الأربعاء، 22 أكتوبر 2014

'Ujian Seberat Itu'

Bismillahirrahmanirrahim...

Setelah kian lama menyepi, akhirnya aku menggagahkan diri untuk kembali mencoret di laman ini. Terlalu banyak peristiwa berlaku di sekeliling yang membuatkan hati meronta-ronta untuk menulis. Ketika menulis ini, aku berada di rumah mertuaku di Merlimau.

Semalam baru sahaja pulang dari Port Dickson setelah sehari bercuti di sana bersama isteri dan ibuku. Sehari sebelum itu, kami ke Kuala Lumpur untuk menziarahi saudara di Hospital Ampang Putri. Dan di sanalah, aku memperoleh satu pelajaran yang sangat berguna yang akan aku kongsikan di sini inshaAllah. Pelajaran tentang menghadapi ujian hidup, kisah benar yang sangat menyentuh hatiku hingga ke saat ini.

Mak cik itu ialah kawan kepada ibuku. Kebetulan dia juga berada di hospital itu kerana ibunya sedang mendapat rawatan. Ketika mendengar kisah hidupnya yang penuh ujian, aku tidak merasa apa2, bahkan kami yang mendengarnya seringkali ketawa lantaran telatah mak cik itu yang menceritakannya dalam keadaan yang mencuit hati.


Namun lama kelamaan, aku menyedari kisah itu bukan kisah lucu, kerana di dalamnya terselit penderitaan dahsyat yang dialami. Aku sendiri tidak sanggup membayangkan bagaimana sekiranya aku yang berada di tempatnya saat ini. Anak perempuannya yang baru berusia 29 tahun mendapat stroke, membuatkan dia hanya terlantar di rumah, tidak mampu menguruskan diri sendiri dan tidak mampu bercakap.

Kamu tahukah seperti apa stroke itu? Ia adalah penyakit yang dicipta oleh Allah untuk  menguji kesabaran dan ketabahan orang sekeliling iaitu ahli keluarga untuk menjaganya. Mereka yang mendapat stroke akan memberi ujian besar kepada ahli keluarga, adakah mereka akan menjaganya dengan baik atau sebaliknya. 

Mereka tidak mampu bergerak sendiri, very dependent. Jika kita tidak memberinya air, dia tidak akan minum. Jika kita lambat membuat sesuatu, pastinya dia akan merengek atau marah. Itu belum lagi dikira dosa dengan Allah andai kita sambil lewa sahaja menjaganya. Yang lebih teruk lagi, kita pula yang marah kepadanya, kita anggap dia mengada2 dan suka meminta. Allah, benar2 menguji...


Yang paling membuatkan hatiku tersentuh adalah anak itu baru sahaja mendirikan rumahtangga 3 bulan sebelum itu. Allah, tabah sungguh mak cik itu... Dia kuat untuk menyatakan kepada menantu barunya, menyarankan dia supaya berkahwin lagi dalam keadaan dia sendiri pastinya sedang mencari kekuatan untuk diri sendiri. 

Kisah itu belum berakhir di situ, anak perempuannya yang lain pun ada kisah penderitaan sendiri. Ditakdirkan Allah anak perempuan itu lambat mendapat anak. Setelah dua tahun berkahwin masih belum dikurniakan rezeki. Setelah puas berikhtiar dan ke Makkah berdoa kepada Allah, alhamdulillah dia hamil. Namun, anak itu tidak sempurna. Dia ada satu syndrome, yang sangat rare berlaku di Malaysia.

Berbagai-bagai ujian yang Allah berikan padanya, namun yang membuatkan aku kagum ialah kesabaran dan ketabahannya. Kalau kamu ada bersamaku saat dia menceritakan kesemua kisah itu, pasti kamu juga takjub, betapa dia bisa menukarkan kisah penderitaan itu menjadi seolah2 satu kisah hiburan atau bedtime story.


Dia langsung tidak menampakkan tanda2 kekesalan. Dari bait2 kata yang diutarakan, aku langsung tidak mendengar ayat2 keluhan atau sebagainya. Bagiku yang kerdil ini, dia insan yang lulus ujian di sisi Allah. Dia perempuan yang bertudung labuh, suaminya berkopiah dan sentiasa terukir senyuman di bibir kala berbicara.

Bila kami keluar dari bilik itu, aku berkata kepada isteri dan ibuku 'Banyak benar ujian dia..macam mana ya dia boleh ceria je bila cerita tadi..' Lalu ibu menyambung 'Benarlah orang kata, ujian yang kuat hanya untuk orang yang kuat...' Allah, benar sekali bu...

Memberi muhasabah besar untuk kita, yang terlalu mudah mengeluh bila ditimpa ujian. Bila difikir balik, mungkin itulah sebabnya Allah tidak mendatangkan kita ujian2 besar sebegitu, kerana boleh jadi kita akan gagal lalu kelemasan di dalamnya. Terima kasih ya Allah kerana menghadirkan insan2 ini kepada kami untuk kami belajar sesuatu daripadanya..

(Aku ingin menulis lagi, tapi ibu sedang memanggil untuk bersarapan.. Kamu doakan aku ya agar sentiasa diberi kesempatan untuk menulis. Sungguh, aku suka menulis... Wallahua'lam ^_^ )