan bicara. Sudah lebih sebulan blog ini bersawang tidak terupdate lantaran pelbagai faktor yang menimpa diri, huhu faktor malas juga terselit di antaranya. Sebulan lalu agak sibuk menguruskan Seminar Perubatan Iskandariah bersama-sama teman seperjuangan, mencapai puncak kepenatan setelah lebih kurang 10 bulan sejak memulakan meeting pertama pada tahun lalu.

Sebaik seminar berakhir pada 17 Januari 2014, dihambat pula oleh buku Cardiology yang menuntut usaha dan keringat disebabkan imtihan di hujung minggu itu. Jika ditanya tentang department Cardio kali ini, aku akan katakan mungkin ini adalah department yang paling aku tidak bersedia untuk mengambil peperiksaan setelah 5 tahun bergelar mahasiswa perubatan.

Apa2 pun aku serahkan diri kepada Allah, walau terpaksa bersengkang mata untuk mengkhatamkan buku itu, untuk menyerah tanpa berusaha bukanlah sifat seorang mukmin yang berjuang. 'Jangan menjadikan persatuan itu kambing hitam jika kamu gagal dalam pelajaran, jangan sekali2 menjadikan perjuangan Islam itu fitnah dan menerima kritikan sedangkan kamu yang gagal menguruskan masa sebaiknya..' - kalam taujihat seorang senior..


Alhamdulillah sangat bersyukur kepada tuhan yang mengaturkan, sehingga kini aku tidak pernah ketinggalan menyertai seminar ibadah yang diadakan setiap tahun di Iskandariah sejak dari tahun 1. Pada tahun ini doktor psikiatri dan ustaz darul syifa dijemput dari Malaysia untuk mengisi slot2 seminar, membincangkan tentang psikologi dan sihir dari dua profesion berbeza.

Masihku ingat ketika meeting dengan unit pengisian, banyak kali persoalan ini ditimbulkan ; 'Benarkah kita ingin memanggil dua2 profesion ini? Saya risau perkara sebaliknya yang berlaku. Kita ingin menerangkan kepada mahasiswa perubatan tentang synergistic yang patut berlaku antara doktor psikiatri dan ustaz darul syifa dalam membantu masyarakat, bagaimana jika sebenarnya di dunia realiti kedua2 profesion ini tidak pernah bersatu, atau tidak mungkin bersatu?' 

Huhu agak susah sebenarnya untuk membuat keputusan muktamad terutama dalam menentukan pengisian seminar, itulah yang menyebabkan mesyuarat seminar diadakan hampir setahun sebelum itu. Bahkan sehingga ke saat2 terakhir pun, menjelang dua hari sebelum seminar berlangsung, aku sendiri tidak lena tidur, tidak tenang dan befikir adakah seminar ini mampu memberikan manfaat kepada peserta..


Seminar kali ini, sebagai pengarah, aku banyak bersama Dr Rostam dan Ustaz Ghani sepanjang mereka berada di Mesir. Ketika membawa mereka bersiar-siar di makam2 auliya, bercerita tentang itu ini, membuatkan aku merasakan diri terlalu kerdil dalam bumi ciptaan Allah ini, seolah2 terlalu jahil lantaran tidak pernah menceburkan diri dalam bidang ilmu yang mereka terokai. 

Walau bagaimanapun satu perkara aku perasan yang terdapat kepada kedua2 insan hebat ini, iaitu semangat mereka untuk membantu masyarakat walau dalam satu-satu ketika diri sendiri terpaksa menelan pahitnya ujian. Ustazah Natrah, isteri kepada Ustaz Ghani menceritakan kepada kami keluarga mereka juga turut mendapat tempias disebabkan kerja suaminya yang membantu masyarakat dari gangguan sihir dan jin.

Ustazah Natrah pernah terdengar namanya dipanggil ketika jam 4 pagi ketika blackout, ketika semua orang sedang tidur. Anak2nya juga kadang2 terdengar bunyi pelik walau berada di rumah sendiri, namun semua itu tidak mematahkan semangat ustaz. Apabila saya bertanya tidak pernahkah terlintas di hati ustaz untuk berhenti sebagai pengerusi darul syifa Negeri Sembilan, kerana sememangnya Ustaz Ghani juga adalah seorang guru di sekolah menengah, penolong pengetua kalau saya tidak salah. 


Jawab ustaz, 'Bukan semua orang sanggup buat kerja ini, sangat berisiko sebenarnya. Tapi biarlah saya ambil bahagian di situ untuk membantu masyarakat kita, mudah2an dengan itu dapat menyelamatkan akidah mereka dari bertemu dengan bomoh dan dukun yang salah, yang akibatnya sangat buruk iaitu mereka mensyirikkan Allah Taala..'

Allah..perasaan kagum terus memekar di hati ini, terzahir sebuah keikhlasan yang terpancar dari hati yang bersih. Terima kasih ustaz, ustaz sudah mengajarkan saya satu ilmu hari ini yang saya tidak akan dapatinya di dewan kuliyah, satu semangat baru menguasai hati ini..insyaAllah

(Sebenarnya topik lain yang ingin ku nukilkan kali ini, huhu tapi biarlah, masa yang diperuntukkan utk blogging sudah habis. Esok sudah mula kelas, maka mental harus dipersiapkan sebaiknya. Tapi cuti masih berbaki setengah hari lagi kan, huhu ada sahabat mengajak utk bersiar2 di pantai, makan2 dan bersantai, ok babai.. Wallahua'lam)

الثلاثاء، 24 ديسمبر 2013

'Kagum Pada Diri Sendiri, Astaghfirullah'

Bismillahirrahmanirrahim...

Keluar dari dewan peperiksaan perasaan berdebar masih belum hilang, exam kali ini bukan calang-calang. Salah diri sendiri juga tidak membaca arahan di page depan yang mengatakan masa exam hanya 70 minit, huhu padan muka hang. Rasanya inilah kali pertama terjadi seperti ini, pengumuman yang diberitahu oleh Student Representative beberapa hari sebelum itu iaitu masa exam adalah 90 minit, ternyata salah..

Mungkin ada missed communication antara SR dan coordinator. Biarlah, manusia adalah insan, dan tiada insan yang sempurna melainkan kekasih agung Rasullullah SAW. Aku sendiri masih terkejut sebenarnya, tiada apa2 petanda, tiada pemberitahuan, tiba2 masa sudah habis dan kertas mula dikutip. Selepas exam ada sahabat beritahu memang ada pengumuman dari pengawas kat depan 10 minit sebelum masa tamat, tapi kami yang berada di hujung row memang tidak dengar apa2.

Huhu mungkin itulah dugaan untuk kami. Alhamdulillah sempat juga menghabiskan semua soalan walaupun tidak sempat recheck kali kedua. Kerana ada seorang sahabat, dia menghantar kertas jawapan MCQ itu dalam keadaan lebih dari 10 soalan tidak berjawab, Allah..hati bersimpati padanya... 


Selepas exam, aku bersama seorang sahabat menuju ke Mansyiah untuk mencari beberapa barang untuk seminar. Sampai sahaja di sana, azan asar berkumandang. Di tengah2 kesesakan bandar mansyiah, agak susah mencari masjid. Usai solat, tiba2 berdiri seorang pemuda arab lalu membahagi2kan Quran kepada para jemaah. Oh rupa2nya imam memimpin membaca surah Yunus, membaca beramai2.

Sungguh, inilah kali pertama setelah lima tahun berada di Mesir aku melihat pemandangan seperti ini. Kalau di Kelantan perkara ini tidak pelik, biasalah kan.. Entah kenapa aku rasa tenang dan terus tersenyum.. Bukan apa, dekat sini amalan2 agama agak senang dikatakan bid'ah. 'Eh nabi mana buat ni, lepas asar baca quran ramai2..kenapa fix kan waktu asar, kenapa tak buat waktu lain?' Dan bermacam2 lagi lah persoalan yang ditimbulkan... Dan aku, lebih senang dengan tersenyum..

Lepas penat berjalan di Mansyiah, dalam perjalanan pulang terserempak dengan penjual ikan dan belut laut. Huhu tiba2 rasa teringin masak belut walhal kat Malaysia tak pernah makan pun. Terus membelinya untuk dimasak bersama dengan ahli usrah malam nanti.. Nak goreng ke nak buat sup belut, huhu macam2 jadi bila tension dengan exam.. :)


Malam itu dalam usrah, kami dibentangkan dengan sambungan 'Wabak Sepanjang Zaman' oleh sang naqib Faez Salleh, kali ini membicarakan tajuk 'Ujub dengan diri sendiri'. Sememangnya aku gemar mendengar pengisian sebegini kerana di akhirnya akan muhasabah diri betapa perlunya menundukkan hati terutama kepada semua pemuda yang sedang dalam perjalanan meruntuhkan jahiliyah moden.

'Antara tanda pemuda yang dihinggapi penyakit hati ini ialah sifatnya yang sentiasa ingin menonjolkan diri, berbangga dengan diri sendiri, serta hatinya senang tatkala mendengar perihal kelemahan orang lain..'

Allah..tanda2 yang sangat biasa bahkan mungkin dekat dengan kehidupan seharian kita. Itulah, kadang2 kita rasa terlalu susah untuk mendengar nasihat orang lain, mungkin sebabnya kerana merasakan diri kita sendiri sudah cukup hebat. Jika ada yang menegur, kita merasakan orang itu sengaja mencari salah kita, dia cemburu dengan kelebihan kita.. Astaghfirullah..akhi, hati sedemikian adalah hati yang berpenyakit..

poster lama, tapi sungguh..sangat benar kalam ini..

'Antara cara untuk menghilangkan penyakit hati ini ialah kita istiqamah menghadiri majlis ilmu, kerana majlis ilmu itu sering kali menyentuh hati kita untuk kembali kepada Allah seterusnya menghilangkan sifat ujub yang mula hendak membengkak. Yang kedua, rajin2kanlah diri menziarahi orang sakit, supaya menjadi peringatan kepada kita bahawa bila2 masa sahaja kita boleh berada di tempat orang yang sedang terlantar sakit itu..'

Yang ini susah sikit nak amalkan dan istiqamah. Tambah2 bila dekat exam, rasa berat sangat untuk menziarah ke rumah sahabat atau junior yang sakit. Selalu bagi excuse kepada diri, takpela lepas exam aku datang la ziarah.. Namun yang sering berlaku ialah selesai exam habis, sibuk dengan majlis makan2, movie dan game.. Aduhai hati itu sering berdusta...

(Kurang sebulan lagi seminar akan berlangsung, bermakna kerja juga bertambah berlipat ganda ketika ini. Alhamdulillah Allah memudahkan jalan diri ini dengan memberi dulu mengambil elective course, huhu bolehlah bertenang sikit.. Kala ini, ia menuntut komitmen pd dua perkara, persatuan dan urusan peribadi yg pastinya tdk blh ditinggalkan..Semoga mampu menguruskan keduanya dgn bantuan Allah.. Wallahua'lam)

الأحد، 8 ديسمبر 2013

Apabila Si Miskin Bergaduh

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam kesejukan malam aku tersedar, tengok jam baru pukul tiga. 'Lambat lagi nak subuh ni..' Cuba melelapkan mata semula namun tidak berhasil, seolah2 ada tangan yang menahan. Tiba-tiba rasa berdebar, adakah ini malam terakhirku di dunia ini? Lalu cerita-cerita tentang orang yang meninggal dunia dalam tidur menerawang di fikiran, ya Allah takutnya betapa aku kotor dengan dosa2 semalam yang masih belum bertaubat...

'Ya Allah panjangkanlah umurku.. Seandainya Engkau takdirkan aku pergi malam ini, matikanlah aku dalam husnul khatimah..

Akhirnya tanpa sedar terlelap dalam kegelapan malam, bila sedar semula azan subuh sedang berkumandang. Ya Allah terlepas lagi, padahal tadi Allah dah kejut dah, astaghfirullah, petanda jiwa masih kotor... Malam sebelumnya, Allah hadirkan satu peristiwa yang berlaku, mungkin sebagai pengajaran untuk diri sendiri. Ketika keluar rumah untuk menunaikan solat isyak, aku terdengar riuh rendah suara arab bergaduh.


Betul2 berhadapan dengan masjid, ku lihat dua pemuda arab sedang bertumbuk. Yang peliknya, arab sekeliling membiarkan sahaja pergaduhan itu tanpa meleraikan. Tidak sanggup membiarkan, aku menghampiri lalu menarik tangan salah seorang dari mereka. 'Cukuplah, orang tengah solat dalam masjid tu!' 

Namun tenaga arab terlalu kuat untuk ku, dia menepis tanganku dan menumbuk muka si musuh. Isk degil betullah arab ni.. Kemudian ada dua arab masuk campur dan menarik keduanya pergi, itupun selepas seorang terkoyak baju dan hampir patah tulang belakang dilempar atas jalan. 

Setelah itu barulah aku tersedar kenapa orang2 sekeliling sekadar membiarkan mereka bergomol atas jalan tanpa menghalang, rupa2nya mereka adalah orang miskin yang sedang mengutip sisa2 kotak dan makanan dari tong sampah. Mereka bergaduh kerana merebut beberapa keping roti yang ada dalam tong sampah. Ya Allah hampir menitis air mataku menyaksikan peristiwa itu, begitu berhargakah kepingan roti itu bagi mereka?

Benar2 kemewahan dunia telah menipu kita semua, astaghfirullah...

gambar lama kira2 dua tahun lalu, diupload semula oleh adik usrah yg sudah berhijrah ke India.. :')

Perkara kedua yang membuatkan aku sebak adalah reaksi orang2 sekeliling tatkala menyaksikan pergaduhan itu, sekadar melihat tanpa membantu.. Aku sendiri tidak tahan menyaksikan lelaki itu mencekik 'musuhnya' sehingga terbeliak mata, dan itulah yang menghalang aku dari terus melangkah ke masjid (sebenarnya pergaduhan itu tidak adil, seorang bertubuh kecil sehingga teruk dibelasah oleh seorang lagi yang berbadan tegap)

Sahabat2 yang berada di Mesir tahulah bagaimana biasanya reaksi orang arab apabila melihat pergaduhan, mereka pasti akan meleraikan walau apa cara sekalipun, itu kebiasaan yg berlaku. Namun malam itu semua orang hanya membiarkan sahaja. Mentang2lah mereka orang susah dan kelihatannya tidak membawa manfaat kepada masyarakat, ia dibiarkan berlarutan. 

Boleh jadi kalau ada yang meninggal pun malam itu, tiada kesan apa2 bagi mereka yang melihat kerana orang miskin itu bukanlah siapa2 dalam masyarakat.. Mereka lupa, bahawa tiada satu pun ciptaan Allah di muka bumi ini yang sia2 melainkan ada sebab ia diciptakan... Apatah lagi manusia yang diciptakan Allah sebagai sebaik2 kejadian...


Minggu lepas juga, Allah hadirkan peristiwa yang terbalik dengan apa yang berlaku di atas, tentang seorang hamba Allah yang begitu menghargai makhlukNya. Ketika itu waktu sudah hampir maghrib, aku dan seorang teman dimaklumkan tentang seekor anak kucing yang tidak mampu berjalan dengan baik kerana kedua2 kakinya patah. Mungkin dilanggar kereta.

Sahabat ini, yang hatinya dipenuhi dengan rahmat Allah, mengajakku untuk membawa kucing liar itu ke veterinar. Katanya yang membuat hati ini tersentuh ; 'Biarlah mahal pun, kita buat kerana Allah kan.. Dalam hadis pun ada cerita, kisah seorang pelacur yang memberi minum kepada seekor anjing, akhirnya itu menjadi asbab Allah memberi hidayah kepadanya seterusnya memasukkan dia ke dalam syurga Allah..'

Alhamdulillah, masih wujud pemuda Islam seperti ini. Akhlaknya mampu membuatkan sesiapa pun akan menjadi rindu kepada kekasih agung Rasullullah. Kepada semua orang termasuk yang menulis ini, bersama2lah kita menjadi penyebar rahmat tuhan kepada seluruh alam termasuklah binatang dan tumbuhan. Kerana ada orang yang ditarik sementara nikmat itu. Contohnya bagi yang menghidap pneumonia atau asthma, perlu beringat dengan bulu kucing dan mungkin juga terpaksa menahan dirinya dari memegang kucing untuk satu tempoh yang panjang..

(Dalam kekalutan dengan seminar, Allah datangkan ayat memujuk. Dalam kesejukan hening subuh, tazkirah sang imam meruntun hati2 yang merindukan bantuan daripadaNya. 'Ihfazillah yahfazka..' Astaghfirullah seolah2 pertama kali dengar hadith ini, terima kasih tuhan, terima kasih imam.. Wallahua'lam)