الاثنين، 1 يوليو، 2013

Rahsia Sering Kali Mengindahkan Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini seharian berada di rumah, lantaran arahan keselamatan dari pihak berwajib yang mengarahkan semua agar tidak keluar rumah, kerana di luar sedang berlaku apa yang dinamakan Tamarrud 30 Jun. Kali ini kelainan terasa, tidak seperti revolusi yang berlaku pada 25 Januari 2011, yang pada ketika itu aku di tahun dua..

Walaupun revolusi itu jauh lebih besar, namun perasaan kali ini tidak sama, ada rasa takut, amarah dan geram dalam hati. Kalau dulu aku dan beberapa kawan masih berani pergi ke tempat mereka berhimpun, tapi sekarang tidak lagi. Kerana waktu itu yang mereka tentang ialah kerajaan yang zalim, semua rakyat bersatu ke arah itu. Tapi sekarang kami tidak lagi mengenal siapa kawan dan siapa lawan.

Beberapa hari lepas, seorang kawanku yang berjanggut, berjambang telah di 'warning' oleh seorang arab 'Jaga kau 30 Jun nanti!' Kebetulan pula wajahnya memang mempunyai iras2 arab. Tadi di masjid selepas solat zohor, ketika sang imam memberi tazkirah (ku rasakan dia menyokong Mursi, melihatkan janggut lebatnya), bangun seorang makmum membantah kata2 imam, tinggi sekali suaranya, langsung tidak menghormati majlis ilmu di rumah Allah..


Aduhai benar2 kali ini mereka sedang menentang Islam. Kata seorang sahabat arab, that demonstration is against Mursi, not against Islam (kamu boleh baca postnya di wall facebook ku..) Tapi bagiku alasannya tidak kukuh. Melihatkan serangan yang mereka lakukan terhadap masjid, terhadap orang2 yang berjanggut, mencampak Quran, tidak menghormati azan, menguatkan lagi keyakinanku bahawa orang2 liberal dan sekular di Mesir sudah dirasuk syaitan yang menggila.

Sehingga kini, kalau tidak salah sudah berbelas-belas pemuda Ikhwan terbunuh. Allah, kadang2 terasa darah muda membara mendengarnya. Tapi begitulah pemuda2 yang ditarbiyah, walau sahabat sendiri terbunuh, mereka tidak semudahnya membalas dendam selagi tidak menerima arahan dari pimpinan. Namun jika keadaan selepas ini tidak terkawal sehingga menyebabkan lebih banyak kematian dan kerosakan, saat itu mungkin jihad diisytiharkan. Dan saat itu, kalian saksikanlah amukan pemuda2 islam yang sudah sekian lama menanti panggilan syahid!

Walau bagaimanapun, orang2 di Malaysia tidak perlu bimbang, insyaAllah kami baik2 sahaja. Duduk di rumah diam2, study dan melayari internet, kerja2 persatuan lumpuh seketika. Kini aku tidak lagi berani isytihar menyokong Mursi terang-terangan, kerana pernah ada seorang kawan dijerkah di dalam train kerana mengungkapkan kalam itu.

***************


Beberapa hari lepas, aku berjalan berdua dengan seorang sahabat. Berbincang tentang sejarah lalu, perancangan, dan berbicara tentang kehidupan. Sungguh, sejak dulu aku suka mendengar orang bercerita tentang kisah hidup mereka, kerana bagiku setiap insan itu pastinya mempunyai cerita tersendiri, yang jika direnung dan diperhatikan, sangat mengajar diri hakikat kehambaan.

Siapa sangka, seorang yang sentiasa hadir di hadapan kita setiap hari, selalu bercakap dan bercanda, di sebalik itu rupa2nya menyimpan seribu satu rahsia yang memeritkan jiwa. Kadang2, kita tidak bersetuju dengan tindakan atau perancangannya yang kelihatan seperti tidak tepat. Tetapi kita lupa, kita tidak pernah berada di zaman silamnya, dan kita tidak pernah tahu bagaimana keadaannya sebelum dia hadir dalam hidup kita. 

Sahabat ini, tidak pernah terlintas di fikiranku begitu sekali jalan yang pernah dia lalui. Sepanjang 4 tahun perkenalan, melihatkan ketenangan dan personaliti hebat yang ada dalam dirinya, ku kira pasti tiada seorang pun yang menyangka bahawa dia sedang menyimpan duka dalam di hatinya, lantaran masalah keluarga yang diuji dengan fitnah wanita luar.


Dengan penuh tabah, dialah yang berkorban segalanya, mengorbankan perasaan dan perancangan sendiri demi untuk melihat ibu dan adiknya merasai secebis ketenangan. Aku diam mendengar setiap inci ceritanya. Inilah kisah hebat, yang aku sedang saksikan benar2 berlaku di dunia nyata.

Dalam hidup ini, berapa kali kita tertipu dengan senyuman yang sahabat berikan untuk dia menutup kedukaan di hatinya. Berterima kasihlah kepada sahabat seperti itu, kerana dia mengajar kita cara menyembunyikan kepiluan hanya untuk Yang Esa. Tersenyum bukan bererti kita sedang gembira, namun sekurang2nya kita berharap mampu mendamaikan orang sekeliling.

Juga dalam kitab Hikam ada mengingatkan, kita selalu tidak dapat apa yang diinginkan oleh hati sendiri, agak2 kerana apa ya? Kita sudah berikhtiar sehabis cara, mencuba ubat dan doktor pakar dari semua tempat, tapi kenapa penyakit itu masih belum sembuh? Tidak lain tidak bukan adalah untuk mengingatkan insan bahawa yang sebenarnya ada satu kuasa agung sedang mengawal diri kita, sedang menyusun atur pergerakan alam.. Itulah Allah Maha Besar, tuhan yang pernah menyejukkan api di badan Nabi Ibrahim, yang pernah membelah lautan untuk nabiNya Musa As..

(Seminggu lagi akan start exam, sebulan kemudian akan pulang ke Malaysia, manakala ramadhan pula akan datang kurang dari 10 hari sahaja lagi.. Aduh2 bagaimana ni, terasa hati belum benar2 bersih utk menyambut ramadhan, kotoran2 dosa masih menebal.. Dalam detik ini, banyak perkara perlu dilakukan utk urusan seminar..terasa susahnya utk membersihkan jiwa dalam kekalutan seperti ini, astaghfirullah..kena usaha mencari waktu dan ruang utk itu.. Wallahua'lam)

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق