الأحد، 25 نوفمبر 2012

Tatkala Pilihan Itu Berbeza Dengan Orang Tua

Bismillahirrahmanirrahim...

'Takkan meluahkan perasaan selagi belum menjadi yang halal
- Amir Mukhlis of Warkah Cinta Berbau Syurga -

Satu novel yang mendidik jiwa pemuda pemudi Islam, kisah seorang pemuda yang menjaga kesucian cinta agar terpelihara hanya untuk yang halal. Mungkin ini novel terbaik yang pernah menjadi santapanku, dihasilkan oleh seorang hafiz quran penuntut azhar. Sekarang novel ini difilemkan, alhamdulillah semoga lebih ramai yang menyedari betapa indahnya pengertian 'menjaga' itu.

Dunia ini sentiasa berputar pada paksinya, maka adakah resmi kehidupan juga harus begitu? Kalau dulu di zaman persekolahan, masa tu dah rasa itulah kehidupan sebenar. Kawan2 ramai yang pelbagai karenah, yang baik agamanya, yang sedikit nakal dan macam2 lagi. Ya kita rasakan itulah kehidupan aku, kamu dan mereka.

Masa tu tak terlintas pun di fikiran, 2 3 tahun akan datang separuh dari apa yang ada sekarang akan berubah secara total. Namun kini itulah yang sedang berlaku, kebetulan housemateku semuanya dari 4 negeri berbeza dan 4 sekolah berbeza. Persoalan yang sama, kenapa dahulunya dia ajk kerohanian namun sekarang seolah2 telah hilang segala tsiqah itu. Dan yang yang dahulunya tampak lagha, suka main2 kini dialah yang paling semangat berjuang.


Mungkin ini agaknya kenapa Allah ajarkan kita doa, 'Wahai Tuhan yang membalik2kan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu serta dalam mentaatiMu..' 

Dia nak ajar kita, jangan sombong dengan Dia, jangan rasa iman tu dah kuat sehingga tidak minta tolong Dia pun saat diuji. Ingat balik Nabi Ibrahim yang begitu kuat pegangan akidah, seorang rasul namun baginda masih memohon agar dipelihara dari syirik. Allah, malu sangatlah kita yang iman senipis bawang ni kalau tak nak angkat tangan minta bantuanNya...

Kita takkan pernah tahu bagaimana kita di masa hadapan. Mungkin dengan iman di hati sekarang kita mampu menangkis godaan nafsu yang menggoda, namun andai kata di tempat baru dengan ujian iman yg berbeza, saat itu barulah kita sedar kekuatan itu datang dari Allah, bukannya dari diri sendiri..

************


Kalian, aku ingin bertanya, bolehkah kita tentukan kerjaya anak kita untuk masa hadapan? Ini pertanyaan untuk mengetahui, bukan menguji atau menghukum. Rasanya, tidak salahkan? Ada orang mengharap anaknya menjadi seorang doctor, engineer dan arkitek. Masyarakat tidak akan memandang itu sesuatu yang salah bukan?

Lalu bagaimana pula sekiranya anak itu tidak mahu, katanya dia mahu menjadi seorang agamawan, seorang ustaz yang mengajarIni persoalan yang aku temui pada seorang remaja di Pondok Gual Dalam, Rantau Panjang ketika bercuti di Malaysia dua bulan lalu. 

Umurnya sekarang 17 tahun, berasal dari Pahang. Wajahnya masyaAllah, bersih dan bercahaya, sejuk mata memandang. Namun itulah, kedukaan jelas terpacar di wajahnya kini kerana hampir keseluruhan keluarganya menentang keberadaannya di pondok itu. Katanya, semua itu masih mampu dihadapi selepas lebih kurang 5 tahun menetap di situ..


Namun cabaran besar yang bakal menantinya ialah setahun selepas ini tatkala ingin melanjutkan pengajian agama di Pondok Pattani, Thailand. Allah syeikh, ku lihat dia merenung jauh kala menceritakan itu. Pasti berat kan perasaan itu, seolah2 bakal tercetus perang besar dalam keluarga sendiri, dan dia sendirian dalam perang itu.

Mendengar bicara itu, aku yang ketika itu sedang bertugas mengambil history taking dalam program medical check up terasa membahang di pipi sendiri. Besar cintanya pada agama membuat aku tertunduk malu pada Allah. Kalau remaja muda sepertinya sudah nampak laluan perjuangan Islam kita bagaimana pula, jauh bangat...

Ketika menulis ini, sedang dalam kesejukan setelah semalaman hujan merintik di Iskandariah. Ketika iqamah berkumandang di masjid depan rumah subuh tadi, seolah2 itulah dugaan paling besar, susah sekali mau angkat selimut untuk menuju ke rumah Allah. Aduhai andai dengan selimut pun sudah teragak-agak, bagaimana pula ingin berbicara tentang pembebasan Aqsa.


Di luar, kelihatannya kitalah yang paling lantang bersuara, facebooknya menjadi perhatian orang lantaran 'kerasnya' menentang Yahudi. Namun di bilik, membaca Al-Quran pun malas2, qiamullail tiga kali setahun itu pun jika ada program persatuan atau usrah, solat berjemaah tiga kali sehari tidak cukup. Sedangkan kita lupa, amal fardhi adalah tunjang kekuatan individu untuk berdiri menghadapi segala durjana dunia.

Mungkin inilah jawapannya kenapa perjuangan umat kini hanya berpasang surut tatkala musim hujan melanda, lantaran hubungannya dengan Allah langsung tidak dijaga...


*************

Ketika Palestin sedang menghadapi dugaan peperangan, nampaknya Mesir juga sedang merasai bahang itu. Tidak mudah untuk membuang duri yang sudah berdarah daging, begitu juga untuk penyokong2 Mubarak. Setiap hari menimbulkan kekecohan, seolah2 ingin menunjukkan kepada dunia bahawa Dr Mursi ialah pilihan yang salah..

Akhbar Mesir tidak ubah seperti akhbar Malaysia, fitnah menjadi perkara hiburan bagi mereka, lalu khabar angin itu tersebar dengan pantasnya ke seluruh Mesir. Misr al Youm menggunakan istilah MURSI DIKTATOR 'SEMENTARA' bagi mengundang spekulasi murahan.

Berniat jahat sungguh El-Baradaei,pimpinan pro Mubarak(mantan pro revolusi)...Tindakan ElBaradaei yg membuat sidang media dpn media Reuters,AP dll. Beliau mengharapkan Amerika Syarikat untuk campur tangan dalam politik Mesir. Inikah sikap ElBaradei yang mendoakan supaya USA campur tangan,apakah niat ElBaradei...Selama ini Elbaradei bersikap neutral,kali ini sudah nampak belang sebenar..

Kelmarin, seorang bekas ahli parlimen, Abul 'Izz Hariri yang bertanding untuk Presiden Mesir pada pusingan pertama ditangkap sewaktu membayar upah kepada kumpulan samseng bagi membakar pejabat dan markaz Ikhwan Muslimin di Iskandariah. Semalam ada lagi, seorang pemuda Ikhwan Muslimin terbunuh ketika mempertahankan pejabat IM di Damanhor.

Namun itulah, mereka merancang Allah juga merancang. Di setiap berlakunya kekacauan, di tempat lain juga berlaku himpunan sama bahkan jauh lebih ramai, yang menunjukkan sokongan kepada Dr Mursi.

Pemimpin yang dipilih rakyat pasti dibantu Allah...Di Malaysia juga ku harap akan berlaku perkara serupa. Sekurang2nya, adilkanlah dan teluskanlah pilihanraya itu, agar dunia dapat melihat sendiri siapa sebenarnya pemimpin pilihan rakyat.

(Saat ini, setiap ketika menanti mesej dan panggilan dari Malaysia. Kawan2 tolong doakan ya, kakakku mengalami masalah ketika melahirkan anak pertamanya, sehingga kini sudah dua kali dibedah lantaran pendarahan yang banyak. Baby juga mengalami respiratory distress atau lemas. Allah, betapa cemasnya keluargaku ketika ini, ingin rasanya terbang pulang untuk sama2 merasakannya...)

هناك تعليق واحد: