الأحد، 8 ديسمبر 2013

Apabila Si Miskin Bergaduh

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam kesejukan malam aku tersedar, tengok jam baru pukul tiga. 'Lambat lagi nak subuh ni..' Cuba melelapkan mata semula namun tidak berhasil, seolah2 ada tangan yang menahan. Tiba-tiba rasa berdebar, adakah ini malam terakhirku di dunia ini? Lalu cerita-cerita tentang orang yang meninggal dunia dalam tidur menerawang di fikiran, ya Allah takutnya betapa aku kotor dengan dosa2 semalam yang masih belum bertaubat...

'Ya Allah panjangkanlah umurku.. Seandainya Engkau takdirkan aku pergi malam ini, matikanlah aku dalam husnul khatimah..

Akhirnya tanpa sedar terlelap dalam kegelapan malam, bila sedar semula azan subuh sedang berkumandang. Ya Allah terlepas lagi, padahal tadi Allah dah kejut dah, astaghfirullah, petanda jiwa masih kotor... Malam sebelumnya, Allah hadirkan satu peristiwa yang berlaku, mungkin sebagai pengajaran untuk diri sendiri. Ketika keluar rumah untuk menunaikan solat isyak, aku terdengar riuh rendah suara arab bergaduh.


Betul2 berhadapan dengan masjid, ku lihat dua pemuda arab sedang bertumbuk. Yang peliknya, arab sekeliling membiarkan sahaja pergaduhan itu tanpa meleraikan. Tidak sanggup membiarkan, aku menghampiri lalu menarik tangan salah seorang dari mereka. 'Cukuplah, orang tengah solat dalam masjid tu!' 

Namun tenaga arab terlalu kuat untuk ku, dia menepis tanganku dan menumbuk muka si musuh. Isk degil betullah arab ni.. Kemudian ada dua arab masuk campur dan menarik keduanya pergi, itupun selepas seorang terkoyak baju dan hampir patah tulang belakang dilempar atas jalan. 

Setelah itu barulah aku tersedar kenapa orang2 sekeliling sekadar membiarkan mereka bergomol atas jalan tanpa menghalang, rupa2nya mereka adalah orang miskin yang sedang mengutip sisa2 kotak dan makanan dari tong sampah. Mereka bergaduh kerana merebut beberapa keping roti yang ada dalam tong sampah. Ya Allah hampir menitis air mataku menyaksikan peristiwa itu, begitu berhargakah kepingan roti itu bagi mereka?

Benar2 kemewahan dunia telah menipu kita semua, astaghfirullah...

gambar lama kira2 dua tahun lalu, diupload semula oleh adik usrah yg sudah berhijrah ke India.. :')

Perkara kedua yang membuatkan aku sebak adalah reaksi orang2 sekeliling tatkala menyaksikan pergaduhan itu, sekadar melihat tanpa membantu.. Aku sendiri tidak tahan menyaksikan lelaki itu mencekik 'musuhnya' sehingga terbeliak mata, dan itulah yang menghalang aku dari terus melangkah ke masjid (sebenarnya pergaduhan itu tidak adil, seorang bertubuh kecil sehingga teruk dibelasah oleh seorang lagi yang berbadan tegap)

Sahabat2 yang berada di Mesir tahulah bagaimana biasanya reaksi orang arab apabila melihat pergaduhan, mereka pasti akan meleraikan walau apa cara sekalipun, itu kebiasaan yg berlaku. Namun malam itu semua orang hanya membiarkan sahaja. Mentang2lah mereka orang susah dan kelihatannya tidak membawa manfaat kepada masyarakat, ia dibiarkan berlarutan. 

Boleh jadi kalau ada yang meninggal pun malam itu, tiada kesan apa2 bagi mereka yang melihat kerana orang miskin itu bukanlah siapa2 dalam masyarakat.. Mereka lupa, bahawa tiada satu pun ciptaan Allah di muka bumi ini yang sia2 melainkan ada sebab ia diciptakan... Apatah lagi manusia yang diciptakan Allah sebagai sebaik2 kejadian...


Minggu lepas juga, Allah hadirkan peristiwa yang terbalik dengan apa yang berlaku di atas, tentang seorang hamba Allah yang begitu menghargai makhlukNya. Ketika itu waktu sudah hampir maghrib, aku dan seorang teman dimaklumkan tentang seekor anak kucing yang tidak mampu berjalan dengan baik kerana kedua2 kakinya patah. Mungkin dilanggar kereta.

Sahabat ini, yang hatinya dipenuhi dengan rahmat Allah, mengajakku untuk membawa kucing liar itu ke veterinar. Katanya yang membuat hati ini tersentuh ; 'Biarlah mahal pun, kita buat kerana Allah kan.. Dalam hadis pun ada cerita, kisah seorang pelacur yang memberi minum kepada seekor anjing, akhirnya itu menjadi asbab Allah memberi hidayah kepadanya seterusnya memasukkan dia ke dalam syurga Allah..'

Alhamdulillah, masih wujud pemuda Islam seperti ini. Akhlaknya mampu membuatkan sesiapa pun akan menjadi rindu kepada kekasih agung Rasullullah. Kepada semua orang termasuk yang menulis ini, bersama2lah kita menjadi penyebar rahmat tuhan kepada seluruh alam termasuklah binatang dan tumbuhan. Kerana ada orang yang ditarik sementara nikmat itu. Contohnya bagi yang menghidap pneumonia atau asthma, perlu beringat dengan bulu kucing dan mungkin juga terpaksa menahan dirinya dari memegang kucing untuk satu tempoh yang panjang..

(Dalam kekalutan dengan seminar, Allah datangkan ayat memujuk. Dalam kesejukan hening subuh, tazkirah sang imam meruntun hati2 yang merindukan bantuan daripadaNya. 'Ihfazillah yahfazka..' Astaghfirullah seolah2 pertama kali dengar hadith ini, terima kasih tuhan, terima kasih imam.. Wallahua'lam)

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق