الاثنين، 29 أبريل 2013

Tatkala Pandangan Hati Mendahului Pancaindera

Bismillahirrahmanirrahim...

Selesai solat isyak, berjalan seorang diri mencari farmasi untuk membeli oral rehydration solution, magic solution kata seorang profesor commed. Dari satu farmasi ke farmasi yang lain, tidak ada satu pun yang jual. 'Isk bukan ke ORS ni ubat paling basic untuk diarrhea, macam mana susah pulak nak cari..' Ya Allah, siksa juga ya berjalan jauh seorang diri dalam keadaan kepala berdenyut, ditambah dengan tenaga yang kian melemah..

Akhirnya ambil keputusan untuk balik rumah dan bancuh ORS sendiri. Lagipun manualnya senang sahaja, komponen basic yang perlu ada ialah air kosong, garam dan gula. 'Mungkin ini hikmahnya Allah tak bagi jumpa ORS kat kedai, Dia nak aku praktikkan ilmu yg dah belajar kot.' Tapi bila nak buat diri sendiri jadi ragu-ragu pula, betul ke composition dia ni.

Search kat internet, aduhai banyak pula perbezaan pendapatnya, ada yang kata 6 sudu gula, 8 sudu, garam pula ada yang cakap setengah sudu, satu sudu penuh.. Biasalah ubat ciptaan manusia, pasti tidak ada yang sempurna, masing2 yakin dengan kajian masing2.. Last2 ambil yang tengah2, huhu buat sambil bertawakkal penuh pada Allah walau dalam hati masih berbolak balik dengan solution yang nak di minum tu.


Pengajaran untuk diri sendiri sebenarnya, doktor kan biasanya mudah tulis senarai ubat atau alternatifnya, namun bila sendiri yang kena, barulah sedar mengamalkan tak semudah bercakap. Aku teringat peristiwa awal tahun lalu, ketika posting Internal Medicine. Kita medical student rasa teruja dan berebut-rebut bila nak ambil darah patient, atas alasan nak belajar kan..

Namun bila profesor bagi cadangan, kamu boleh test sendiri dengan satu sama lain, ambil darah kat rumah.. Barulah muka setiap orang berkerut; 'Eh biar aku ambil darah kau je lah, darah aku limited edition..' Pandai pula cari alasan ya, huhu begitulah senario yang sering berlaku sebenarnya dalam kalangan medical student..

Sepatutnya, kalau boleh biarlah setiap perawat itu merasai dulu semua jenis sakit yang terdapat di dunia ini, kerana itu akan menjadikannya physician yang lebih prihatin dan memahami emosi pesakit2 yang datang dan berhajat pada penyembuhan. Ini tidak, selalunya sang doktor selalu marah patient suruh diamlah, jangan menjerit bila inject, sakit sikit dah meraung, aduhai doktor2..


Dalam dunia ini, alangkah indahnya andai setiap perkara itu dilihat dengan mata hati. Dan itulah yang diajarkan oleh seorang sahabat beberapa hari lepas. Selesai membeli barang di sebuah kedai, dia keluar dan pergi pula ke kedai lain di hujung sana. Aku jadi hairan, kenapa tidak dibeli sahaja semua barang2 yang diperlukan di kedai yang pertama, kerana ternyata barang yg dibeli di kedai kedua ada je dijual di kedai pertama.

'Kedai tu kedai besar, memang dah ramai orang pergi sana. Tapi kau tengoklah kedai ni, dah la kecil, barang pun takde sangat. Ini jelah yg mampu kita buat untuk tolong pak cik ni, mudah-mudahan kita menyumbang walau sedikit atas usahanya untuk mencari rezeki yang halal..'

Allah, kata-kata itu sangat benar.. Mungkin bagi sesetengah orang, tidak penting untuknya mengambil kira dengan perkara2 macam ni. Namun bagi mereka yang hatinya bersuluh dengan sinaran iman, setiap yang dilakukan pasti memikirkan juga akan perihal orang lain. Dan mungkin juga ia memberi kesan besar kepada orang yang ditolong itu.

Siapa tahu pemilik kepada kedai kecil itu sedang memikirkan tentang masa depan kedainya yang tidak laku, dan atas usaha kita yang sedikit itu mampu memberi sinar motivasi padanya untuk tidak berputus asa dalam mencari rezeki halal. Itulah, kadang2 penting untuk kita menjadi orang yang memahami tentang kehidupan orang lain, kerana ia bisa menjadi asbab bertambahnya iman kita kepada Allah..

*************

Di Pediatric hopital, Syatby..bersama membantu kanak2 yg menghidap leukimia..besar sekali nikmat dapat melihat senyuman di wajah mereka..

Mungkin inilah pilihanraya yang paling aku nantikan setelah lebih kurang 22 tahun hidup. Walau tidak dapat pulang mengundi, namun keyakinan agak kukuh kerana calon yang bertanding di kawasanku ialah Tuan Guru Nik Aziz, insyaAllah peluang cerah untuk menang.

Pada hari pengundian nanti iaitu 5 Mei, diharap semua yang tidak berkesempatan turun mengundi untuk berterusan bermunajat di atas tikar sejadah bermula dari 8 pagi waktu Malaysia hinggalah keputusan diumumkan. Ini kerana waktu ini mereka yang berada di Malaysia pasti tidak sempat untuk membaca yasin, berzikir beramai-ramai lantaran sibuk dengan tugasan masing2, mungkin ada yang diberi amanah untuk menjaga kawasan tempat pengundian dari dikacau 'pengundi2 luar'.

Kalau dilihat post2 di facebook sekarang, masyaAllah tidak sedikit perancangan mereka untuk memanipulasi keputusan yang dijangka akan mengubah sejarah Malaysia pada PRU kali ini. Namun itulah, mereka merancang, Allah juga merancang, dan Allah lah sebaik2 perancang.. Atas ayat Al-Quran inilah, kita tetap yakin akan diberi kemenangan walau sekalipun mereka membuat penipuan paling besar dalam sejarah dunia..

(Minta maaf ya andai ada yg tidak bersetuju dengan tulisanku yg berkaitan politik. Mungkin semangat muda yg sedang berkobar makin membara kala ini. Dan kepada mereka yg tidak sukakan politik, sekadar ingin berkongsi kata2 Ustaz Syafiq Sahimi; 'Kita boleh kata kita tak suka UMNO, PAS, BERJASA, atau apa saja..namun jgn sekali2 cakap tak suka politik, kerana politik adalah satu juzuk dari ajaran Islam.. Rasullullah sendiri adalah ketua negara Madinah, jgn lupa kenyataan itu..' Wallahua'lam ^_^ )

الاثنين، 22 أبريل 2013

Susahnya Bila Melukakan Hati Orang Lain

Bismillahirrahmanirrahim...

Aku menunggu seorang diri di Stesen Sidi Gaber, menanti seseorang yang ku kagumi akan kepetahannya berucap dan sifat rendah diri yang dimiliki. Malam ini dia akan menyampaikan kuliyah maghrib kepada mahasiswa mahasiswi tahun 4 di Iskandariah yang bertajuk 'Penyakit hati seorang doktor..'

Penat menunggu, aku beralih ke tempat lain. Memerhati suasana sekeliling yang bingit dengan suara arab berjual beli, ditambah dengan hon kereta yang tidak pernah mengenal perkataan 'pause'. Tiba-tiba di seberang jalan, ku lihat ada pergaduhan kecil sedang berlaku, seorang driver teksi sedang memarahi pemandu kereta mewah.

'Lepas ni aku datang balik! Tunggu sat!' (Amboi arab cakap utara naa..)

Kemudian dia berlalu pergi dengan kereta mewahnya meninggalkan tempat itu.. Selepas beberapa ketika dia datang lagi kepada pak cik teksi itu, meneruskan pergaduhan yang tertunda sebentar tadi. Aku jadi teruja melihat semua yang berlaku. Huhu kamu terfikir apa yang aku fikir saat itu? Bagaimana ya dia boleh mengotakan kata2nya untuk datang kembali walau dia menyedari pergaduhan pasti akan bersambung semula?


Kalau kita sendiri, entah2 sudah pergi jauh-jauh tinggalkan 'musuh' itu, mustahillah nak datang semula. Tapi tidak untuk arab itu, mungkin di dadanya punya iman yang kuat kepada Allah, lalu dia merasa bersalah untuk membiarkan hamba Allah itu yang pastinya akan menuntut kembali haknya di akhirat kelak..

Aku lihat jam di tangan, waktu sudah menunjukkan 5.40 petang, kurang sejam lagi waktu maghrib akan menjengah. Waktu petang begini, orang2 tua kata hati jadi mudah sayu, mudah teringat kisah2 lalu. Mungkin ada benarnya kalam itu, kerana kini aku dapat merasakan hati sedikit pedih lantaran tanpa sedar telah melukakan hati beberapa pihak minggu lepas. 

Kadang2, kita sendiri tidak tahu ada di bahagian perbuatan kita yang rupa-rupanya telah menjadi penyebab tergurisnya hati seseorang. Mungkin kita bisa mencipta alasan, aku tidak sengaja, aku langsung tidak tahu menahu tentang perkara itu, atau pelbagai lagi alasan yang kita sangka mampu untuk menjernihkan keadaan. Ya kita berkuasa melakukannya. Namun bagaimana hati yang terguris itu, semudah itukah ia bisa memaafkan?


Itulah yang dirisaukan saat ini, bimbang kalau luka itu kan berpanjangan..(ini bukan kisah cinta ya, maka jangan salah anggap..)

'Aku lebih suka kalau aku yang menjadi mangsa sehingga hatiku terguris..kerana aku sendiri yang akan merawat luka itu, aku sendiri yang akan memaafkan orang yang melakukan kesalahan itu..namun sebaliknya jika aku yang menimbulkan masalah kepada orang lain, aku pasti tidak tahu bagaimana hatinya, sudahkah diri ini dimaafkan atau sebenarnya luka itu masih berdarah..'

*****************

Selesai mesyuarat, aku berjalan pulang bersama seorang sahabat. Lalu keluarlah bicara2 anak muda yang sentiasa bersemangat, dan pastinya isu yang paling panas ketika ini perihal pilihanraya di Malaysia. 

'Ayah ana dapat arahan dari jemaah PAS untuk bertanding lawan UMNO..bertanding untuk kali pertama..'

Sebenarnya aku agak terkejut dengan kenyataan itu, kerana aku tidak pernah menyangka seorang yang agak perlahan dalam berbicara seperti dia, rupa-rupanya anak kepada seorang pemimpin yang lantang dalam berhujah. Tapi, kenapa ku lihat dia tidak begitu gembira dengan perkhabaran yang baru dibawanya itu? Seolah-olah terdengar keluhan berat..

bersama orang2 hebat dari Kaherah, berkongsi tentang 'Penyakit hati seorang doktor'..mengingatkan diri bahawa hati itu sangat perlu dinilai selalu.. berlatar belakang kan pantai iskandariah, inilah tempat sama yg merakamkan sekelumit kisah Ketika Cinta Bertasbih.. 

'Sekarang keluarga kami tidak berapa aman, ayah ana kalau nak keluar rumah mesti kena ada orang jaga.. Adik2 pun sama, nak pergi sekolah kena ada orang hantar.. Ustaz2 dari Darul Syifa selalu ada dengan ayah ana sebab kadang2 mereka hantar jin..ayah ana pernah tiba2 jatuh sakit sehari semalam, dan rasa nak tarik diri dari bertanding..'

Ya Allah begitu menderita sekali kah keluargamu saat ini.. Aku terdiam seribu bahasa mendengar segalanya, banyak lagi sebenarnya yang diceritakan namun ku kira tidak sesuai ditulis di sini. Itulah orang yang berjuang, walau hati memaksa untuk dihentikan segala keperitan ini, namun mereka yang menerima tarbiyah pasti tidak mudah untuk mengangkat bendera putih..

(Hati andai sedang merasakan cemburu pd kelebihan orang lain, jgnlah berterusan menyimpan hasad sebaliknya berusahalah menjadikannya sebagai sahabat kita..pujilah dia dgn kelebihan yg ada pada dirinya, hiburkan hatinya..siapa tahu, dialah sahabat yg paling kita ikhlas berkawan kerana Allah lantaran mujahadah hati kita yg berusaha semampu mungkin menepis segala keegoan diri.. Wallahua'lam)

الأحد، 14 أبريل 2013

Melunaskan Janji Satu Ketika Dahulu

Bismillahirrahmanirrahim...

Balik dari kelas dalam suhu yang agak tinggi membuatkan diri terasa penat. Tengok jam, ada setengah jam lagi sebelum asar, erm sempat lagi study sikit, lagipun malam ni ada program kena keluar awal. Baru nak buka buku, ada inbox masuk, dari sahabat jauh di Malaysia.. Seorang sahabat lama yang sangat ku kasihi, mudah-mudahan kerana Allah..

'Ada perkara aku nak bincang dengan kau..ada Viber tak?'

Beberapa minit kemudian dia call, selesai bertanya khabar dan keadaan diri masing2, barulah dia mengkhabarkan perihal sebenar. Huhu sudah dapat diagak, rupa-rupanya sahabatku ini jatuh cinta dengan seorang mahasiswi di fakultinya. Tak sangka dia masih berpegang pada janji kami berdua iaitu sebelum melamar mana2 wanita untuk dijadikan isteri, haruslah diberitahu terlebih dahulu kepada satu sama lain..

Memang kami berdua sudah terlalu rapat, bermula perkenalan biasa sejak dari Tingkatan 1 di MRSM Kuala Krai, kemudian berpisah seketika selepas aku berpindah ke MRSM Kota Putra, lalu akhirnya ditemukan kembali di MRSM Pengkalan Chepa. Semenjak itu kami tidak berpaling lagi, apa2 yang dilakukan pasti kami akan bersama..


Kemudian Allah mentakdirkan aku datang ke Mesir, dan dia dihantar ke bumi Sabah..masing2 dalam bidang perubatan..

'Aku takut nak bagitau dia..'

Sahabat oh sahabat, aku sangat mengenali hati budimu yang pemalu itu. Walau engkau seorang yang berani dalam mencuba sesuatu, namun dalam hal ini ku kira engkau pasti teragak-agak. Sesungguhnya dalam Islam itu banyak caranya untuk menyunting wanita bagi dijadikan isteri, yang semua cara itu halal dan dibenarkan.

Boleh saja engkau terus menghantar mesej pada si dia, khabarkan hasrat hatimu untuk menikahinya suatu masa nanti. Atau menggunakan orang tengah seperti sahabat rapatnya untuk tolong menanyakan, dan berbagai cara lagi. Ya semua itu adalah cara yang tidak dilarang dalam Islam. Namun dalam pada itu, janganlah terburu2 kerana tidak semua yang dibenarkan itu sesuai dengan keadaan dan emosi wanita itu sendiri..


Seperti kata Ustazah Fatimah Syarha, boleh jadi jika engkau menghubunginya secara terus, dia merasa terganggu dan tidak yakin dengan iman yang ada pada dirimu..yang lebih menyedihkan, ia menjadi asbab lamaranmu ditolak.. Aku sarankan pada dirimu, datangilah walinya terlebih dahulu. Disebabkan aku mengenali dirimu, aku tahu engkau mampu melakukannya.

Tanpa pengetahuan si dia, engkau hubungilah abangnya atau sesiapa sahaja ahli keluarga terdekat lalu mintalah mereka untuk menanyakan tentang kesudian si dia menerimamu sebagai suami. Kerana aku pernah mendengar kisah seorang wanita yang menolak ramai lamaran lelaki lantaran orang tuanya yang sudah mempunyai calon untuk anak perempuan mereka.

Walau lelaki yang melamar itu soleh, namun ibu bapa wanita itu yang masih tidak mengenalinya akhirnya menyebabkan lamaran itu ditolak. Itulah yang aku bimbang akan berlaku pada dirimu. Apatah lagi setelah engkau khabarkan bahawa si dia ialah seorang yang mempunyai ramai peminat.. Siapa tahu hati orang tuanya tertarik pada kejujuranmu yang berani berterus terang, maka dengan izin Allah akan makin mudahlah urusan pinangan itu.. ^_^

Sejujurnya, hati tumpang gembira mendengar ceritamu, semoga engkau diberi ketetapan hati untuk meneruskannya. Diterima atau ditolak, cukuplah Allah tempat mengadu..


*****************


Beberapa hari lepas, diri terkesima mendengar sebuah kisah benar tentang kepimpinan. Sering kali kita memandang seorang pemimpin itu dengan wajahnya yang sentiasa tersenyum, tanpa terlintas di fikiran kita bahawa di hatinya mungkin sedang menanggung beban yang maha berat.

Aku mendengar kisah itu dari seorang sahabat yang menyaksikan, ya Allah tak ku sangka insan setabah dia juga bisa tumpah air mata. Dahulu aku pernah berada bersamanya dalam satu saf kepimpinan, dan aku mengenalinya sebagai orang yang kuat menanggung segala kesusahan. Mana mungkin air matanya mengalir di hadapan insan lain kalau bukan kerana masalah itu sudah tidak tertahan lagi..

Aku mungkin tidak mampu menceritakan segala2nya di sini, kerana aku tahu dia pasti tidak ingin keikhlasannya dikagumi oleh orang lain.. Cuma ada beberapa persoalan yang terbit di hati ini.. Adakah jawatan dan nama itu adalah suatu keindahan bagi sesetengah orang? Dan adakah suatu kebanggaan kiranya nama kita tertulis atas lipatan sejarah sebagai orang hebat dalam kepimpinan? 

Andai kita benar2 berkelayakan untuk mendapatnya, alhamdulillah..namun bagaimana pula sekiranya hanya kita sendiri yang menginginkannya dan berusaha sendiri demi mengejar sebuah jawatan.. Percayalah, terdapat perbezaan besar antara pemimpin yang dipilih oleh orang ramai dan pemimpin yang tamakkan jawatan dan nama.

(Ah sungguh tidak seronok apabila menulis dalam keadaan perlu bertapis!)

(Setahun lepas, diri begitu merindukan masa lapang dan mengharapkan agar masa dicepatkan lantaran amanah tugasan yang kian merimbun..Dan kini selepas tiga bulan turun dari jawatan, ternyata hati sedang merasakan sesuatu yang sedikit asing..masa belajar masih juga biasa2, tiada apa yg blh dikatakan meningkat..erm adakah keberkatan masa itu sedang ditarik perlahan2.. ya tuhan berilah kami petunjuk dan kekuatan.. Wallahua'lam)

الاثنين، 8 أبريل 2013

'Benarkah Kisah Hidup Orang Lain Lebih Indah'

Bismillahirrahmanirrahim...

Susah ya mahu mengubah adat melayu yang kadang kala terlalu menebal dalam diri setiap masyarakat. Benar kadang kala adat itu dibenarkan dan juga ada yg mempunyai kebaikan tersendiri. Namun dalam pada itu, tidak patut rasanya sehingga syariat diabaikan demi memastikan adat terlaksana.

Beberapa bulan lalu ketika bercuti di Malaysia, aku mengikuti seorang sahabat kononnya untuk mengubati 'sakit keturunan'. Katanya, dia mahu berjumpa bomoh handal. Aku kaget, antara mahu ikut atau tidak. Bukanlah kerana diri membenci kerjaya seorang bomoh, namun aku risau seandainya ada amalannya yang bisa membawa kepada syirik.

'Isk, bomoh sekarang pun banyak yang pakai Al-Quran..mentang2 belajar kat Mesir, dah tak nak ikut dah perubatan tradisional..' Bebelan sahabatku itu apabila aku mengutarakan rasa di hati. Sudahnya aku sendiri yang dibilang lupa daratan.


Aku gagahkan diri mengikut, bukan semata2 untuk menemaninya, tapi niat sebenarku adalah untuk memerhati dengan terperinci cara rawatan bomoh hebat itu. Sahabatku itu membawa bapa dan ibu saudaranya untuk berjumpa dengan bomoh. Sungguh, hatiku berperang hebat kala itu apabila melihat sang bomoh mengeluarkan keris panjang dan menghidupkan kemenyan.

Sabar sabar, tengok dulu. Dimintanya dikeluarkan alat2 yang telah dipesan, antaranya buah kelapa muda, 7 air kolah masjid, limau purut, dan..banyak lagi..entah, aku lupa.. Lalu rawatan dimulakan, mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu, aku harap dia membaca ayat suci Al-Quran.

Mataku melilau melihat keadaan dalam rumah, di satu sudut terdapat lukisan sembilan lelaki berserban yang setiap seorangnya tertulis nama2 jawa yang sukar dibaca. Barangkali, ini wali songo..


Selepas 15 minit, sang bomoh mengarahkan pak cik dan mak cik minum air kelapa yang ada di hadapannya. Demi Allah, aku jadi tidak tenang melihat keadaan itu. Keris panjang yang berkarat itu dicelup berulang kali ke dalam air kelapa muda. Dalam fikiranku sudah berkira-kira berapa jutakah bakteria yang terdapat pada karat keris itu. Allah, bahaya naa..

Kenapa pak cik mak cik begitu patuh seolah2 sedang mendengar titah seorang raja, digoncangnya kelapa itu berulang kali agar tidak tertinggal setitik air pun di dalamnya. Kemudian, sang bomoh membaca arahan seterusnya. Waduh2 sangat berhati2 sekali mereka menyalinnya. 'Kalau tak ikut urutan dengan baik, jadi tawarlah (sia2) apa yg kita buat hari ni..'

Amboi ayat dia, seolah2 dia yang menentukan berkesan atau tidak rawatannya. Ketika itu setiap patah perkataan yang keluar di bibir bomoh, beribu kali hatiku menghentam sendirian. Sungguh, ayat2 yang dituturkan langsung tidak menunjukkan kerendahan diri seorang hamba, bahkan seolah2 dialah tuhan yang bisa menghalau segala mala petaka dari hidup seseorang.


Petang itu banyak mengajarku tentang erti kehidupan. Kadang kala apabila diberi ujian hidup yang dirasakan terlalu membebankan diri, kita tewas. Aku tahu kisah hidup pak cik dan mak cik itu. Sebagai seorang insan, hatiku tersentuh mendengar ujian mereka yang sangat menggetarkan hati. Namun bila difikir dari sudut berbeza, aku jadi makin sedih bila melihat keadaan mereka yang semakin jauh dari Allah.

Adakah mereka juga mematuhi setiap peraturan dan larangan Allah sebagaimana yang ditunjukkan di hadapan sang bomoh? Biarlah, itu kisah mereka.. Untuk kisah kita, karanglah ia seindah mungkin selagi tidak tergelincir dari syariat Yang Esa.. ^_^

*************

Pagi Jumaat yang indah, ketika semua orang sedang sibuk dengan urusan masing2, ada seorang housemate sedang bercakap dengan orang dari Malaysia iaitu adiknya yang sedang belajar di matrikulasi. Rupa-rupanya ada masalah yang sedang diluahkan oleh sang adik kepada abang Mori. 

Ia bukan masalah peribadi, bukan jua masalah keluarga, melainkan tentang seorang sahabat di sana yang sedang berperang dengan masalah kesihatan. Kisah seorang mahasiswa yang datang dari keluarga susah, menghidapi penyakit kronik yang melibatkan otak, sehingga kadang kala dia mengalami convulsion (kekejangan), pengsan dalam kelas dan pelbagai lagi.

Bergambar selepas menghadiri 'Fateh; From Zero to Hero'.. Al Fateh, idola keduaku selepas Rasullullah SAW.. ^_^

Namun dia berkeras tidak mahu ke klinik lantaran kewangan yang begitu mendesak. Tambahan pula, exam final yang terlalu dekat memaksa dirinya untuk terus menghadap buku, menambahkan lagi derita tubuh badan yang sangat memerlukan rehat.

Aku tidak pasti bagaimana sistem pembelajaran di universiti atau matrikulasi (kerana aku tidak pernah berada di situ), namun Mori mengkhabarkan di matrik terkemuka terutamanya mereka terlalu menjaga result sehingga tidak membenarkan orang sakit untuk mengambil exam. (Mintak maaf ya kalau salah, aku pun tidak tahu dari mana Mori dapat maklumat ni..kalau salah cari Mora ya!)

Yang kami semua terkesan, kehebatan dan semangat pemuda itu begitu tinggi sehingga kami merasa kerdil berbandingnya. Dia sedar siapa dirinya, bahkan kata Mori, untuk meminta dua ringgit dari orang tuanya pun merupakan satu beban. Dan disebabkan itu jugalah dia sanggup menahan segala penderitaan jasmani demi memastikan diri tidak tercicir di tengah jalan.

'Bagiku dia hebat..' - Mori


Itulah yang kami bincangkan pagi Jumaat itu, bagaimana untuk memberi motivasi padanya, mendorongnya untuk ke berjumpa dengan doktor. Memberi semangat untuk terus berjuang dalam menghadapi kesusahan dunia yang sementara, kerana kita semua hanyalah pengembara sementara yang sedang dalam berjalan untuk ke negeri akhirat.

(Hidup oh hidup..kadangkala apabila kita memandang ke dalam hidup seseorang, seolah2 sedang membaca sebuah novel hebat yang menyentuh jiwa. Namun sering kali kita terlupa bahawa kita juga punya kehidupan sendiri, yang mungkin ada kalanya ia jauh lebih indah daripada seribu kisah orang lain. Maka atas sebab itu, senyum dan bersyukurlah.. ^_^ Wallahua'lam)