الاثنين، 13 مايو 2013

Generasi Ini Dahagakan Sesuatu

Bismillahirrahmanirrahim...

Selesai solat jumaat, berjalan kaki pulang ke rumah. Hari ini sengaja memilih masjid yang agak jauh dari rumah. Bukanlah ada apa-apa yang istimewa melainkan sekadar ingin melihat suasana baru di masjid lain. Tiba-tiba mataku terpandang beberapa pelajar lelaki melayu berlari-lari anak menuju ke masjid di hujung sana yang masih belum selesai solat.

Hati jadi tertarik dengan apa yang dilihat, mungkin kerana sememangnya aku kenal mereka walaupun tidak terlalu rapat. Dengan pantas mereka mengangkat takbiratul ihram dan terus duduk mengikut imam yang sedang tahiyat akhir. Demi Allah hati jadi tidak gembira dengan apa yang berlaku. Kalau sebelum ini aku selalu dengar kisah mereka dari orang lain namun kini hati mula mempercayai apa yang diperkatakan.

Rumah mereka hanya bersebelahan dengan masjid. Aku pernah diberitahu oleh seorang teman mereka bahawa ada kalangan mereka yang tidak menunaikan solat fardhu dan ada yang hanya solat ketika imtihan mendekat. Bila pulang ke rumah, sahabatku mengkhabarkan dia sendiri sudah banyak kali melihat peristiwa itu, iaitu mereka hanya akan bergegas turun ke masjid apabila sudah mendengar iqamah. Allah syeikh, itu solat jumaat, bukan solat fardhu lima waktu!

Yg batil tetap batil walaupun ramai yg melakukannya, dan yg haq itu tetap haq walaupun sedikit yg melakukannya... beranilah memilih kebenaran walau bersendirian..

Terus aku jadi terfikir akan hukum bersolat seperti itu, kerana solat jumaat berbeza dengan solat2 lain. Boleh ke kalau sambung rakaat imam yang sedang tahiyat akhir, kita bangun dan tambah dua rakaat sahaja? Kalau tak salah, kita wajib selesaikan ia menjadi empat rakaat.

Tiba2 rasa Allah sedang menegur diri sendiri. Kadang2 kita sibuk dengan urusan luar yang kelihatannya lebih besar sehingga terlupa bahawa ada insan yang sedang 'perlukan perhatian' kita. Kita selalu pergi ke kelas tafaqquh dengan housemate tapi terlupa mengajak jiran bersama. Keindahan Islam adalah untuk dikecapi bersama, kenapa begitu kedekut untuk dikongsikan.

Di luar berbicara hebat tentang perjuangan Islam, pembinaan khalifah seterusnya menuju ke ustaziyatul alam, namun sahabat tidak solat pun malu untuk menegur. Bahkan kadang kala orang yang berbicara hebat seperti inilah yang memandang rendah kepada mereka yang pengamalan Islamnya tidak berapa bagus. Dianggapnya mereka umpama orang tidak mendapat hidayah yang selama2nya akan kekal begitu.


Allahu Allah..semoga Dia memelihara hati ini daripada hati yang berpenyakit seperti itu. Kadang2 bila muhasabah sendirian, banyak kali keluar keluhan kecil. Sering terbayang di mataku keadaan masyarakat di Malaysia yang akan aku depani apabila bekerja di hospital kelak. Bila membaca di internet peratusan tinggi pelajar sekolah menengah yang tidak solat fardhu, yang pernah terlibat dengan seks bebas dan pelajar yang mempunyai kegiatan liar, terdetik di hati kecil :

'Mampukah aku menjadi asbab untuk mereka mendapat hidayah Allah?'

Satu ketika dulu, aku menyangka seteruk-seteruk mahasiswa itu ialah sekurang2nya mereka pasti mengerjakan solat lima waktu. Kerana mereka ialah insan mendapat pendidikan yang bisa berfikir baik buruk sesuatu perkara. Apatah lagi nikmat dapat menyambung pelajaran di universiti merupakan nikmat yang wajib disyukuri lantaran bukan semua yang mengimpikannya akan mendapat nikmat itu. Namun kini aku menyedari bahawa semuanya tetap bergantung kepada  hati yang disuluh iman pemberian Allah.


Aku pernah terkesima dan seolah2 tidak percaya apabila seorang sahabat menceritakan tentang beberapa mahasiswa sebuah universiti di Mesir yang ketagih arak dan ganja. Allah syeikh, sangat susah bagi hati untuk menerima kenyataan itu.. (bilangan universiti di Mesir yang menyediakan jurusan perubatan ialah 7, maka jangan cuba meneka universiti mana yg sedang aku ceritakan..)

Bagaimana ya dengan mahasiswa seperti ini apabila pulang ke Malaysia kelak, sangat menjatuhkan imej sebagai mahasiswa lepasan timur tengah. Bagaimanakah penerimaan pesakit2 apabila mengetahui doktor yang sedang merawatnya saat ini ialah seorang penggemar minuman keras dan seorang yang selalu ponteng kuliyah..saat itu yakinkah dia dengan rawatan yang sedang diterima?

Maka atas sebab itulah aku zahirkan rasa hati menerusi tulisan ini, mengharap agar diri sendiri akan membacanya di saat iman terasa lemah dan mengingatkan kembali cita2 lalu untuk melihat Islam tersebar luas di setiap rumah di Malaysia khususnya.

(Sedang membina perancangan sendiri, memohon padaNya agar Dia tidak meninggalkan diri ini keseorangan. Walau mungkin ada kesukaran namun jika di situ ada redhaNya, itu lebih aku harapkan melebihi segalanya. Kerana aku tahu, jika Dia telah membantu, tiada lagi apa yg dinamakan kesusahan..pasti sekelip mata bisa ditukar semuanya menjadi keindahan.. Wallahua'lam)

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق