الاثنين، 15 يوليو، 2013

'Iman Dan Ramadhan, Bisakah Ia Dipisahkan'

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramadhan di Mesir, walau terasa kepayahannya akibat cuaca panas membahang dan waktu yang lebih panjang, namun ada kemanisan di situ. Walau bibir sentiasa mengungkapkan rindu Malaysia, nak balik kampung beraya dan sebagainya, sejujurnya ungkapan2 itu tidaklah lahir dari hati, mungkin kerana hati yang sudah terpengaruh dan jatuh cinta dengan cara orang arab menyambut ramadhan.

Setiap hari, tepat jam 230 pagi, akan riuh rendahlah kawasan Cleopatra dengan dentuman2 tin yang diketuk kuat, sengaja untuk mengejutkan orang ramai untuk bersahur. Sambil diiringi laungan yang mempunyai irama tersendiri, huhu banyak kali mengejutkan aku dari tidur sebenarnya. Bila dengar tu jadi macam malas nak sambung tidur dah, irama yang unik..barangkali..

Di samping suara imam yang merdu bila membaca ayat2 Allah, solat terawih yang panjang itu terasa ringan kerana sering saja ada orang2 pemurah yang membahagikan air minuman kepada semua makmum.. Pernah kami mendapat jus oren, pepsi dan jus jambu, oh sungguh pemurah orang2 yang mendermakannya. Kerana air Juhaynah bukanlah air yang murah sebenarnya..kalau aku sendiri jika menjadi ajk apa2 program, belum pernah jenama juhaynah menjadi pilihan, apatah lagi memberikannya secara percuma untuk berpuluh2 jemaah..mungkin juga beratus2..


Bagaimana ya harus ku gambarkan, suasana meriah di dataran masjid, lagaknya seperti pasar malam jika di Malaysia.. Dan di bulan mulia ini, banyak kali Allah hadirkan tarbiyah untuk mengingatkan diri bahawa engkau hanyalah seorang hamba yang menumpang di bumiNya..

3 hari lepas, bersama-sama dengan sahabat dalam satu program yang berlanjutan masanya sehingga lepas asar. Kemudian bila ingin pulang ke rumah masing2, menyedari bahawa solat asar belum dilangsaikan. Lalu tanpa disangka, dia mengucapkan kalam itu..kalam yang sangat menyedarkan diri akan hakikat menjaga solat jemaah ; 'Kita tak solat asar lagi ni..kalau balik rumah masing2, nampak gayanya memang akan solat sorang2 la..takpe, macam ni.. Aku gi umah hang, kita solat sama2 dulu lepas tu baru aku balik rumah.. Rugi wuu solat sorang2, lagi2 dalam bulan ramadhan..'

Alhamdulillah, kata2 itu membuatku tersenyum, melihatkan tarbiyah keimanan daripada Allah. Namun dalam pada itu, kadang kala dihadirkan juga di mata ini insan2 yang pada luarannya boleh dikatakan iman sedang melemah. Sudahlah solat jemaah tidak dijaga, hanya mengejar kemewahan ketika berbuka. Bila berterawih pula, bersungguh-sungguh mencari masjid 'ferrari' yang paling laju, dan kalau boleh tidak mau masjid yang ada tazkirah.


Aku sungguh kagum dengan mereka yang istiqamah berterawih di Qaed Ibrahim yang diimamkan Syeikh Hateem Farid. Syeikh membaca Quran setiap rakaat 3 muka surat lebih, dan dalam bacaan yang pastinya tajweed dijaga. Pada luarannya, mungkin kaki terasa lenguh lama berdiri namun hakikat sebenar yang berlaku ialah imanlah yang lebih mempengaruhi segalanya.. Masakan orang tua mampu istiqamah sebulan terawih di situ sedangkan yang muda2, dua tiga hari sudah bengkak kaki, katanya..

************

Alhamdulillah terasa hati sedang tersenyum tatkala melihat di facebook, orang2 tua dan muda berhimpun di Medan Rabaah demi menuntut sebuah keadilan yang dirampas. Sesungguhnya jiwa pemuda2 Islam masih belum pudar sepenuhnya dari cahaya iman.

Itu bahagian mereka sekarang, sering kali aku terfikir bagaimana sekiranya perkara sama berlaku di Malaysia. Saat itu adakah pemuda2 yang bangkit mempunyai semangat dan kesedaran yang sama seperti syabab Misr? Atau mereka akan tewas dengan ancaman dari kerajaan untuk menarik balik biasiswa pembelajaran, dibuang kerja atau diancam dengan gas pemedih mata. Allah, terasa hati mula merendah diri dengan orang arab..


Tadi beberapa minit sebelum berbuka, berbual2 dengan housemate tentang kerjaya masa depan, perancangan specialist masing2.. Ada yang ingin mengambil ENT, neurosurgeon, dan dermatologist. Tiba2 ada seorang sahabat mencadangkan ; 'Kau kena ambil surgery, nanti boleh pergi Syria, pergi tempat2 perang..sumbangkan bakti kat mana2 pelosok dunia Islam yang memerlukan..'

Cadangan itu mengetuk hatiku. Benar, kata2 itu tersangat benar dan bertepatan dengan situasi dunia Islam masa ini. Tambahan pula, baru semalam bertemu dengan dua arab yang mengaku dari Syria. Sambil menunjukkan passport, mereka memohon sumbangan yang termampu. Aku yang ketika itu bersama seorang sahabat sedang menunggu waktu berbuka sambil menghadap laut Mediterranean didatangi dua wanita arab, yang pada mulanya kami tidak percaya mereka dari Syria lantaran loghat Mesir yang jelas kedengaran.

Kemudian selepas melihat passport mereka, barulah hati berbaik sangka mungkin mereka telah lama berada di Mesir. Kerana sebetulnya loghat Syria agak berbeza dari Mesir, cubalah pergi ke restoran Syria di Camp Shezar bahr, hendak ambil order pun lebih lembut berbanding orang Mesir. Kita bersimpati dengan apa yang berlaku di sana, namun dalam pada itu hati mengakui betapa kita cemburu kerana merekalah insan pilihan Allah, yang telah lama disebutkan dalam hadis baginda..negara Syam..


Sebelum berundur, sedikit kalam untuk semua.. Alangkah indahnya di sepanjang ramadhan ini, jika kita mampu menjaga sebaik mungkin waktu yang paling berharga iaitu waktu sahur. Itu anugerah Allah untuk kita, Dia mudahkan kita untuk bangun sahur, bukan untuk mengadap makanan semata-mata kemudian sambung tidur, seolah2 tujuan bersahur adalah untuk itu sahaja, sekadar memberi kita kekuatan menghadapi hari esok. Allah, rugi yang teramatlah jika memang pegangan sebegitu yang kita amalkan selama ni..

Jangan sia2kan waktu berharga itu dengan perkara dunia. Usah dikejar update status facebook, mengadu itu ini di twitter, bersahur ikan bilislah, takde selera nak makanlah, aduh jangan2, itu terlalu rendah martabatnya, semua itu tak penting pun.. Apalah sangat kepuasannya jika hendak dibandingkan dengan kurnia yang Allah ingin berikan pada kita..terlalu jauh...

Selesai makan, ambil wudhuk, berqiamullaillah selama mana yang ada. Kalau dapat dua rakaat pun cukuplah, itu jauh lebih baik dari 5 minit scroll facebook membaca status orang lain. Hargailah apa yang Allah bagi pada kita hari ini, kelapangan dan kemewahan. Jika ditakdirkan semua ini ditarik suatu hari nanti, berlaku peperangan armageddon iaitu perang akhir zaman, saat itu mungkin kita tidak memiliki sebarang makanan pun untuk bersahur..dan mungkin kita akan menjadi terlalu sibuk atau letih sehingga tiada lagi kesempatan untuk berqiamullail.. Barangkali saat itu barulah kita mengerti betapa lazatnya bermunajat di pertiga malam..

(Minggu lepas ada yang diuji dengan kejahatan sang arab. Semoga dia tabah menghadapinya, dan semoga dia tidak mengeluh atas ujian ini.. Rasullullah kata, tidak akan ditimpa kesakitan pd seseorg itu sekalipun terpijak duri melainkan diampunkan dosa2 yang lalu.. InsyaAllah, ganjaran yang besar Allah sediakan untuk dia, apatah lagi dalam bulan yang paling mulia ini.. Wallahua'lam)

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق